Monday, August 1, 2011

Perbetulkan konsep sambut Ramadhan, Syawal


Oleh: Mohd Nasir Awang

Akuilah bahawa umat Islam di akhir zaman ini sudah semakin jauh dari ajaran Islam sebenar. Jalan hidup yang mereka ambil semakin menyimpang dari landasan yang sepatutnya dilalui, bersesuaian dengan sunnah ditunjukkan Rasulullah s.a.w.

Jangan dikatakan pada selok-belok kehidupan harian yang bersimpang-siur, salah faham mengenai konsep bertepatan dengan kehendak agama itu juga turut berlaku dalam aspek peribadatan.

Salah satu di antara kesilapan itu terpampang agak jelas pada cara umat Islam menyambut kedatangan Ramadhan al-Mubarak. Saban tahun dapat kita saksikan bagaimana tahap keghairahan menunggu kehadiran bulan penuh berkat itu sudah semakin tersasar daripada matlamat asal dianjurkan agama.

Umat Islam tidak lagi mengutamakan persiapan diri untuk menyempurnakan tuntutan peribadatan sepanjang Ramadhan. Sebaliknya, fikiran dan tindakan mereka lebih tertumpu kepada persiapan menyambut Hari Raya Idulfitri selepasnya.

Bahkan, jika pun ada keghairahan dan kegembiraan dengan kedatangan Ramadhan, ia bukan kerana mengalu-alukan Ramadhan itu sendiri. Perasaan itu sebenarnya tidak terlepas daripada kaitannya dengan bahang kemeriahan yang sudah terbayang di benak masing-masing tatkala merayakan lebaran.

“Itulah hakikat yang berlaku kepada kita hari ini. Orang fikir hari raya lebih besar daripada bulan puasa. Sehingga tiga-empat bulan sebelum puasa pun dah ada yang buat persiapan mengenai hari raya. Pada saya itu konsep yang salah,” tegas Ustaz Abd Zaman Bakri Mohamad dengan nada kesal.

Pendakwah bebas dari Kampung Apal, Besut, Terengganu ini lantas memetik kata-kata Sheikh Muhammad al-Ghazali, bahawa di antara kesalahan umat Islam dalam menyambut bulan Ramadhan ialah kerana memikirkan soal pendapatan (nafkah) dan soal persediaan untuk para tetamu (hari raya).

“Maknanya, itulah kesilapan yang berlaku kepada umat Islam pada hari ini. Dia duk fikir berkenaan persiapan hari raya, perbelanjaan hari raya, sedangkan benda yang paling penting sekali ialah fikir soal bulan Ramadhan yang telah dikurniakan oleh Allah dengan qiyamullailnya, dengan zikirnya, baca al-Quran, tarawihnya dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau yang juga pengamal perubatan alternatif seterusnya membandingkan tabiat umat Islam kini dengan tindakan dianjurkan agama.

Antaranya beliau memetik kebiasaan di kalangan para ulama terdahulu. Katanya, seawal enam bulan sebelum datangnya bulan Ramadhan, para ulama salaf sudah berdoa supaya Allah s.w.t. kurniakan mereka nikmat bulan tersebut.

“Abu Bakar al-Balkhi mengatakan bahawa bulan Rejab adalah bulan bercucuk tanam. Bulan Syaaban adalah bulan siram tanaman, jirus tanaman dan bulan Ramadhan adalah bulan tuai tanaman,” ulasnya.

Bagi mereka ini, kedatangan Ramadhan dianggap peluang keemasan untuk merebut berbagai kelebihan dijanjikan Allah s.w.t. Banyak hadis Nabi s.a.w. menceritakan kelebihan-kelebihan Ramadhan.

Di antaranya, ditutup pintu neraka sekemas-kemasnya, dibuka pintu-pintu syurga di samping dibelenggu syaitan-syaitan. Bulan Ramadhan juga bulan turunnya al-Quran yang menjadi panduan kita manusia sampai ke akhir zaman.

“Lepas tu pula, bulan Ramadhan juga ada satu malam yang jadi rebutan di kalangan para ulama dan orang-orang soleh iaitulah Lailatul Qadr. Jadi mereka sangat merindui benda-benda (kelebihan-kelebihan) ini, maka mereka tak fikir pun sangat hari raya tu,” Ustaz Abd Zaman melontarkan perbandingan.

Beliau selanjutnya mengemukakan perumpamaan agak menarik mengenai bagaimana sepatutnya umat Islam meraikan kehadiran Ramadhan.

“Sebelum daripada mari bulan Ramadhan ni, kita kena betul-betul bersedia, kena ada rasa suka sepertimana tetamu nak mari rumah kita. Tetamu tu pula bukan tetamu sebarangan orang, kalau kita nak bandingkan ialah seperti Perdana Menteri nak mari ke rumah kita, nak bawa satu hadiah kepada kita.

“Sudah tentulah kita akan buat persiapan yang sebaik mungkin dengan mengecat rumah, dengan repair rumah, renovate semua sekali. Maka begitu lah juga, apabila kita dapat maklumat bulan Ramadhan nak mari, maka kita kena buat persiapan sebaik mungkin, rohani dan jasmani,” ujarnya.

Ulama muda lulusan Universiti al-Azhar, Mesir ini seterusnya menyenaraikan beberapa persiapan yang dimaksudkan. Antaranya ialah memperbanyakkan doa agar Allah s.w.t. mempertemukan kita dengan Ramadhan dan dapat mengharungi ibadat di dalamnya dengan baik.

Menurutnya, Nabi s.a.w. sendiri sering berdoa supaya Baginda sempat dengan bulan Ramadhan dan supaya Allah Ta’ala mengurniakan kepadanya rezeki di bulan tersebut.

Sebelum Ramadhan juga kita hendaklah memperbanyakkan taubat kepada Allah s.w.t. Diharapkan dengan itu apabila Ramadhan tiba, kita menyambutnya dengan jiwa yang bersih dan kuat, lalu kita benar-benar dapat menunaikan hak-hak Ramadhan dan melaksanakan tanggungjawab kita sebagai seorang muslim.

“Sebab kadang-kadang kita diuji juga pada bulan Ramadhan ni, walau pun kita kata syaitan kena belenggu dah, tapi dengan makan contohnya, dengan minum, dengan malas, dengan mengantuk, dengan nak tidur, apa semua sekali, itu adalah gangguan. Jadi taubat sangat penting sebelum daripada masuk bulan Ramadhan supaya Allah terima taubat kita dan Allah beri kepada kita kekuatan,” tegas Ustaz Abd Zaman.

Turut menjadi kebiasaan Rasulullah s.a.w. sebagai persiapan menyambut Ramadhan ialah memperbanyakkan puasa sunat. Pernah ditanya kepada Aisyah r.a. berkenaan amalan Nabi s.a.w. dalam bulan Syaaban. Maka Aisyah r.a. menceritakan bahawa bulan Syaaban adalah antara bulan yang Nabi s.a.w. banyak berpuasa.

“Ulama mengatakan bahawa kenapa s.a.w. Nabi banyak berpuasa dalam bulan Syabaan? Ia diumpamakan sepertimana kita kata kalau orang nak main bola, warming-up la, pemanas badan. Sama juga sepertimana sembahyang lima waktu, kita ada sembahyang qabliyyah, sembahyang tu sebagai warming-up untuk sembahyang fardhu,” ujarnya berkias.

Seterusnya, bekalan penting dalam menghadapi bulan Ramadhan ialah ilmu. Katanya, ramai orang Islam hari ini berpuasa tanpa ilmu. Sebab itu Nabi s.a.w. mendedahkan betapa ramai orang yang berpuasa, tetapi yang mereka dapat daripada puasa mereka itu hanyalah lapar dan dahaga sahaja. Puncanya kerana mereka berpuasa sekadar ikut-ikutan, bukan berdasarkan kepada ilmu.

“Banyak ilmu berkaitan puasa. Selain perkara-perkara membatalkan puasa, yang makruh, yang mengurangkan pahala, ada juga fadhilat puasa. Sebagai contoh, berbuka awal, bersahur lewat. Begitu juga tadarus al-Quran, afdhalnya di bulan puasa ialah tadarus, sebab Nabi s.a.w. sendiri tiap-tiap malam tadarus al-Quran dengan Jibril a.s. Semua ini perlukan ilmu,” hurai Ustaz Abd Zaman lagi.

Menurutnya, disebabkan kekurangan ilmu juga berlakunya salah konsep menyambut hari raya di kalangan umat Islam kini. Mereka seakan tidak faham bahawa hari raya dalam Islam adalah arahan daripada Allah s.w.t. Malangnya, orang Islam hari ini menyambut hari raya bukan lagi berasaskan kepada tuntutan agama, tetapi lebih terikut-ikutkan budaya agama lain yang dipenuhi pesta dan hiburan.

“Sedangkan kita sepatutnya sambut hari raya dengan bertakbir, tanda syukur kepada Allah, bertahmid, bertasbih kepada Allah sebagai tanda kegembiraan. Di samping kita makan minum serba sedikit apa yang ada, kita menunjukkan perhiasan kita sebagai tanda syukur kepada Allah s.w.t., kita dilarang berlebih-lebihan, apatah lagi berhibur sehingga terlampau. Bukan kita kata hiburan itu tak boleh, tetapi hiburan yang ada pada hari ini terlalu jauh daripada kehendak agama,” katanya.

Justeru, beliau menyeru umat Islam agar kembali kepada konsep sambutan yang sebenar berasaskan agama. Umat Islam, katanya, mesti kembali semula kepada al-Quran, membuka semula hadis Nabi s.a.w. dan mengkaji bagaimana menyambut hari raya mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. dan menepati apa yang dikehendaki oleh Allah s.w.t..

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah Bil: 234, Ogos 2011 di ruangan 'TOPIK' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment