Tuesday, March 1, 2011

Perceraian bukan penamat tanggungjawab ibu bapa

Oleh: Mohd Nasir Awang

Mutakhir ini media massa, terutama media cetak sering menghidangkan laporan berkaitan perceraian. Ia kerap dijadikan isu pelaris jualan akhbar dan majalah terutama apabila kes perceraian itu melibatkan golongan artis dan orang kenamaan.

Meski pun ada yang seronok dan tertarik membaca cerita disensasikan itu, tidak kurang juga yang gusar melihat gejala perceraian yang semakin menjadi kebiasaan dalam masyarakat.

Bahkan, kes-kes melibatkan perceraian menerusi khidmat pesanan ringkas (sms) atau memangsakan isteri yang sedang hamil misalnya, mengundang pelbagai tanggapan dan perbahasan.

Secara umum, masyarakat menunjukkan minat untuk mengetahui perkara-perkara yang menjadi fokus perbincangan kes-kes sebegini, khususnya berhubung letak duduk kes-kes terbabit dari sudut hukum agama dan undang-undang syariah.

Al-Muslimah merasa terpanggil menggarap isu ini, terutama dari sudut pandang pihak pengamal undang-undang syariah. Untuk itu kami menemubual Encik Zukri Jusoh, seorang Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya yang juga Peguam Syarie (Kelantan & Terengganu) berpejabat di Bandar Jertih, Terengganu.

Beliau mengakui persoalan yang sering timbul selepas berlakunya sesuatu perceraian adalah tentang permasalahan hukum-hakam. Ramai mempersoal adakah kes-kes disebutkan itu bertepatan seperti yang digariskan oleh syarak? Apakah perceraian itu sah atau tidak sah? Dalam kata lain, adakah talak jatuh atau tidak?

Menurutnya fenomena ini timbul apabila perceraian tersebut berlaku di luar pengetahuan pihak Mahkamah Syariah dan tidak melalui saluran undang-undang yang sedia ada. Persoalannya bagaimana hendak menentukan sah atau tidaknya sesuatu perceraian di luar mahkamah?

“Misalnya, dalam kes talak sms ini. Bagi saya ia fenomena baru dalam masyarakat. Ia memerlukan penelitian dan kajian terperinci. Mahkamah akan melihat kepada rukun-rukun perceraian atau talak. Apabila menuruti dan sempurna kesemua rukun talak maka sabitlah perceraian,” ujarnya.

Beliau menegaskan, asas mensabitkan berlaku atau tidak perceraian melalui sms memerlukan empat syarat yang harus dipenuhi. Pertama, katanya, suami haruslah sebagai pengirim pesanan (sms).

“Kedua, suami juga berkeinginan dan atas kekuasaannya untuk bercerai dengan isterinya yang tertentu, jika ada lebih dari seorang isteri.

“Ketiga, penulisan pesanan adalah jelas menyatakan maksud untuk menceraikan, tepat perkataan ‘talak’ dan bilangannya ditulis dan diniatkannya tidak boleh salah yang mencacatkan maksud,” ulasnya.

Manakala syarat keempat, isteri harus dapat menerima dan membaca pesanan tersebut, walaupun dibaca kemudian daripada itu, yakni ada sedikit jarak tempoh masa dari sms itu dihantar.

“Jika keempat-empat syarat tersebut dipenuhi, maka perceraian dapat disimpulkan telah sah dan memenuhi hukum syarak. Ini bertepatan dengan kaedah fiqah, iaitu tulisan itu adalah diiktibarkan syarak sama seperti perkataan yang dilafazkan di dalam perceraian,” simpulnya.

Bagaimana pula dengan kes penceraian isteri yang sedang hamil? Apakah kedudukan lafaz talak ketika isteri mengandung sah atau tidak?

Lulusan LLB (Hons) dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) ini lantas memetik beberapa hadis Nabi s.a.w. yang menyentuh persoalan itu.

Antaranya, hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari mengisahkan bahawa Abdullah bin Umar r.a. pernah mencerai isterinya waktu haid. Apabila hal itu sampai ke pengetahuan Rasulullah s.a.w., Baginda lantas memita Abdullah rujuk semula. Kemudian jika dia mahu, cerailah sedang isterinya itu dalam keadaan suci sebelum disetubuhinya.

“Daripada hadi-hadis di atas dapat kita fahami bahawa menceraikan isteri ketika hamil adalah haram dari segi hukum, namun sah dari segi syarak. Maka talak yang dilafazkan oleh seorang suami ketika isteri sedang hamil adalah jatuh dan talak itu dikira sah,” sambung Zukri lagi.

Ditanya mengenai hak-hak isteri selepas diceraikan, beliau menarik perhatian kepada firman Allah di dalam surah at-Talaq, ayat 6 (maksudnya):

“Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalak) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusu (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya dan musyawarahkanlah antara kamu (segala sesuatu) dengan baik dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya”.

Demikian Allah memberi panduan mengenai hak-hak wanita selepas diceraikan suami. Ini bermakna tanggungjawab suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak bukan sahaja semasa hidup bersama tetapi juga selepas bercerai dengan isteri.

Beliau seterusnya menyenaraikan tiga tuntutan utama yang berhak dibuat oleh seorang wanita yang diceraikan terhadap bekas suaminya, iaitu tuntutan mutaah, nafkah eddah dan hadanah.

Katanya, mutaah bermaksud pemberian saguhati berupa sejumlah harta yang suami wajib berikan kepada bekas isterinya yang pernah disetubuhi jika perceraian itu bukan berpunca dari isteri dan bukan sebab kematian suami.

Tuntutan ini biasanya dibuat oleh bekas isteri apabila sesuatu perceraian itu berlaku tanpa kerelaan isteri dan tanpa adanya perbuatan nusyuz dari pihak isteri. Seseorang isteri yang diceraikan tanpa sebab yang patut boleh menuntut mutaah melalui Mahkamah Syariah.

“Mutaah itu boleh sama ada berbentuk pakaian, barang-barang atau wang sesuai dengan keadaan dan kedudukan suami. Islam tidak menetapkan kadar mengenai mutaah ini. Dasar penetapannya bergantung kepada keredhaan dan persetujuan suami isteri. Walau bagaimana pun, jika kadarnya menjadi pertelingkahan suami isteri, maka Mahkamah Syariah akan memutuskan kadar yang patut berdasarkan kemampuan suami,” ulasnya.

Ada pun tuntutan nafkah eddah, katanya, pada asasnya hanya isteri yang diceraikan secara talak rajie (talak yang boleh dirujuk) berhak menuntut nafkah dan tempat kediaman.

Pun begitu, hak sama turut diberikan kepada wanita yang diceraikan ketika hamil sehingga melahirkan anak itu, walau pun dia diceraikan secara talak bain (tidak boleh dirujuk), sepertimana dijelaskan ayat 6 surah at-Talaq tadi.

“Ada pun perempuan tidak hamil yang diceraikan secara talak bain, tidak berhak mendapat nafkah, pakaian dan tempat kediaman. Ini adalah pendapat Jumhur Fuqaha. Begitu juga isteri yang dalam eddah kerana kematian suami tidak berhak mendapat nafkah eddah meskipun ia dalam kaeadaan hamil,” Zukri menjelas lanjut.

Beliau seterusnya menghurai secara panjang lebar berhubung tuntutan hadanah atau hak penjagaan anak-anak antara bapa dan ibu. Ia termasuk melindungi mereka dari segala yang membahayakan diri, mendidik rohani dan jasmani serta akal mereka supaya si anak dapat membesar dan menangani persoalan hidup yang akan mereka dihadapi.

Beliau turut merujuk beberapa kes pertikaian hak hadanah yang berlaku sebelum ini. Apa pun keputusan setiap kes itu, yang pastinya pihak yang menerima kesan paling buruk ekoran sesebuah perceraian adalah anak-anak.

“Dalam Islam, hukum memelihara anak adalah satu kewajiban ibu bapa kerana si anak memerlukan asuhan dan kasih sayang ketika proses membesar. Persoalan yang timbul ialah siapa yang berhak memelihara dan menjaga anak jika ibu bapa bercerai-berai?,” lontarnya dalam nada kesal.

Justeru, sebagai kesimpulannya, beliau mengingatkan setiap pasangan agar memelihara kerukunan rumahtangga. Andainya perceraian tetap berlaku, maka kedua-dua pihak hendaklah saling menghayati hak masing-masing, terutama agar menepati hukum agama dan ketetapan undang-undang.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, edisi Mac 2011 (Bil: 229) di ruangan 'TOPIK' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment