Oleh: Mat Zain Mat Isa
Sudah hampir pasti kerajaan Terengganu akan sekali lagi berbelanja besar bagi memuaskan nafsu dan selera para pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri. Hanya bersandarkan kepada alasan melaksanakan agenda pembangunan, wang rakyat halal dibelanjakan semahunya.
Dalam perkembangan terbaru, kerajaan negeri itu merancang menaik taraf Mini Zoo Kemaman dalam masa terdekat. Walau pun para pemimpin BN negeri sedia maklum perbelanjaan tidak sepatutnya diutamakan untuk itu di saat bebanan hidup rakyat semakin bertimpa kini, tidak nampak sebarang petanda mereka akan meraikan keadaan itu.
Pembinaan mini zoo itu telah pun menjadi bahan pertikaian rakyat Terengganu sedari awal. Harga pembelian beberapa binatang dipelihara di situ, terutama dari luar negara dianggap tidak munasabah.
Antara yang paling diperkatakan rakyat ialah bagaimana rupa seekor angsa yang berharga lebih RM3,000, lebih mahal daripada seekor lembu Carolaiss dewasa yang jika disembelih boleh menjamu lebih seribu hadirin.
Selain itu, perbelanjaan besar terutama untuk menyelenggarakannya dianggap tidak sepadan dengan manfaat atau pulangan diperolehi negeri.
Itulah yang sebenarnya menjadi fokus pertikaian rakyat. Malang sekali keluhan dan ‘pandangan kedua’ itu, yang sebenarnya bermaksud agar BN menilai semula keutamaan perbelanjaan wang kerajaan seakan jatuh ke ‘telinga badak’.
Sebaliknya, jika komitmen Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said diambilkira, kos kerja menaik taraf dihasratkannya itu dijangka tidak akan hanya melibatkan angka yang kecil. Ia malah mungkin menjadi berkali ganda lebih besar berbanding kos asal pembinaan mini zoo yang ada sekarang.
Media pada Ahad, 26 Jun, memetik kenyataan Ahmad yang bercita-cita menjadikan taman haiwan di daerahnya itu sebagai zoo terbesar di negara ini. Cita-cita besar itu secara tidak langsung sudah membayangkan justifikasi kepada peruntukan besar yang bakal dikeluarkannya.
Katanya, pelbagai perancangan dirangka pihaknya sebagai tarikan baru ke Mini Zoo Kemaman. Antara yang disebutnya ialah mewujudkan ‘African Safari’ di dalam taman itu.
“Saya juga dihubungi pihak Zoo Melaka dan mereka mahu memberi tujuh ekor singa untuk dipelihara di sini. Pihak zoo juga sedang giat membina sangkar ular tedung sepanjang kira-kira lapan meter,” ujarnya dengan ghairah.
Kerja menaik taraf mini zoo itu dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk disiapkan. Namun, sepertimana lazim berlaku terhadap kebanyakan projek BN, besar kemungkinan tempoh itu akan dilanjutkan semahunya. Bukan itu sahaja, kos pelaksanaannya juga diandaikan bakal meningkat menerusi pelbagai variation orders.
Bagi rakyat yang semakin terhimpit oleh kenaikan kos sara hidup, sama ada zoo itu ada atau tidak, bukan sesuatu yang diharapkan mereka. Bahkan jika ia langsung tidak dibina pun, rakyat tidak akan menyesal, menyalahkan BN atau menganggapnya sebagai kegagalan pemerintahan parti itu.
Sebetulnya banyak perkara lain lebih wajar diutamakan jika benar BN berhasrat menyenangkan hidup rakyat Terengganu. Contohnya, masalah kecetekan muara sungai akibat timbunan pasir yang berlaku di seluruh negeri.
Sebagai negeri yang ramai penduduknya bergantung kepada laut sebagai medan mencari rezeki, keselesaan laluan bot adalah keperluan asasi para nelayan. Bagaimana pun hampir semua muka kuala di negeri itu berdepan masalah mendapan pasir sehingga menyukarkan bot-bot keluar-masuk.
Setakat ini hanya muara Sungai Dungun mendapat komitmen pihak berkuasa untuk dilakukan kerja pendalaman. Itu pun baru kedengaran minggu lalu setelah bertahun-tahun lebih 1,000 nelayan di situ terpaksa melalui berbagai kesukaran mendaratkan hasil tangkapan atau keluar mencari rezeki. Ia juga bukan dari peruntukan kerajaan negeri, tetapi sepenuhnya di atas bantuan ehsan Kerajaan Pusat.
Ada pun masalah sama dialami para nelayan di tempat lain belum diberitakan mendapat perhatian BN. Pernah tersiar sebelum ini kisah bagaimana 300 nelayan di Sungai Merchang, Marang terpaksa melupakan hasrat ke laut kerana muara sungai itu tertutup oleh timbunan pasir.
Masalah sama yang mencengkam 600 nelayan dari beberapa kampung di sekitar Permaisuri, Setiu yang menggunakan Sungai Kuala Baru juga pernah dilaporkan media.
Rakyat Terengganu di beberapa daerah juga berdepan masalah bekalan air sangat kritikal. Kes-kes di daerah Marang adalah paling menyedihkan. Ada penduduk terpaksa menumpang mandi di masjid, ada yang berjaga seawal jam 3 pagi untuk menadah air hampir setiap hari.
Dalam kes agak terlampau, kebakaran di kantin sebuah sekolah di daerah itu terpaksa dipadamkan menggunakan kuah kari dan sup yang disediakan untuk hidangan tengahari berkenaan kerana bekalan air tidak ada.
Masalah yang membelenggu hidup rakyat di daerah itu dikatakan berlarutan sejak tujuh tahun lalu. Tarikh itu jika diteliti ia merujuk kepada tahun 2004, iaitu tahun Terengganu kembali diperintah BN.
Ertinya, sejak mengambilalih semula negeri daripada PAS, masalah air masih gagal diselesaikan BN. Apakah ia berdepan masalah peruntukan kewangan?
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1653, 1 Julai 2011 di ruangan 'kolumnis, F22' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment