Oleh: Mohd Nasir Awang
“AMBO rasa Kelantan akan menang, tapi ambo tetap sokong Terengganu.
Kita orang Terengganu, mestilah sokong negeri kita,” luah seorang peminat
bolasepak dari Besut.
Anak muda itu secara jujur menyatakan pendiriannya mengenai
kemungkinan keputusan yang bakal berlaku di final Piala FA antara dua negeri
Pantai Timur itu, Sabtu (11 Jun ) ini. Pertandingan dijadual diadakan di
Stadium Nasional Bukit Jalil, di ibu negara.
Walau pun bolasepak kerap dianggap tidak lebih sekadar agenda sukan,
bual bicara mengenainya di forum-forum rakyat sebenarnya tidak terbatas
setakat itu. Di sana tersirat berbagai unsur lain, sama ada politik, agama,
patriotisme dan seumpamanya.
Komen peminat di atas adalah contoh terbaik bagaimana semangat
wataniah (perasaan cintakan negeri sendiri) tersemai kukuh di hatinya kendati
pun apa hakikat yang berlaku. Secara jujur beliau menilai kekuatan pasukan
negerinya (Terengganu) tidak sehebat Kelantan.
Apatah lagi selepas aksi hambar Skuad Penyu yang
dimalukan di hadapan penyokong sendiri oleh The Red Warriors, Isnin lalu.
Namun di atas rasa cintakan negeri sendiri, sokong tetap sokong.
Pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah,
Kuala Terengganu, 6 Jun lalu, Terengganu tewas 3-0 kepada Kelantan. Tidak
syak lagi aksi sedemikian di ketika kemuncak perhitungan kekuatan antara
kedua pasukan itu berbaki hanya lima hari seolah-olah memberikan gambaran
awal pertarungan akhir nanti.
Perkembangan itu secara jelas tambah menghangatkan lagi bual bicara
masyarakat mengenai final Piala FA. Forum-forum sembang popular, sama ada di
warung dan kedai kopi ketika bersarapan, di pejabat sambil melayan pelanggan,
di pasar sambil membeli-belah, di pagar jambatan ketika asyik memancing,
bahkan di anjung surau dan masjid sementara menunggu bilal iqamat, seakan
‘dikuasai’ topik bola sejak kebelakangan ini.
Mereka yang obses atau mesra dengan dunia siber pula memanfaatkan
laman-laman sosial untuk menyatakan sokongan kepada pasukan masing-masing.
Banyak entri berkaitan isu bola dan perlawanan akhir itu menjadi pilihan
untuk dipaparkan di ‘wall’
masing-masing.
Agak rancak pertukaran pandangan antara mereka yang kekadang beralih
menjadi perbahasan dan ‘pertikaman’ kata apabila masing-masing
canggah-menyanggahi demi mempertahankan pasukan yang disokong.
Setiap mereka ada hujah dan sandaran tersendiri. Semakin hampir kepada
tarikh final Piala FA, perbahasan dan bual bicara mengenainya semakin rancak
dan hangat.
Apa yang pasti bolasepak bukan lagi sekadar isu sukan. Ia sudah memaut
bersamanya unsur-unsur lain. Jika pendirian peminat dari Besut tadi dikaitkan
dengan semangat wataniah, khalayak politik pula mengambil kesempatan
keghairahan peminat bola ini untuk agenda politik mereka.
Menyedari hakikat bahawa bolasepak adalah sukan nombor satu rakyat
negara ini, ditambah lagi hakikat betapa sebahagian besar penyokong fanatik
setiap pasukan bola adalah kalangan anak muda, maka meraikan minat dan
kecenderungan kelompok ini dirasakan boleh memberikan keuntungan politik
kepada mana-mana pihak.
Sebab itu dapat dilihat kini bagaimana parti-parti politik seakan
berlumba menyertai keghairahan peminat bolasepak menuju malam kemuncak itu.
Mendahului persaingan menambat hati peminat bolasepak ialah Menteri Besar
Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
Sebaik negerinya mengesahkan tiket ke final Piala FA pertengahan Mei
lalu, Ahmad terus sahaja mengarahkan setiap wakil rakyat Barisan Nasional (BN)
Terengganu menyediakan bas bagi membawa penyokong Skuad Penyu.
“Jumlah bas terpulang kepada wakil rakyat berdasarkan peruntukan
bantuan am yang masih ada. Kita ingin melihat stadium dipenuhi penyokong
Terengganu,” tabloid harian edisi Terengganu, 20 Mei memetik katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal turut
memaklumkan akan menyediakan 15 buah bas khusus untuk Dun itu sahaja.
“Sudah pasti ada ganjaran yang akan menanti pemain, namun biarlah ia
(Piala FA) berada di tangan kita dahulu,” ujar Ahmad.
Tidak dipastikan apakah pemimpin Kerajaan Kelantan turut menjanjikan
sesuatu ganjaran untuk pemain The Red
Warriors, atau turut menyediakan bas-bas sewa khas mengangkut ribuan
peminat pasukan negeri itu ke ibu negara.
Namun, apa yang pasti persaingan meraikan peminat bola bukan terhenti
setakat itu. Kini sasaran parti-parti politik beralih pula kepada khalayak
peminat di peringkat tempatan.
Lagi pun jumlah yang mampu diangkut ke Bukit Jalil sudah tentu tidak
seramai yang masih tinggal di kampung masing-masing. Lalu Bahagian, Kawasan
atau Cabang parti-parti seakan berlumba mengajak anggota masyarakat
menyaksikan perlawanan akhir itu dalam persekitaran dianjurkan masing-masing.
Pemidang dan poster memaklumkan lokasi tayangan menerusi skrin besar
dapat dilihat di merata ceruk tanahair. Ia turut diiklan menerusi laman
sosial di dunia siber.
Penganjurnya pula bukan lagi hanya syarikat gergasi, premis niaga atau
pihak berkepentingan dalam perniagaan. Ia turut diambilalih parti-parti
politik, khususnya sayap pemuda masing-masing.
Politik telah menguasai suasana demam bola kini. Sebab untuk itu tidak
sukar dimengertikan. Keghairahan anak-anak muda sememangnya elok disantuni
kerana mereka adalah kelompok sasaran meraih undi pilihan raya. Apatah lagi
demam pilihan raya semakin dirasai bahangnya kini.
Suratan atau kebetulan, dua negeri bakal berentap di final Piala FA
kali ini bukan sahaja berjiran. Pada nilaian politik, mereka sebenarnya
mewakili dua bentuk pemerintahan berbeza diterajui dua parti yang sama sekali
berlawanan halatuju – Umno/BN di Terengganu dan PAS di Kelantan.
Justeru, tidak menghairankan apabila persembahan memberangsangkan
skuad The Red Warriors dikaitkan
dengan keberkatan pemerintahan seorang ulama. Bagi mereka yang berfirasat
sedemikian (sudah tentulah orang PAS!), kemenangan pasukan Kelantan ke atas
Terengganu adalah ibarat kejayaan PAS menewaskan Umno.
“Ini dah jadi macam Tok Guru
(Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan) lawan Mat (Ahmad) Said
ni”, latah seorang aktivis PAS berasal dari Kuala Berang, Terengganu.
Beliau adalah antara sebilangan anak negeri itu yang meletakkan
kecintaan kepada parti mengatasi kesetiaan kepada negeri. Maaf cakap, tidak
sedikit di kalangan peminat bola di Terengganu yang berpendirian seperti itu.
Baca pula coretan seorang rakan dari Rusila ini, sejurus sebelum sepak
mula perlawanan antara Terengganu dan Kelantan, 6 Jun lalu: “... [S]aya memohon maaf kepada peminat
bolasepak Terengganu, kerana dalam perlawanan malam ini atau final Piala FA
nanti saya telah tekad menyokong Kelantan.....Bendera hijau putih bro.”
Ya, itulah rahsianya. Bendera hijau-putih. Bagi mereka ini, parti
lebih utama daripada negeri sendiri. Sepertimana disebutkan tadi, rakan ini
juga menganggap Kelantan mewakili PAS, parti dicintainya. Manakala Terengganu
mewakili Umno/BN.
Setelah diasak rakan-rakan menerusi laman sembang itu, yang antara
lain mempertikaikan kelunturan semangat kenegeriannya itu, rakan tadi menjelaskan:
“Sebabnya, seronok kalau Piala FA juga
dibawa balik ke negeri di bawah pimpinan ulama' (Kelantan). Ingat, sejarah
telah membuktikan bahawa Terengganu boleh wat (bawa) balik Piala M'sia hanya
ketika di zaman ulama' (Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) memimpin dan
Kelantan juga boleh wat balik Piala Malaysia di zaman ulama' memimpin”.
Ya tak ya juga, bukan? Itulah fakta dan hakikat sejarah yang tidak
mungkin dapat dinafikan sesiapa pun. Bahawa buat pertama kali Terengganu
berjaya menjulang Piala Malaysia ialah pada 3 November 2001, ketika ulama
menjadi Menteri Besar.
Tentu sekali jika kepercayaan terhadap keberkatan pemerintahan Islam
itu menjadi asas kepada sejumlah peminat bola di Terengganu beralih arah
menyokong Kelantan, ia suatu hakikat yang amat tidak disenangi Umno, termasuk
para pemimpin Umno Kelantan sendiri.
Bahawa di sana sudah tersemat kesetiaan kepada parti politik yang
mengatasi semangat kesukanan, sesuatu yang sudah tentu tidak berlaku di
kalangan peminat bolasepak bermazhab Umno!
Ataukah ada peminat bola (penyokong Umno) di Kelantan bersedia
mengalih sokongan kepada Terengganu semata-mata di atas dasar parti? Nayyy... payah la sikit rasanya!
(Artikel ini disiarkan laman
Harakahdaily.net pada 9 Jun 2011 dengan tajuk sama. Ia turut dipetik laman
detikdaily.net pada hari sama)
|
Menyimpan dan memapar koleksi artikel dan hasil karya Mohd Nasir Awang et al, terutama yang disiarkan di media cetak, media baru dan terbitan khas.
Labels
- HARAKAH (278)
- SIASAH (140)
- Al-Muslimah (85)
- DIAN (72)
- WARTA D.I. (62)
- Biografi (43)
- Harakahdaily (43)
- Era Muslimah (27)
- Wasilah (26)
- BUKU 2 - BUKTIKAN (25)
- Makalah ISU (25)
- BUKU 3 - KUASA (11)
- Catatan Khas (9)
- DETIK (7)
- BUKU 1 - INSPIRASI (6)
- CERPEN (2)
Thursday, June 9, 2011
Apabila final Piala FA bukan sekadar sukan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment