Oleh: Mohd Nasir Awang
Dalam salah satu hadisnya yang masyhur, Nabi Muhammad s.a.w. mengingatkan umatnya tentang dua perkara yang ditegasnya sebagai peninggalan paling berharga. Dua perkara itu ialah kitabullah (al-Quran) dan sunnahnya (hadis).
Baginda s.a.w. memberi jaminan bahawa barangsiapa yang berpegang teguh kepada dua perkara itu, nescaya dia tidak akan sesat selama-lamanya. Sebagaimana yang wajib umat Islam imani, janji Rasulullah s.a.w. adalah suatu yang benar dan pasti.
Bersandarkan sabda itu, sepatutnya umat Islam tidak perlu lagi tercari-cari atau tertanya-tanya akan apakah perkara terbaik yang sepatutnya setiap ibu bapa wariskan kepada anak-anak, terutama tatkala mereka pergi meninggalkan dunia yang fana ini.
Logiknya, di atas sifat Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rasul, apa juga yang diwasiatkan Baginda adalah perintah dan arahan kepada umatnya. Bahkan, sebagai manusia paling mulia di sisi Allah serta dinobatkan selaku uswatun hasanah, sudah sepatutnya apa juga dipertutur dan diperbuat Baginda s.a.w. turut menjadi teladan dan ikutan terbaik umat manusia seluruhnya.
“Nabi kita (Muhammad s.a.w.) bukan setakat sebut, beri idea (berhubung dua perkara ditinggalkannya itu), dia beri contoh (amali). Dia sendiri memang tak tinggal benda lain, sama ada kepada umatnya atau kepada anak-anaknya, melainkan dua perkara itu (Al-Quran dan sunnah),” ulas Tuan Haji Omar Sidek, mengatur bicara.
Beliau yang juga Pengerusi Klinik Rawatan Islam Darussyifa’ Cawangan Besut mengemukakan pandangannya berhubung perkara yang sepatutnya ditekankan setiap ibu bapa dalam mewariskan kehidupan yang baik buat anak-anak mereka.
Baginya penegasan Rasulullah s.a.w. itu sudah lebih dari cukup untuk difahami bahawa perkara paling diutamakan Baginda terhadap umatnya ialah pegangan yang teguh kepada ajaran agama. Bukankah al-Quran dan sunnah itu dua sumber hukum dan panduan hidup paling utama bagi umat Islam?
“Kenapa Baginda berpesan sebegitu? Sudah tentu kerana selaku Rasul dan Kekasih Allah, Baginda diberikan kelebihan untuk menjangka dan mengetahui apa keadaan yang bakal menimpa umatnya suatu ketika kemudian.
“Sebab itu jika fikir baik-baik, apa hikmatnya Nabi kita (s.a.w.) pesan ‘jangan kamu kembali menjadi kufur setelah aku wafat’? Apakah Baginda tidak yakin dengan tahap keimanan para sahabatnya dan bimbang mereka akan kembali ke agama asal? Ataukah dia dah tahu memang suatu hari nanti umat dia akan berdepan cabaran sangat besar sehingga ke peringkat mereka boleh jadi kufur?” terjah Haji Omar.
Bagi pemilik ijazah jurusan Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini, pesanan itu sendiri menunjukkan betapa yang menjadi kebimbangan utama Baginda s.a.w. dan para Anbiya’ sebelumnya ialah apa yang akan disembah oleh umat masing-masing selepas mereka wafat.
“Adakah kita fikir sampai ke situ? Yang kita fikir ialah apa anak aku akan makan, bagaimana anak aku akan hidup selepas aku tak ada. Sebab itu yang kita lebih tekankan nak wariskan kepada anak-anak ialah harta,” ujarnya dalam nada kecewa.
Menurutnya, hujah itulah yang seringkali diberikan kawan-kawan apabila ditanya, kenapa mereka membina rumah besar, memiliki kebun dan tanah yang luas. Jawaban yang biasa dipeolehi ialah ‘cadang (nak tinggalkan) untuk anak-anak’.
“Inilah masalahnya, kita sekarang ajar anak-anak kita pun tak kena. Bahkan orang yang berpendidikan agama sendiri pun, masih ada fikir nak tinggalkan harta, rumah, kebun, ladang, kereta kepada anak-anak. Kita tak ada rasa yakin pada ketentuan Tuhan, seolah-olah kita tersangat bimbang kalau tak tinggal apa-apa (harta) anak-anak kita mungkin hidup susah selepas kita mati. Sedangkan orang tua-tua kita telah ajar, ‘ulat dalam batu pun boleh hidup’, inikan pula manusia yang bernyawa dan bebas bergerak ke sana-sini”, luah Haji Omar lagi.
Bagi beliau, di sinilah punca kesilapan kita. Sepanjang hidup kita sebagai ibu bapa sudah mengajar dan menunjukkan teladan kepada anak-anak supaya mengutamakan harta sebagai peninggalan. Mereka pula akan mengulangi kesilapan sama terhadap anak-anak mereka nanti.
“Sepatutnya kita paling runsing, bimbang lepas kita mati, dia tak pegang teguh kepada agama. Sebab itu saya amat dukacita bila tengok ada emak dan ayah begitu kuat berjuang Islam, bahkan sesetengah tu pegang jawatan penting dalam jamaah Islam. Tapi mereka tak bimbang selepas ketiadaan mereka, anak-anak tak ada pun yang mengikuti jejak langkah mereka.
“Lebih teruk lagi, semasa hayat emak ayah pun anak-anak itu sudah menjadi penyokong dan pemimpin kepada kumpulan yang menentang jemaah yang mahukan Islam. Mereka langsung tak berkongsi aspirasi perjuangan mak ayah. Ini amat memalu dan mendukacitakan,” Haji Omar mendedahkan pemerhatiannya.
Baginya kesilapan ini mesti diperbetulkan. Bahawa yang selayaknya diusahakan para ibu bapa untuk diwariskan kepada anak-anak ialah pegangan yang teguh kepada aqidah dan ajaran Islam.
“Untuk itu anak-anak mesti dibiasakan dengan mentaati perintah Allah. Kita kena ‘kepung’ anak-anak supaya kehidupan seharian mereka dibudayakan dengan cara hidup beragama.
Bagi merealisasikan hasrat murni itu, Haji Omar menggesa ibu bapa membiasakan anak-anak dengan masjid. Masjid adalah pusat terbaik menemui kaedah kehidupan beragama.
Untuk itu anak-anak, katanya, perlu dididik agar membiasakan solat berjamaah. Mulakan dengan usaha mengekali paling kurang satu waktu dalam sehari secara berjamaah di masjid.
Kerajaan juga katanya, perlu mengambil insiatif yang lebih bersungguh dan berencana.
“Pemerintah perlu ubah program pendidikan masyarakat. Jangan hanya tekan hiburan, perkara yang menyimpang dari ajaran agama dan semakin menjauhkan generasi muda dari mentaati suruhan Tuhan,” lukunya.
Beliau turut mencabar jamaah dan kumpulan Islam. Baginya, kalangan yang cintakan Islam, berusaha mendaulatkan syariat Islam dan berjuang menegakkan hukum Tuhan, sebenarnya lebih utama menyemarakkan budaya hidup yang bertepatan dengan agama.
“Kita yang nakkan Islam ini kena bersungguh, berfikir dengan bersungguh, buat program secara bersungguh, ikhtiar secara bersungguh untuk wujudkan jiwa anak-anak yang kental menghadapi cabaran dunia mutakhir ini.
“Kita mungkin tidak berjaya sepenuhnya mendidik anak-anak ke arah itu. Tapi sebagai mak ayah, kita jangan berputus asa. Doakanlah secara berterusan agar anak-anak ini kembali menghayati hidup mengikut ajaran agama. Mudah-mudahan walau pun mungkin dia tidak berpaling kepada agama sehingga kita (ibu bapa) menghembuskan nafas terakhir pun, mana tahu selepas kita mati mereka terbuka hati, insaf dan menjadi manusia yang baik, berkat doa dari kita. Harap-harap begitu lah,” Haji Omar menutup bicaranya.
(Artikel ini adalah versi asal kepada artikel disiarkan majalah al-Muslimah, Bil: 233, Julai 2011 di ruangan 'TOPIK' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment