Oleh: Mat Zain Mat Isa
Para pendukung perjuangan Islam, khususnya ahli dan penyokong PAS kehilangan sebutir lagi permata berharga apabila berpulangnya ke rahmatullah Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Dato’ Mohd Ghazali.
Ahli Jawatakuasa PAS Pusat itu disahkan meninggal dunia pada Ahad, 17 Julai di Unit Rawatan Rapi Hospital Selayang akibat penyakit barah paru-paru yang dikesan sejak dua tahun lalu.
Beliau meninggalkan suami, Prof. Madya Dr Aminuddin Abd Hamid dan empat anak. Sekalung takziah buat seluruh anggota keluarga Allahyarham.
Tidak syak lagi pemergiannya banyak meninggalkan pengiktibaran. Kegigihan dan komitmen tinggi beliau dalam menjulang cita-cita mendaulatkan Islam wajar dicontohi semua pihak. Ia sepatunya menyemarakkan lagi semangat dan iltizam para pencinta demokrasi, terutama di kalangan muslimat PAS, untuk mengambil teladan daripada susur galur perjuangannya.
Bekas aktivis Dewan Muslimat PAS Pusat itu tidak naik mendadak di dalam hierarki kepimpinan parti. Bahkan, buat jangkamasa agak panjang, beliau mengekalkan kedudukan low profile serta tidak menzahirkan penglibatan terbuka.
Kehadirannya pada era 90-an seakan tidak disedari atau tidak begitu dipedulikan. Beliau sekadar mengisi kolum tetapnya dalam al-Muslimah, majalah wanita Islam yang suatu ketika dulu pernah diurusterbit oleh Dewan Muslimat Sdn Bhd.
Hanya kira-kira sedekad lalu Allahyarham mengejutkan arus perdana politik PAS apabila muncul satu-satunya calon muslimat yang berjaya memenangi pemilihan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.
Sejak itu beliau kekal berada di saf hadapan parti. Di atas faktor kesihatan beliau tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan PAS Pusat, Jun lalu.
Pada Pilihan Raya Umum 2004, anak bekas mufti Perak, Dato’ Mohd Ghazali Abdullah ini diamanahkan menggalas tanggungjawab mencabar Barisan Nasional (BN) di Parlimen Bukit Gantang. Barangkali faktor beliau anak kelahiran Kuala Kangsar, turut menjadi perkiraan pucuk pimpinan PAS.
Nasib bagaimana pun tidak menyebelahi Allahyarham. Beliau tewas kepada calon Gerakan, Dato’ Tan Lian Hoe dengan majoriti lebih 8,000 undi.
Namun kegagalan itu tidak pernah mematahkan semangatnya. Pada 2008, Dr Lo’ Lo’ sekali lagi membuat ‘kejutan’. Beliau mencipta sejarah buat PAS apabila pertama kali parti itu berjaya memenangi kerusi di Wilayah Persekutuan.
Allahyarham menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Aziz Jamaluddin Md Tahir di Parlimen Titiwangsa dengan majoriti 1,972 undi. Beliau memungut 17,857 undi berbanding Aziz Jamaluddin yang mengutip 15,885 undi.
Selain dianggap kejutan politik dan penciptaan sejarah, kemenangan itu juga sekali gus mengoyak-rabakkan keegoan dan hegemoni kuasa BN, khususnya di kerusi berkenaan. Ia memadamkan keyakinan BN mengekalkan cengkamannya di kubu tradisi itu, terutama bermodalkan majoriti pada 2004 berjumlah hampir 12,000 undi.
Bahawa BN tidak mampu ditewaskan di kawasan majoriti Melayu, khususnya di Pantai Barat bukan lagi hakikat politik yang boleh diterima. Tiada lagi kawasan selamat buat parti pemerintah itu, termasuk di ibu negara.
Apatah lagi daripada sebelas kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, BN mampu mempertahankan hanya satu kerusi, iaitu di Setiawangsa. Itu pun dengan kemerosotan lebih separuh undi majoriti.
Kemenangan Dr Lo’ Lo’ bersama calon-calon Pakatan Rakyat lain menggambarkan kecenderungan bahawa warga kosmopolitan Kuala Lumpur telah sepakat menolak kebobrokan pemerintahan BN. Pembuktian itu pula berlaku selepas parti-parti pembangkang teruk diganyang dan dibelasah menerusi seluruh saluran media dikuasai BN, terutama ekoran berlangsungnya Himpunan Bersih pertama pada November 2007.
Apa yang tidak dikata dan dilontarkan oleh agen-agen propaganda parti pemerintah itu terhadap parti lawan? Keadaannya tidak jauh berbeza dengan apa yang baru dan sedang dialami pihak-pihak terlibat dengan penganjuran Bersih 2.0 baru-baru ini.
Empat tahun lalu, parti-parti pembangkang digambarkan cuba membawa negara ke kancah huru-hara dan kacau-bilau. PAS secara spesifik dituduh pemecah belah perpaduan bangsa Melayu dan umat Islam. Lebih teruk lagi, ia dilabelkan sebagai menggadai maruah agama dan sanggup menjadi alat kepada pihak/parti lain.
Bukankah tuduhan dan label serupa yang kini bersipongang di media arus perdana talibarut BN?
Empat tahun lalu juga, para cerdik pandai, agamawan dan ahli akademi disintuk limau agar tampil merasionalkan segala cerita buruk BN terhadap Himpunan Bersih. Ada pihak yang kononnya membuat kajian ilmiah, mendakwa parti pembangkang akan menerima akibat paling buruk dalam pilihan raya selepas itu.
Kata mereka, warga ibukota semakin muak dan bertekad menolak pembangkang. Himpunan Bersih 2007 dikatakan telah menyusah dan merugikan rakyat. Ia menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap kewibawaan pembangkang mengekalkan keamanan negara.
Malah ada juga dakwaan kononnya anak-anak muda semakin menolak parti-parti itu, terutamanya PAS.
Hanya sejurus selepas kerancakan serangan dan tohmahan sedemikiannya munculnya pilihan raya umum. Pakatan Rakyat hampir menyapu bersih kerusi di Kuala Lumpur.
Kemenangan itu, termasuk oleh Dr Lo’ Lo’ adalah bukti nyata bahawa Himpunan Bersih 2007 telah membuakkan lagi semangat menolak BN di kalangan warga kota.
Itulah hakikat yang memang diakui BN, walau pun kini ia berusaha sedaya mungkin menggambarkan seolah-olah keadaan yang berlaku adalah sebaliknya.
(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding yang disiarkan tabloid Harakah Bil: 1659, 22 Julai 2011 di ruangan 'fokus', F21 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment