Sunday, July 17, 2011

Umno silap besar ‘menjolok sarang tebuan’


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Para pemimpin Barisan Nasional (BN), khususnya Umno tersilap besar sekiranya menyangka dengan apa yang telah diperlakukannya terhadap pihak penganjur dan pendokong Himpunan Bersih 2.0 akan memberi keuntungan politik kepadanya.

Lebih tersilap lagi andainya mereka berharap dengan tekanan, momokan dan cereka buruk yang mereka lontarkan terhadap semua pihak terlibat menjayakan himpunan itu akan menghakis sokongan rakyat terhadap perjuangan menegakkan keadilan dan membedah demokrasi negara.

Apa yang terhasil ekoran manipulasi jahat BN, termasuk tindakan ganas dan rakus anggota keselamatan dalam menggagalkan himpunan aman itu, terbukti bukan suatu yang menyelesakan parti pemerintah itu. Sebaliknya, ia bertukar menjadi pembakar semangat dan pencetus gelombang kebangkitan lebih membugar di kalangan pendokong parti-parti pembangkang.

Sebagai salah satu negeri yang sentiasa menjadi sasaran kemenangan PAS, Terengganu kali ini tidak terlepas daripada badaian gelombang kebangkitan itu. Isu Himpunan Bersih 2.0 paling tidak telah menjadi penguji tahap komitmen para pendokong parti itu yang selama ini dianggap lesu, tidak bermaya dan ‘putus semangat’.

Alhamdulillah, mereka telah menunjukkan tahap sensitiviti agak tinggi, terutama dalam memberikan reaksi spontan terhadap apa-apa tindakan politik oleh parti lawan. Ia terbukti apabila hanya dengan sedikit kerahan menerusi khidmat pesanan ringkas (sms), mereka sanggup meninggalkan rutin harian dan bergegas membentuk lautan manusia di lokasi diarahkan kepimpinan parti.

Itulah yang berlaku suatu petang dua minggu lalu. Ura-ura Pemuda Umno Terengganu akan mengadakan perhimpunan haram di depan pejabat Badan Perhubungan PAS negeri bagaikan mengusik kesabaran penyokong PAS.

Dikatakan dalam masa hanya tidak sampai sejam dikerah menerusi sms, ratusan anak muda PAS terutama dari sekitar Kuala Terengganu telah memenuhi pekarangan pejabat itu. Mereka cukup bersedia menerima kunjungan khalayak sebaya mereka dari parti lawan yang kononnya mahu membantah sokongan Pemuda PAS Terengganu terhadap Himpunan Bersih 2.0.

Mujur juga Pemuda Umno membatalkan hasratnya itu. Kelibat mereka tidak kelihatan hingga ke petang. Barangkali para perisik telah memaklumkan kepada mereka bahawa Pemuda PAS telah membentuk lautan manusia menyambut ketibaan mereka.

Sebetulnya sudah agak lama rakyat Terengganu tidak menyaksikan jumlah besar manusia, khususnya khalayak politik, berkumpul di satu-satu lokasi secara mengejut sebegitu. Ada pun perhimpunan melibatkan kerahan atau program besar dirancang dalam masa agak panjang bukan lah perkara pelik dan tidak disifatkan suatu yang mengejutkan.

Sama ada PAS mahu pun Umno, selaku dua pemain utama di pentas politik Terengganu, kedua-dua parti itu memang mengaturcarakan perhimpunan besar dalam kalendar tahunan masing-masing. Saban tahun memang ada program melibatkan kehadiran ribuan penyokong di sesuatu tempat membincangkan berbagai perkara berkaitan perjalanan parti, perkembangan politik semasa dan berbagai isu.

Yang berbeza hanyalah nama mereka. Sementara PAS selesa menggunapakai istilah Arab iaitu ijtimak, Umno pula bangga dengan perkataan konvensyen, sesuai dengan akronim namanya yang memang diaspirasi penjajah Inggeris itu.

Namun, suatu perhimpunan melibatkan kerahan segera atau tergempar sudah lama tidak berlaku di Terengganu. Rasanya kali terakhir himpunan sedemikian, yang berlaku sebagai reaksi spontan terhadap sesuatu isu atau perkembangan mengejutkan ialah pada malam 21 Mac 2004.

Hari itu berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-11. Belum pun sempat keputusan penuh diumumkan, kekalahan PAS sudah dapat dicium. Menjelang Maghrib, sudah tersebar berita ke serata negeri dan negara bahawa PAS bakal kehilangan kerajaan negeri Terengganu.

Maka menjelang waktu Isyak ribuan ahli dan penyokong PAS dari seluruh negeri telah berhimpunan di pekarangan Masjid Rusila, Marang. Jumlah mereka meningkat berkali ganda sejam-dua selepas itu.

Menjelang jam 11 malam, hampir tidak ada sudut tidak dipenuhi manusia. Sebahagian mereka memenuhi jalan raya, malah melimpah ke pantai di seberang jalan. Tanpa tujuan yang jelas dan tanpa diketahui siapa bertanggungjawab membuat kerahan, mereka dengan sendirinya terpanggil untuk hadir.

Barangkali dorongan utama buat mereka ke situ ialah demi menzahirkan kebersamaan mereka dengan para pemimpin kesayangan. Di saat hati mereka sendiri luluh dan terkedu, berkongsi perasaan sedih dengan rakan-rakan seperjuangan dari serata negeri sekurang-kurangnya diharap mampu mengubati kedukaan ketika itu.

Perhimpunan tergempar sebegitu bagaimana pun tidak berlaku selepas itu. Ia hanya muncul semula ekoran kesilapan BN/Umno yang terlalu meuar-uarkan tindakan keras dan rakus terhadap mana-mana pihak yang mempromosi Himpunan Bersih 2.0.

Bagai disebutkan, pendirian BN yang keras dan tidak demokratik itu telah menukar suhu politik negara. Tidak keterlaluan jika ia diibaratkan ‘menjolok sarang tebuan’. Elok-elok binatang penyengat itu duduk diam dalam sarang atau sekadar terbang buat hal sendiri sekitar tempat tinggalnya itu, tiba-tiba ada orang mengusik kedamaiannya.

Rakyat ternyata tidak dapat menerima kebongkakan BN menidakkan hak dan kebebasan rakyat berhimpun dan meluahkan pendirian. Lebih menzahirkan kezalimannya ialah apabila BN sanggup merampas baju T Bersih, kemudian memfitnah pihak penganjur dengan berbagai cereka buruk.

Kemuncak tindakan yang amat mengusik kesabaran pendokong PAS ialah apabila beberapa pemimpin utama parti ditahan pada hari kejadian. Kenyataan tegas dari pejabat Agung PAS agar pihak polis segera membebaskan mereka, terutama Presiden parti, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menerjah hati ahli-ahli PAS hingga ke peringkat bawahan bagaikan halilintar membelah bumi.

Mereka bukan setakat bersedia, malah ada yang telah pun memulakan perjalanan untuk membentuk lautan manusia di depan ibu pejabat polis dimaksudkan. Ada yang menuju ke Bukit Aman, Kuala Lumpur. Tidak kurang juga yang bergegas ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis Terengganu di pusat bandaraya Kuala Terengganu.

Mujur juga berita pembebasan Tuan Guru Presiden cepat diterima. Himpunan dimaksudkan tidak sempat berlaku.

Bagaimana pun, semangat kebangkitan yang telah dicetuskan tindakan rakus BN itu kini sudah semakin sukar dipadam. Di luar dugaan, kepulangan Tuan Guru Presiden ke Terengganu Isnin lalu disambut lautan manusia. Malam itu hampir tidak ada ruang kosong di segenap sudut Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu.

Sudah lama beliau tidak diberikan sambutan sehebat itu ke mana-mana Tuan Guru pergi. Ekoran kebajingan BN melayani Himpunan Bersih 2.0, kehebatan itu tiba-tiba muncul semula.

Itulah yang kita maksudkan bahawa BN/Umno telah tersilap besar!

(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding artikel disiarkan tabloid Harakah Bil: 1658, 18 Julai 2011 di ruangan 'Kolumnis', N5 dengan tajuk serupa)

No comments:

Post a Comment