oleh: Mohd Nasir Awang
Di antara kelebihan yang setakat ini masih dinikmati Barisan Nasional (BN) ialah kemampuan memutarbelit fakta dan memanipulasi apa juga isu dalam masyarakat demi kepentingan politiknya.
Tahap kenikmatan itu sudah jauh merosot berbanding dekad-dekad lalu. Bagaimana pun saki-baki kelebihan itu masih mencukupi buat parti pemerintah itu menjajah minda rakyat, sekali gus mengekalkan hayat politiknya.
Berbekalkan kuasa dan kekuatan, sama ada di sudut kewangan, jentera kerajaan mahu pun media massa, BN sehingga kini berjaya mencorak minda rakyat untuk melihat secara positif apa juga dilaksanakannya.
Sebaliknya, setiap usaha dan tindakan parti-parti pembangkang, atau mana-mana pihak yang dilihat boleh memberikan keuntungan politik kepada pembangkang, sebegitu mudah digambar dan diuar-uarkan sebagai bakal memberikan kesan negatif terhadap rakyat dan negara.
Setakat ini masih ada rakyat yang termakan dengan mainan BN itu. Sebab itu dapat kita lihat apa yang sedang berlaku terhadap hasrat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menganjurkan perhimpunan aman, minggu depan.
Tidak sedikit pihak yang menganggap ia boleh memudaratkan kehidupan rakyat. Berbagai kelompok pendokong BN yang bertopengkan pertubuhan mewakili masyarakat umum tampil membantah dan membuat laporan polis.
Media-media massa, terutama yang dikuasai kroni BN pula berusaha keras menyemarakkan lagi kebencian rakyat terhadap Bersih 2.0 yang dicadangkan itu. Pelbagai label dan gambaran negatif dipasakkan ke minda rakyat, termasuk beberapa fitnah dan kaitan yang tidak masuk akal.
Manakala di masa sama BN bebas semahu-mahunya meneruskan agenda mungkar politik dalam pemerintahannya. Ia selesa menolak hukum Tuhan, menghina ajaran dan perintah agama serta mengenepikan prinsip keadilan dan kebebasan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
BN juga tidak berdepan sebarang masalah meyakinkan rakyat mengenai segala bentuk perbelanjaan dilakukannya. Namakan apa juga projek besar dan mega menelan belanja ratusan atau ribuan juta, BN sentiasa ada justifikasi mewajarkan pelaksanaannya.
Sehinggakan sebarang suara membantah dan mengaitkan pemborosan itu dengan skandal, penyelewengan dan salahurus kewangan negara akan kembali ditempelak sebagai usaha yang sengaja memburukkan pemerintah dan mesti ditentang.
Itulah kecenderungan yang setakat ini masih kekal sebagai tabiat mana-mana kerajaan dikuasai BN. Semata-mata di atas alasan memacu negara atau negeri dan memastikan agenda pembangunan bergerak ke depan, wang rakyat halal dibelanjakan semahu mereka.
Kerajaan BN Terengganu tidak terkecuali. Seakan tidak ada hasrat menoleh ke belakang dan sekurang-kurangnya meraikan sedikit rintihan rakyat, ia sebaliknya semakin ghairah mencurahkan peruntukan lebih besar demi memuaskan agenda peribadi para pemimpinnya.
Awal minggu ini, Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan beberapa projek besar lagi. Semuanya diputuskan di atas premis memajukan sektor pelancongan negeri.
Antaranya, beliau bercadang menaik taraf Mini Zoo Kemaman sehingga menjadi zoo terbesar di negara ini. Sedangkan sedari awak pembinaannya dulu taman haiwan itu sudah dipertikaikan rakyat terutama dari sudut keutamaan membelanjakan wang kerajaan untuk kepentingan rakyat.
Bantahan dan ‘pandangan kedua’ dari rakyat itu langsung tidak diambil kira. BN sangat angkuh untuk sekurang-kurangnya meneliti apa yang lebih diperlukan rakyat di saat mereka ditimpa pelbagai peningkatan kos sara hidup mutakhir ini.
Tabiat gemar berboros dan berbelanja sekehendak hati mewajarkan apa juga yang mahu dilaksanakannya.
“Kita juga bercadang membina taman tema air di negeri ini kerana ramai rakyat negeri ini terutama penduduk Kemaman pergi ke Gambang, Pahang untuk menikmati keseronokan bermain di taman tema air di sana,” kata Ahmad, sepertimana dilaporkan media cetak, Ahad (26 Jun).
Bukan itu sahaja, semasa melepaskan peserta BOTR di Petaling Jaya pada Jumaat, Ahmad malah menyenaraikan beberapa projek lagi yang bakal dilaksanakannya khusus bagi memajukan Tasik Kenyir.
“Kalau di Pulau Duyong, Terengganu terkenal dengan perlumbaan kapal layar bertaraf antarabangsa (Piala Monsun), kenapa tidak Tasik Kenyir yang tidak kurang hebatnya,” katanya.
Beliau mengumumkan hasratnya menganjurkan perlumbaan F1 Powerboat peringkat antarabangsa pada tahun depan, dengan mensasarkan jaguh dunia akan berlumba di tasik berkenaan.
Ertinya, jangan diharapkan beliau menginsafi dan memikirkan semula kelangsungan Piala Monsun yang hingga kini dipertikaikan kewajaran penerusannya, sebaliknya Ahmad merangka pemborosan serupa untuk Tasik Kenyir pula.
Barangkali dia melihat Piala Monsun sebagai peninggalan Idris Jusoh. Maka dia juga mahu dinilai berupaya mengetengahkan idea tidak kurang hebat dalam mempromosi satu sukan air bertaraf dunia.
Soal ia bakal memboros dan mensesiakan wang rakyat nampaknya langsung tidak ada dalam perkiraan para pemimpin BN.
Biar pun tahu rakyat hangit mempertikaikan kewajaran kerajaan mengeluarkan perbelanjaan besar untuk menarik kehadiran pelancong dan pelawat ke daerah terpencil itu, BN bagaikan pekak badak, tidak hiraukan rungutan dan ‘nasihat’ rakyat.
Sebaliknya, ia menambahkan lagi projek dan seakan sengaja mempermainkan perasaan rakyat.
Sebelum ini dicanangkan Tasik Kenyir sebagai Zon Bebas Cukai. Ia malah sedang dibangunkan untuk menjadi setanding Langkawi. Peruntukan keseluruhan pembangunan pulau bebas cukai itu memakan belanja RM80 juta.
Sehubungan itu tidak sedikit wang rakyat dicurahkan untuk berbagai projek di tasik itu. Semuanya atas justifikasi menarik kehadiran pelancong. Antaranya pembelian dua buah perahu besar yang beroperasi menggunakan layar.
Kedua-dua perahu berharga RM1 juta itu dikatakan hanya tersadai tidak dapat digunakan kerana tiupan angin di Tasik Kenyir tidak cukup kencang untuk ia beroperasi. Bodohnya BN, bukan?
Turut dilaksana dan dirancangkan ialah Program Kenyir Island Hoping dengan belanja RM37 juta, Pusat Santuari Gajah Sungai Deka (RM40 juta), Pembangunan Eco Resort (RM30 juta), Taman Anggur (RM3 juta), Taman Rambutan (RM2 juta), Taman Kaktus (RM2 juta), Taman Heliconia (RM2 juta), Pembinaan Gawi Point (RM10 juta) dan Kenyir Water Theme Park (RM80 juta).
Di situ juga telah wujud Taman Burung dengan kos RM6 juta. Ia dikatakan tidak termasuk kos pembelian 101 ekor itik dan angsa berbagai jenis dari luar negara yang menelan belanja RM223,750. Kebanyakan angsa itu berharga antara RM3,800 hingga RM5,600 setiap ekor. Paling murah ialah Mandarin Duck berharga RM750 seekor.
Kedegilan BN meneruskan (setepatnya, menambah) projek yang dianggap memboroskan wang rakyat itu seakan sengaja untuk menutralis kemarahan rakyat.
Kaedah diterap BN itu seakan menyamai apa yang pernah diungkap Adolf Hitler suatu ketika dulu. Kita diberitahu kononnya diktator Jerman itu pernah mengatakan bahawa, “seseorang yang terlanjur berbohong sekali akan sanggup berbohong sepuluh kali lagi demi mempertahankan pembohongan pertamanya itu”.
Kita tidak pasti apakah benar Hitler pernah berkata sebegitu. Sama ada ya atau tidak, yang pentingnya kaedah itu nampaknya sudah diterapkan BN Terengganu dalam melonggokkan projek-projek tidak bermanfaat.
Wewenangan membelanjakan wang rakyat secara boros dan membazir seakan sengaja diulangi satu demi satu supaya rakyat naik malas untuk bersuara.
Barangkali BN berharap oleh kerana terlalu kerap didedahkan dengan projek besar yang dipertikaikan, akhirnya rakyat menjadi kalih atau lali. Lalu akhirnya suara menentang, membantah atau mempertikaikan apa-apa projek seumpama itu didatangkan BN nantinya tidak akan lagi kedengaran.
Palig tinggi pun akan ada pihak yang sekadar menjustifikasi apa yang dibuat BN, “biasa lah buat projek boros dan membazir macam tu, nama lagi BN!”.
(Artikel ini disiarkan laman HarakahDaily, 28 Jun 2011 dengan tajuk 'Keperluan rakyat nombor 2 di Terengganu')
No comments:
Post a Comment