Oleh: Mat Zain Mat Isa
Di antara hujah paling lumrah dihamburkan pelbagai pihak yang tidak bersetuju dengan perjuangan rakyat menuntut proses pilihan raya yang lebih bersih dan adil ialah kononnya sistem yang digunapakai sekarang sudah pun sempurna. Ia dikatakan antara yang terbaik di dunia dan tidak memiliki kecacatan besar atau kelemahan agak ketara sehingga memerlukan suatu perubahan segera dan signifikan.
Barisan Nasional (BN) selaku penguasa yang bertanggungjawab menentukan aturan dan peraturan diterimapakai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menyempurnakan proses demokrasi itu sememangnya menjuarai laungan mempertahankan status quo itu.
Berbagai pihak lain, termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO - yang tidak sukar dibuktikan mempunyai hubungkait rapat dengan BN) tampil menyemarakkan sentimen kebencian umum terhadap kelompok rakyat yang cuba memperbetulkan perjalanan pilihan raya negara ini.
Semacam ada kesepakatan dalam hujah mereka mempertikai kewajaran suara-suara menuntut pembersihan sistem pilihan raya. Bermula daripada pemimpin tertinggi hingga kepada pencacai BN di peringkat akar umbi, mereka ini mendakwa tidak ada apa lagi yang sayugia dibersihkan, sama ada dalam SPR itu sendiri selaku badan pengurus pilihan raya mahu pun proses pilihan raya itu sendiri.
“Keadilan (pilihan raya) yang macam mana lagi yang mereka mahu? Dah lebih 20 tahun PAS perintah Kelantan, menang melalui pilihan raya. Kalau pilihan raya tak adil, tak kan PAS boleh terus perintah (Kelantan), menang pula di Kedah, DAP di Pulau Pinang, PKR (KeADILan) di Selangor?”, kata seorang penjuak Umno.
Kita percaya ungkapan sedemikian sudah menjadi klise di kalangan pendokong BN dan khalayak yang tidak bersetuju dengan tuntutan rakyat tadi.
Bahkan itulah sanggahan paling lumrah kita dengar diucapkan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, para menteri, bekas Perdana Menteri dan sekalian para pemimpin BN. Ia turut dipanjangkan para pemimpin pertubuhan pendokong BN dan para penjuak parti itu di kampung-kampung.
Ertinya, bagi mereka ini hanya kerana pembangkang berupaya memperolehi kemenangan di sebilangan kerusi atau menguasai beberapa negeri, maka ia sudah cukup membuktikan bahawa sistem digunapakai SPR itu adil. Kononnya ia tidak semestinya hanya memihak kepada BN. Justeru, kata mereka, kenapa sibuk-sibuk mahu meminda sistem itu?
Itulah rasional yang bagi kita agak tidak rasional. Apakah sesuatu keadaan, proses atau perbicaraan itu hanya layak dianggap tidak adil hanya sekiranya ia memihak secara mutlak kepada sesuatu pihak? Contohnya, apakah rakyat hanya berhak mengatakan sistem pilihan raya negara belum cukup adil sekiranya semua kerusi dipertandingkan itu dimenangi secara mutlak hanya oleh BN?
Justeru, jika hanya berlaku satu kes tidak memihak pemerintah (contohnya, hanya satu kerusi dimenangi pembangkang) apakah itu sudah boleh dijadikan bukti bahawa perjalanan proses pemilihan itu tersangat adil dan tidak wajar dipertikaikan?
Tidak keterlaluan dikatakan bahawa sememangnya begitulah kecenderungan para pemimpin BN membentuk minda para pendokongnya. Suatu ketika dulu rasional sama disuarakan seorang Presiden Umno apabila mahkamah memutuskan parti itu sebagai pertubuhan haram.
Pemimpin tua menyandarkan kes itu sebagai bukti betapa sistem kehakiman negara ini cukup adil. Lihatlah, katanya, bagaimana sebuah parti pemerintah pun tidak terlepas dari menerima hukuman diharamkan oleh mahkamah. Ertinya disebabkan satu kes yang tidak memihak kepada parti pemerintah (Umno), maka sistem itu dijustifikasikan sudah adil.
Justeru apa–apa suara mempertikaikan keadilan sistem kehakiman negara atau memperjuangkan sistem lebih telus dan berintegriti secara mudah digambarkan sebagai sengaja memburukkan parti pemerintah atau cubaan memporak-perandakan negara.
Para pemimpin Umno peringkat akar umbi juga berpegang kepada hujah serupa. Setiap kali kedengaran aduan salahlaku atau diskriminasi politik oleh penguasa kampung, mereka akan menjawab “macam mana kata kami tak adil, sedangkan penyokong pembangkang juga dapat bantuan kami”.
Selalunya itulah pembuktian mereka. Biar pun jumlah penyokong pembangkang yang menerima bantuan itu hanya tiga daripada keseluruhan 250 penduduk misalnya, itu pun sudah diperbesarkan sebagai hujah kononnya mereka sudah tersangat adil.
Begitu juga dalam menafikan tuntutan akses pembangkang terhadap ruang lebih adil di media arus perdana, terutama yang dimiliki kerajaan. Seringkali mereka beranggapan keadilan itu sudah pun wujud hanya dengan peluang sekali-sekala yang diperolehi para pemimpin pembangkang mengisi ruang media terbabit. Kononnya itulah bukti media dikuasai BN juga memberi ruang secukupnya kepada pembangkang.
Malah ada pula yang melontarkan hujah dangkal betapa para pemimpin BN sebaliknya tidak diberikan ruang seperti itu oleh media-media dikuasai pembangkang, sama ada media cetak atau media baru.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah, Bil: 1655, 8 Julai 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment