Wednesday, June 1, 2011

Serasi kehidupan orang Melayu sejak kanak-kanak


Oleh: Mohd Nasir Awang

Usia Chew Lee Ping belum pun mencecah 18 tahun ketika dia ditakdirkan bertemu dengan Mansor Abdullah, 26. Mereka bersua hanya secara kebetulan, ketika Lee Ping meraikan kawan-kawannya di sebuah warung di Segamat, Johor.

Biar pun dilahir dan dibesarkan dalam sebuah keluarga Cina beragama Buddha, anak kesembilan daripada 10 beradik ini tidak kekok berinteraksi dengan masyarakat Melayu. Sejak kecil keluarganya terdedah kepada budaya dan cara hidup orang Melayu.

Bahkan bagi Lee Ping sendiri, sebahagian besar teman rapatnya di Sekolah Canossion Convent adalah anak-anak Melayu. Seperti remaja lain, beliau juga sering mengikuti mereka keluar minum sambil bersembang-sembang.

Dalam salah satu kunjungan biasa itulah beliau terserempak dengan Mansor. Pemuda berasal dari Kampung Padang Nenas, Kuala Terengganu itu ketika itu bertugas sebagai Merinyu Kawalan Mutu Kayu di pejabat Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Segamat.

Di luar dugaan kedua-dua mereka, pertemuan biasa itu rupa-rupa menjadi titik tolak penting dalam hidup mereka.

“Saya memang sudah biasa dengan orang Melayu. Tapi dia ni (Mansor) lain dari yang lain. Pertama kali tengok dia masa tu pun, saya dah rasa lain,” seraya tersenyum, Lee Ping mengimbau detik amat bermakna itu.

Tanpa selindung beliau yang kini bergelar Puan Nor Hazlina Chew Abdullah, mengakui terus jatuh hati kepada Mansor sebaik melihatnya. Baginya, itu sememangnya cinta pandang pertama.

Masakan sebegitu mudah perasaan cinta itu berputik? Apakah benar kata orang, ‘cinta itu buta’ sehinggakan mereka langsung mengenepikan hakikat perbezaan kaum dan agama?

“Entah lah... masa tu tak terfikir pula perbezaan tu suatu yang besar. Kawan-kawan saya pun ramai yang Melayu cari boyfriend Cina, Cina cari boyfriend Melayu.”

“Lagi pun ayah saya, mak, abang-abang dan kakak-kakak saya, semua berkawan baik dengan Melayu. Kami bercakap Melayu, makan makanan orang Melayu. Orang kata, orang Cina tak suka makan pedas, keluarga saya selalu masak pedas-pedas,” ulas Nor Hazlina, separuh ketawa.

Menurutnya, keserasian keluarganya dengan cara hidup masyarakat Melayu memudahkannya menjiwai kehidupan kaum itu sejak kecil. Malah beliau sendiri lebih seronok berada di kalangan kawan-kawan Melayu berbanding rakan sekaumnya.

“Macam dah takdir tau, masa sekolah dulu pun, saya suka sangat masuk kelas jawi (pelajaran agama Islam). Walau pun diberi pilihan, nak masuk kelas Mandarin, jawi dan lain-lain, saya lebih suka masuk kelas jawi,” cerita Nor Hazlina.

“Sehinggakan pernah juga saya terfikir, ‘kalau lah aku betul-betul jadi orang Islam suatu hari nanti’. Alhamdulillah, ia betul-betul menjadi realiti. Saya syukur sangat (kerana memeluk Islam), saya anggap ini memang (kerana) Allah pilih saya,” ujarnya penuh ceria.

Tidak syak lagi perjalanannya menuju hidayah dan syahadah banyak didorong oleh pergaulan luasnya dengan masyarakat Melayu. Namun, kehadiran Mansor dalam hidupnya bagaikan pemangkin yang memacu jejaknya kepada agama suci ini.

“Sebenarnya saya yang lebih bersungguh ajak suami (Mansor) kahwin. Dia pun terkejut, ‘awak ni serius ke? Betul ke awak sanggup nak masuk Islam?’, dia tanya saya,” cerita Nor Hazlina sambil ketawa.

Bagi membuktikan beliau benar-benar serius dengan hubungan mereka, Nor Hazlina membawa Mansor menemui ibubapanya. Beliau sendiri menerangkan kepada mereka hasrat mengambil Mansor sebagai suami.

“Alhamdulillah, ayah, mak agak terbuka. Dia tak marah. Cuma ayah cakap juga (selepas Mansor pulang), ‘kamu tak ingat ke orang Melayu bunuh Cina dulu?’ (merujuk Peristiwa 13 Mei 1969). Itu aja lah. Kakak-kakak ada juga bising-bising,” sambungnya.

Selepas mendapat ‘restu’ keluarga, Lee Ping mengikut Mansor balik ke Terengganu pada 1980. Pada usia baru mencecah 19 tahun dia melafazkan syahadah. Mereka seterusnya diijabkabulkan, turut disaksi dan diraikan ayah, emak dan adik-beradik Lee Ping yang berduyun ke Terengganu dari Segamat.

“Saya rasa saya dah temui orang yang betul (Mansor). Saya yakin Tuhan dah beri saya jalan hidup yang tepat. My fisrt intention (hasrat pertama saya), lepas kahwin nak belajar Islam betul-betul,” kata Nor Hazlina.

Suaminya benar-benar membantunya mencapai hasrat itu. Menurutnya, seorang makcik dibawa suaminya ke rumah untuk mengajarnya sembahyang. Seorang ustazah kemudiannya turut diupah mengajarnya membaca al-Quran.

Keluarga mentuanya pula amat mengalu-alukan kehadirannya. Kata Nor Hazlina, beliau disambut dengan penuh kasih-sayang. Ibarat kata pepatah ‘bagai menatang minyak yang penuh’.

“Tapi itu belum mencukupi. Ilmu Islam ni tersangat luas. Setakat belajar sembahyang, dapat buat amal, tidak cukup. Kena belajar lebih lagi, baru lah aqidah kita mantap,” ujarnya.

Di atas keazaman itu, kini dalam usia 50 tahun, beliau belum berhenti mendalami ilmu Islam, terutama menerusi bimbingan Ustaz Abdul Halim Lim Abdullah di Kompleks Darul Hidayah kelolaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), di Kuala Terengganu.

Di rumahnya di Gong Badak, Kuala Terengganu, Nor Hazlina adalah ibu kepada empat anak, dua putera dan dua puteri. Anak sulungnya, Nor Ashikin berusia 30 tahun, diikuti Nor Shahidah (27), Mohamad Firdaus (26) dan Mohamad Azahari (23).

Beliau turut menasihati mana-mana Saudara Kita yang baru memeluk Islam agar segera memberati usaha mendalami ilmu agama. Katanya, pengalaman dilaluinya banyak mengajar bahawa hanya dengan memiliki ilmu dan kefahaman yang mantap tentang Islam sahaja seseorang Saudara Kita tidak akan terpesong daripada jalan aqidah.

“Sangat penting bagi kita sentiasa bersabar dan bersyukur, tak kira susah atau senang,” katanya, mengakhiri temubual kami.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah Bil: 232, Jun 2011 di ruangan 'hidayah' dengan tajuk "Perkahwinan dekatkan lagi Hazlina dengan Islam")

No comments:

Post a Comment