Oleh: Mat Zain Mat Isa
Rasanya belum pernah ada Ucapan Dasar Presiden PAS sejak dulu, terutama sepanjang era kepimpinan ulama bermula awal 80-an lalu, yang tidak menyentuh soal pemerintahan Islam. Walau pun tidak sempat membelek semula secara teliti butir-butir ucapan mereka satu-persatu, adalah secara logiknya dapat diterima akal jika dikatakan perkara itu tidak pernah ketinggalan menjadi subtopik ucapan tahunan terpenting itu.
Bermula dengan Yang Dipertua Agong (jawatan lama untuk Presiden) PAS kedua, Dr Burhanuddin Mohd Noor al-Helmy, diikuti Dato’ Mohd Asri Muda, yang disifatkan beraspirasi nasionalisme itu, kedua-dua mereka tidak melupakan hasrat mendaulatkan hukum dan syariat Allah di bumi Malaysia ini.
Komitmen tidak berbelah bahagi terhadap matlamat itu diteruskan oleh Haji Yusof Abdullah ar-Rawa, Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor dan kini Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Setiap kali membicarakan kebobrokan pemerintahan Barisan Nasional (BN – dulunya Perikatan) diterajui Umno, mereka pastinya akan mengajak masyarakat negara ini memberi peluang kepada PAS memperbetulkan keadaan. Hanya sanya keyakinan yang senantiasa mereka lontarkan ialah betapa hukum dan peraturan Allah Ta’ala sahaja yang mampu menyelesaikan segala masalah kepincangan dan kemungkaran negara, terutama dalam pemerintahan.
Justeru mereka mengajak rakyat bersama PAS mewujudkan sebuah negara yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam. Manakala hukum-hukum yang digunapakai negara itu menuju keredhaan Allah. Bukankah itu yang dirakam secara bertulis menerusi Perlembagaan parti itu?
Sama ada para pemimpin utama PAS itu secara jelas merujuk matlamat tersebut sebagai Negara Islam atau tidak, ia sebenarnya tidak lari daripada maksud yang sama. Ada ketika negara sedemikian disebut sebagai ‘pemerintahan Islam’, ‘Masyarakat Madani’, ‘Negara Hadhori’ atau ‘Negara Islam’. Di kebanyakan masa pula ia dirujukkan sebagai ‘Baldatun Tayyibatun wa Robbun Ghofur’ (Negara Makmur dan Mendapat Keampunan Allah), sepertimana istilah difirmankan Allah Ta’ala di dalam al-Quran.
Sebab itu jika diperhalusi, intipati setiap Ucapan Dasar Presiden PAS saban tahun banyak menyelitkan perkara-perkara yang disifatkan sebagai ciri utama atau teras kepada sebuah negara dimaksudkan itu.
Salah satu ucapan tersebut yang menghuraikan ciri-ciri dan teras itu secara agak terperinci ialah ucapan bertemakan ‘Memantap Iltizam Menyemarakkan Kebangkitan’ oleh Almarhum Dato’ Fadzil pada Muktamar Tahunan PAS ke-48 di Pengkalan Chepa, Kelantan, 2002 lalu.
“PAS mengambil tanggungjawab untuk mengketengahkan rangka Pemerintahan Islam yang menjadi model untuk difikir dan dihazam oleh masyarakat. Ia adalah tanggungjawab kami yang telah berikrar untuk berjuang atas landasan Islam,” baca ucapan itu.
Almarhum lantas menyenaraikan tujuh sifat utama yang mencirikan penghayatan sebuah pemerintahan Islam dimaksudkannya. Antaranya ialah sebuah masyarakat Madani dan Negara Hadhori yang berdiri di atas syura, pemilihan dan demokrasi serta menekankan pembinaan tamadun dan kemanusiaan di atas paksi akhlak dan sistem nilai yang tinggi bertunjangkan sistem kepercayaan (Aqidatul Tauhid) yang benar.
Turut disenaraikan ialah prinsip kesaksamaan (Al-Musaawah), di mana wujud pertanggungjawaban pimpinan terhadap rakyat dan ketaatan rakyat terhadap pimpinan selama dalam lunas-lunas kebajikan dan kebaikan.
Negara dicitakan itu juga pasti melibatkan penyesuaian perundangan dan Perlembagaan Negara dengan meletakkan syariat Islam pada kedudukan tertinggi. Manakala teras seterusnya ialah keadilan atau Al-‘Adalah dalam memelihara kemaslahatan manusia.
Ia juga mendukung prinsip As-Solahiyah (kelayakan) yang sebenar, terutama dalam memberikan tanggungjawab dan kedudukan kepada pemegang amanah dalam pemerintahan.
Teras utama sebuah Negara Islam seterusnya, menurut Al-Marhum Dato’ Fadzil ialah Negara Berkebajikan.
“Pemerintahan Islam pada sifat penghayatannya menekankan aspek khidmat dan kebajikan sehingga apa yang dikatakan dengan pemerintahan Islam adalah ketika lahir di sana sebuah Negara Berkebajikan,” ucapan Almarhum dipetik.
Katanya lagi, “Pada sudut ‘worldview’ dan falsafahnya, penghayatan pemerintahan Islam itu adalah bertujuan untuk memakmurkan atau mengisti’markan mukabumi ini dengan kebajikan dan makruf serta mengelakkan kerosakan, pembaziran dan kemusnahan terhadap seluruh makhluk di atas mukabumi ini termasuk alam sekitar”.
Ertinya, konsep Negara Berkebajikan bukanlah suatu yang berbeza dengan gagasan Negara Islam. Itulah yang menuntut pemahaman yang betul dari kita semua, khususnya mereka yang kini giat mempersoalkan kenapa PAS meninggalkan istilah Negara Islam.
Sebetulnya, dua konsep ini perkara sama. Mungkin lebih tepat sepertimana disebut Almarhum Dato’Fadzil itu, bahawa Negara Berkebajikan merupakan salah satu ciri atau sifat kepada Negara Islam.
Dan, lebih penting lagi, ucapan itu berlaku pada 2002, ketika mana belum ada gagasan Pakatan Rakyat. PAS belum bersatu secara rasmi atau terikat dengan dua lagi parti, KeADILan dan DAP.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1648, 13 Jun 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment