Tuesday, March 1, 2011

Sifat mulia kenalan Islam tarik minat Mr Grace

Oleh: Nuwa Aitawa

“Itu jam (waktu) saya mula mari sini, saya tengok orang sini kerja kelaut (nelayan), hidup demo ni susah. Kerja dapat 50, 60 ringgit saja seminggu. Saya fikir macamana dia nak terus hidup gitu?”, demikian antara luahan seorang ekspatriat Britain, Mahmud Abdullah, mengenai kehidupan masyarakat pantai di beberapa kampung di sempadan Terengganu-Kelantan, sewaktu ketibaannya lebih empat dekad lalu.

Realiti itu mendorong beliau mengambil usaha tersendiri membantu mereka. Berbekalkan pengalaman dan kepakaran dalam berbagai bidang ditimbanya sebelum itu, Mahmud memanfaatkan peluang menetap di negara ini untuk mempertingkatkan ekonomi penduduk setempat.

Beliau mengikhtiarkan berbagai cara untuk itu. Antaranya dengan membeli bot laut bersaiz besar bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada nelayan tempatan.

Beliau juga mengusahakan bengkel kereta di beberapa tempat, khususnya di Jertih dan Kuala Besut, Terengganu. Kesempatan itu bukan semata-mata dimanipulasi untuk mengaut keuntungan buat diri sendiri, sebaliknya turut dimanfaatkannya untuk memperturunkan ilmu kejuruteraan enjin dikuasainya kepada pemuda-pemuda tempatan yang bekerja dengannya.

“Anak tiri saya, Mohamad, kawannya, Ibrahim dan ramai lagi (pemuda di sekitar Semerak, Kelantan dan Kuala Besut, Terengganu) akhirnya boleh buka bengkel sendiri baiki kereta. Enjin, buat (ketuk) ‘body’, cat, welding (kimpalan), semua saya ajar buat,” cerita Mahmud dalam Bahasa Melayu pelat Kelantan, yang diselang-seli Bahasa Inggeris.

Fakta itu turut diakui Azhar Mohamad, cucu tirinya yang ikut menemani penulis sepanjang temubual ini.

Mahmud dilahirkan sebagai Charles Henry Grace, pada 16 Februari 1929 di kota London, England. Bagaimana pun, sepertimana diakuinya sebahagian besar usianya dihabiskan di negara orang.

Selepas menamatkan pengajian di universiti dalam bidang kejuruteraan kapal, beliau bekerja dengan beberapa syarikat perkapalan. Kerja itu membawanya ke beberapa negara  terutama ke Afrika Selatan, Australia dan Asia Tenggara.

Pada akhir 1950-an, Mahmud menyertai agensi berita antarabangsa Reuters berpejabat di London. Beliau sempat berkhidmat hampir enam tahun dan berakhir dengan jawatan Editorial Supervisor.

Khidmatnya selaku pakar enjin kemudiannya ditagih kerajaan Britain. Mahmud diserapkan ke Unit Kereta Kebal Tentera Diraja Britain dan dihantar bertugas ke Mesir. Kehidupan di sana telah memperkenalkannya kepada Islam.

“Itu jam di Mesir, 85 peratus rakyat dia Islam. Hidup di kem tentera, pergerakan kami terbatas. Kami hanya bebas ke kedai di sekitar kem. Kedai-kedai ni semua milik orang Mesir,” Mahmud mengimbau kenangan.

Tanpa disedarinya, interaksi harian dengan masyarakat setempat memutikkan minatnya terhadap Islam. Sifat dan perilaku mulia penganut Islam membuatkannya amat menyenangi agama suci ini.

“Islam is a really friendly religion. I like the spirit of Islamic brotherhood among them,” Mahmud mengungkapkan pemerhatiannya itu dalam bahasa ibundanya.

Kemesraannya dengan kenalan setempat semakin bertambah apabila mereka mula memanggilnya dengan nama ‘Mahmud”. Nama itulah kemudiannya beliau gunapakai selepas memeluk Islam.

Beliau malah memetik satu kisah yang baginya membuktikan kejujuran penganut Islam. Kes itu berlaku di sebuah kedai jam.

“Saya masih ingat orang itu nama dia Othman, dia pembuat jam. Saya ke kedai dia mahu beli jam. Dia cakap, mu nak beli jam? Jangan beli sini, tak molek. Mu pergi kedai sana,” cerita Mahmud, separuh tergelak.

Demi Allah, sifat berterus-terang pemiliki kedai itu benar-benar meninggalkan kesan dalam hatinya. Sedangkan selalunya seorang penjual akan mengatakan barang dijualnya yang terbaik dan tidak sekali-kali akan mengesyorkan pelanggan ke kedai lain untuk mendapatkan barangan serupa.

Mahmud bagaimana pun tidak terus melafazkan syahadah sewaktu di Mesir. Selepas berhenti khidmat dalam tentera, beliau kembali bekerja dengan syarikat perkapalan antarabangsa. Ditakdirkan Allah, kerja itu membawanya ke Singapura.

Sepertimana menjadi kelaziman rakyat pulau itu yang gemar menyeberang Tambak Johor untuk berbelanja dan bersantai, Mahmud juga tidak terlepas menyertai rakan dan kenalannya. Takdir menentukan ekoran kekerapannya ke negeri selatan tanahair itu akhirnya menemukannya dengan wanita yang kemudiannya menjadi pasangan hidupnya.

Zainab Omar, yang berasal dari Semerak, Kelantan ketika itu mencari rezeki di Johor. Tidak lama selepas perkenalan antara mereka, Zainab pulang ke kampungnya.

Pada 1969, Mahmud ikut berhijrah ke Pantai Timur dan tinggal di Besut. Hanya beberapa ketika di daerah utara Terengganu itu, beliau melafazkan syahadah.

Setahun kemudian, Mahmud mendirikan rumahtangga dengan Zainab. Sejak itu kelibatnya semakin mendapat perhatian masyarakat setempat. Mereka malah memanggilnya “Pak Teh”, bersempena bangsanya yang digelar ‘Orang Putih’.

Selain banyak berinteraksi dengan masyarakat setempat menerusi bot laut dan bengkel kereta diusahakannya, Pak Teh Mahmud juga terkenal di kalangan peminat bolasepak terutama di Kuala Besut. Beliau pernah menjadi jurulatih pasukan Kuda Laut dan berjaya menjulang pasukan itu sebagai antara jagoan bolasepak disegani di Terengganu dan Pantai Timur pada era 1970-an dulu.

Kini pada usia 82 tahun, Pak Teh Mahmud kelihatan masih bersemangat, terutama apabila bercakap mengenai enjin dan bolasepak.

“Saya tak mahu balik dah (ke London). Di sini saya boleh hidup dengan tenang, jauh dari hiruk-pikuk kota. Anak saudara saya (di London) juga cakap, pakcik tak payah balik, (suasana) di sana sudah tidak sama macam dulu, pakcik tak akan sukakannya”, sambung Mahmud, mengakhiri temubual kami di rumahnya berdekatan Pantai Bisikan Bayu, Semerak.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, edisi Mac 2011 (Bil: 229) di ruangan 'hidayah' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment