Monday, June 6, 2011

Negara Berkebajikan bukan agenda baru PAS

oleh: Mohd Nasir Awang

Nampak sangat masih ramai yang tidak faham konsep Negara Islam. Justeru, tidak pelik mengapa setiap kali kalimah itu disebut, dapat kita dengar dan baca komen dan reaksi negatif serta tidak munasabah dari khalayak umum.

Amat mendukacitakan apabila tanggapan serong terhadap Negara Islam bukan hanya datang daripada orang bukan Islam. Ia bahkan turut terpacul dari mulut orang-orang Islam sendiri.

Oleh kerana pihak paling akrab kepada kalimah itu ialah PAS, maka pihak paling gemar mempertikai dan mempersendakan konsep Negara Islam setiap kali ia dibual bicarakan ialah para pemimpin dan penjuak Umno.

Mereka terlalu angkuh di tampuk kuasa sehingga sanggup menganggap konsep pemerintahan berteraskan agama suci murni itu suatu ancaman kepada hegemoni kuasa Barisan Nasional (BN).

Sentimen politik kepartian yang terlalu menebal di kalangan mereka pula menjadi tembok penghalang untuk mereka sekurang-kurangnya membuka sedikit minda dan memberi ruang untuk penjelasan pihak lain mengenai kewajaran menjadikan hukum dan peraturan Tuhan sebagai dasar pemerintahan.

Mereka terlalu angkuh untuk memahami susur galur perjuangan PAS, jauh sekali untuk diharapkan menghayati bual bicara para pemimpin parti Islam ini sejak sekian lama.

Sebab itu apabila Presiden PAS, Datu’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memilih ungkapan ‘Membangun Negara Berkebajikan’ sebagai tema ucapan dasarnya tahun ini, banyak pihak yang seakan hilang punca lalu mengulasnya secara sembrono dan tidak ketahuan hala.

Mereka seolah-olah baru pertama kali mendengar ungkapan tersebut dari mulut para pemimpin PAS. Justeru ada yang secara boros terus menyimpulkan kononnya PAS telah berubah haluan perjuangan.

PAS dikatakan tidak lagi berhasrat menubuhkan Negara Islam, sebaliknya menukar matlamat perjuangannya kepada sebuah Negara Berkebajikan pula.

“Saya melihat penolakan konsep Negara Islam satu isyarat jelas kepada rakyat bahawa PAS sanggup menggadai prinsip demi meraih kemenangan politik,” ujar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

PAS dikatakan sudah lari dari prinsip perjuangan asal dan dikatakan hilang pedoman. Bahkan ada yang menuduh PAS menjual agama semata-mata kerana mahu mendapatkan pengaruh dan kuasa.

“PAS sudah terpengaruh dengan DAP menyebabkan mereka sanggup menjual agama demi mencapai matlamat untuk mendapatkan pengaruh dan kuasa, dan kalau soal Negara Kebajikan, BN sudah lama buat,” ulas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Ketua Menteri Melaka itu memang terkenal dengan sifat suka ‘cakap lepas’. Sepertimana para pemimpin Umno lain, beliau juga ada tabiat suka membuat kenyataan secara boros, sembrono dan tanpa usul periksa. Sebab itu kekadang ada kenyataannya yang kedengaran lebih dungu daripada pelajar sekolah!

Para pemimpin dan penjuak Umno bukan faham sangat pun apa itu Negara Islam. Mereka malah tidak pun sempat meneliti konsep Negara Berkebajikan dibentangkan Presiden PAS itu, tetapi tetap mahu mengulas berdasarkan kejahilan mereka.

Sebab itu tidak menghairankan sekiranya pemimpin Umno menyifatkan tindakan PAS mengutarakan matlamat ‘Membangun Negara Berkebajikan’ itu sebagai menggugurkan misi perjuangan menubuhkan Negara Islam.

Mereka memang tidak faham dan bercakap semata-mata atas serakah dan sentimen politik yang sempit. Lalu ada yang kata PAS berbuat demikian kerana takut hilang sokongan rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat.

“Abdul Hadi tidak sebut soal Negara Islam kerana takut kepada pemimpin DAP, Karpal Singh dan Lim Kit Siang. Presiden PAS lebih nak jaga hati DAP. Ini satu tragedi dalam sejarah di mana PAS kini tersungkur dan menyembah DAP,” itu pula ulasan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Kesemua kenyataan pemimpin Umno dan polemik Negara Berkebajikan yang sengaja cuba dibentuk media arus perdana talibarut BN adalah berbekalkan fahaman yang cetek terhadap konsep Negara Islam.

Di sana turut terserlah kedangkalan mereka mengenai titih baris perjuangan PAS. Konsep itu sebenarnya sudah bersebati di kalangan pendokong parti ini sejak sekian lama. Ia bukan ungkapan baru dicipta, jauh sekali untuk dikatakan ekoran mahu menyesuaikan diri dengan kehendak rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, khususnyaDAP.

Sesiapa yang benar-benar ikhlas mahu mengesahkan hakikat itu sebenarnya tidak perlu memusatkan sebegitu banyak pengkajian. Cukup sudah sedikit usaha meneliti kembali beberapa Ucapan Dasar Presiden PAS sebelum ini. Di sana sebenarnya sudah terakam sebagai bukti bertulis betapa konsep Negara Berkebajikan sudah pun menjadi bahan bual bicara pemimpin dan pendokong PAS sejak dulu.

Ia dijadikan dua subtopik di dalam ucapan Tuan Guru Abdul Hadi pada 2007 bertemakan “Selamatkan Demokrasi, Tegakkan Keadilan’. Konsep Negara Berkebajikan dilontarkan sebagai penyelesaian kepada peningkatan bebanan hidup rakyat dan kebobrokan pemerintahan yang ada.

Tuan Guru Presiden juga mengungkap kejayaan pemerintahan PAS di Kelantan dan sepenggal di Terengganu sebagai contoh apa yang telah mampu dilakukan parti ini dalam merealisasikan konsep Negara Berkebajikan, “mengikut bidang kuasa kerajaan negeri yang terhad”.

Perlu diingat bahawa pada tahun itu belum ada gagasan Pakatan Rakyat. PAS belum bersatu secara rasmi atau terikat dengan dua lagi parti, KeADILan dan DAP. Justeru, mana mungkin untuk dikatakan kemunculan konsep ‘Negara Berkebajikan’ adalah kerana meraikan pendirian dua parti rakan itu?

Pembuktian konsep itu secara amali disebut sekali lagi dalam ucapan dasar bertajuk ‘PAS Untuk Semua’ pada 2008.

“Walau pun menerima tekanan yang sedemikian, sehingga kini kerajaan negeri Pakatan Rakyat telah dapat menunaikan sebahagian besar janji-janji pilihan raya yang bertemakan ‘Negeri Berkebajikan’ seperti pelaksanaan takaful kafalah di Kelantan, pembekalan air percuma di Selangor, penyerahan hak milik tanah di Perak dan cukai tanah di Kedah yang dikurangkan,” baca ucapan itu.

Soalnya, apakah Negara Berkebajikan ini suatu konsep amat berbeza dengan gagasan Negara Islam? Itulah yang menuntut pemahaman yang betul dari kita semua, khususnya mereka yang gemar mempersoalkan apa juga yang dilontarkan PAS.

Sebetulnya, dua konsep ini perkara sama. Mungkin lebih tepat dikatakan bahawa Negara Berkebajikan merupakan salah satu ciri atau sifat kepada Negara Islam. Bukankah ia telah diperjelaskan para pemimpin PAS sebelum ini?

Rasanya ia antara perkara termuat di dalam Memorandum Negara Islam yang pernah dikemukakan parti sedekad lalu. Almarhum Dato’Fadzil Mohd Noor merakamkan perkara ini dalam ucapan dasarnya bertajuk ‘Memantap Iltizam, Menyemarakkan Kebangkitan’ pada 2002.

Beliau memperincikan tujuh perkara yang disifatkannya sebagai teras utama sebuah Negara Islam. Salah satu teras itu ialah Negara Berkebajikan yang jenuh diperkatakan kini.

“Pemerintahan Islam pada sifat penghayatannya menekankan aspek khidmat dan kebajikan sehingga apa yang dikatakan dengan pemerintahan Islam adalah ketika lahir di sana sebuah Negara Berkebajikan.

“Pada sudut ‘worldview’ dan falsafahnya, penghayatan pemerintahan Islam itu adalah bertujuan untuk memakmurkan atau mengisti’markan mukabumi ini dengan kebajikan dan makruf serta mengelakkan kerosakan, pembaziran dan kemusnahan terhadap seluruh makhluk di atas mukabumi ini termasuk alam sekitar,” ucapan Almarhum dipetik.

Nah! Bukankah sudah terang lagi bersuluh bahawa apa yang sengaja cuba dipertikaikan sesetengah pihak kini sebenarnya sudah lama diperkatakan PAS?

Ia bukan suatu kompromi atau tindakan mengalah yang boleh disifatkan merugikan perjuangan PAS. Jauh sekali untuk dikatakan PAS telah menggadai prinsip perjuangan, semata-mata kerana tidak menyebutnya sebagai Negara Islam.

Ia sebenarnya suatu kebijaksanaan yang menyerlahkan sifat keanjalan dan kesyumulan Islam yang mampu disesuaikan dengan perkembangan dunia. Konsep Negara Berkebajikan didokong Pakatan Rakyat.

Ia menjadi sebahagian perkara disebut di dalam Buku Jingga yang merupakan dokumen dipersetujui bersama parti-parti pakatan pembangkang, termasuk KeADILan dan DAP. Ertinya, agenda PAS sudah disesuaikan dalam bentuk yang dapat diterima rakan-rakan tanpa ragu dan pertikaian lagi. Bukankah itu suatu keuntungan kepada perjuangan Islam?

“Kita mulakan dengan perlaksanaan Negara Berkebajikan. Ia ada dalam Islam dan al-Quran. Dalam al-Quran tidak sebut Negara Islam, ia sebut Negara Berkebajikan,” kata Tuan Guru Abdul Hadi dalam sidang media selepas menyampaikan Ucapan Dasarnya.

(Artikel ini disiarkan laman Harakahdaily.net di kolum 'Pendapat & Analisis' pada 6 Jun 2011 dengan tajuk sama. Ia turut dipetik laman detikdaily.net untuk kolum 'Penulis Tamu' pada hari sama)

No comments:

Post a Comment