Tuesday, March 1, 2011

Keletah ‘Adik Mat’ jadi penyeri keluarga

Oleh: Nuwa Aitawa

Bukan semua keluarga merasa terbeban dengan kehadiran Orang Kurang Upaya (OKU) dalam rumahtangga mereka. Walau pun pernah tersiar kisah adanya golongan itu menjadi bahan penderaan keluarga dan sisihan masyarakat, termasuk sanak-saudara sendiri, kes-kes sebegitu boleh dianggap tidak mewakili sikap sebenar orang kita secara umum.

Sebaliknya, penerimaan anggota masyarakat negara ini terhadap golongan OKU semakin positif. Bahkan, peningkatan ilmu dan kefahaman agama banyak membantu ibu bapa dan sanak-saudara menginsafi betapa kehadiran seorang anak OKU dalam keluarga masing-masing adalah anugerah tidak ternilai dari Allah Ta’ala.

Sebab itu tidak menghairankan dewasa ini jika didapati ada keluarga yang bukan sahaja redha dengan ketentuan Ilahi, tetapi merasa gembira dengan adanya anak sedemikian di sisi mereka. Bagi keluarga sebegini, insan istimewa itu bukan sahaja ‘istimewa’ merujuk istilah diterimapakai untuk golongan kurang upaya, tetapi memang benar-benar diberikan layanan dan kedudukan ‘istimewa’ dalam rumah mereka.

Salah seorang insan kerdil sebertuah itu ialah adik Mohd Faris Aiman Abd. Rahim atau lebih dikenali dengan panggilan manja ‘Adik Mat’. Beliau adalah anak bongsu daripada sembilan beradik dalam keluarga pasangan Encik Abd. Rahim Daud, 60, dan Puan Azizah Mahmud, 54.

Di rumah mereka yang terletak bersebelahan pejabat Majlis Kebudayaan Daerah Besut di Jalan Tengku Long, Kampung Raja, Terengganu, anak istimewa ini benar-benar dilayan bagaikan permata hati mereka.

“Dia adalah penyeri keluarga. Kami kakak-kakak dan abang-abang dia semuanya sangat sayang kepadanya,” ujar Nursuhaizi Akmal Abd. Rahim.

Gadis yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini malah tidak segan mengakui bahawa adiknya yang satu ini adalah yang paling disayanginya berbanding adik-beradik lain.

“Ada ‘Adik Mat’ seorang macam dua-tiga (anak) yang lain. Mulut dia, keletah dia buatkan hidup kami sekeluarga sangat ceria”, itu pula pengakuan terus-terang Puan Azizah.

Menurut sang ibu ini, keistimewaan anak bongsunya ini bagaikan sudah diberikan petunjuk oleh Allah Ta’ala ketika beliau mengandungkannya. Beliau mendakwa didatangi mimpi yang sukar dimengertikan.

“Dalam mimpi tu saya pakai loket, permatanya sangat besar, berwarna hijau. Saya hairan dan tertanya diri sendiri, dari mana (datangnya) loket ini? Saya tak pernah pakai loket secantik ini,” ceritanya.

Tiba-tiba, kata Puan Azizah, permata pada loket itu tertanggal. Maka hatinya sangat risau dan bertekad untuk membawa loket itu ke kedai untuk dibaiki. Rasa sayang kepada barang perhiasan itu menguasai perasaannya.

“Sebaik sedar dari mimpi, saya mula memikirkan apa hikmat Allah Ta’ala beri mimpi sebegitu. Kebetulan ketika itu saya mengandungkan dia (Adik Mat) empat bulan. Terfikir juga, ‘adakah (itu petanda) aku mengandung ‘tak lekat’ (gugur)?’, sebab permata tu tanggal, tak lekat (pada loket)”, sambungnya lagi.

Beliau mengakui mimpi itu sedikit-sebanyak membentuk ketabahan pada dirinya menerima apa juga suratan takdir terhadap kandungannya. Sebab itu sebaik dimaklumkan jururawat mengenai keadaan fizikal bayi dilahirkannya yang agak ‘luar biasa’, Puan Azizah pasrah.

“Cuma kecacatan Adik Mat tak begitu ketara. Doktor sendiri pun peringkat awal dulu tak pasti dia down sindrom, (kecatatan fizikalnya) tak berapa jelas, tak macam budak down sindrom yang lain,” celah Encik Abd. Rahim pula.

Menurut pesara tentera ini, selepas itu beliau dan isteri tidak jemu berusaha mendapatkan rawatan terbaik untuk anak istimewa ini. Buat beberapa tahun sejak kelahiran Adik Mat, mereka sering berulang-alik ke hospital dan menemui pakar perubatan.

Rawatan tradisional juga diikhtiarkan. Namun proses perkembangan dan tindak balas fizikal anak ini memang amat perlahan. Dia lambat mempelajari segala perkara, termasuk bertimpuh, berdiri, berjalan dan bercakap.

“Terasa juga sedih bila anak yang seorang ni slow (lembab) berbanding yang lain. Tapi alhamdulillah, apabila ingat ini anugerah Allah, saya redha,” ujar Puan Azizah.

Kini, sudah lapan tahun Adik Mat dibesarkan dalam suasana penuh kasih-sayang daripada setiap ahli keluarga. Mungkin layanan istimewa itu juga mempengaruhi tingkah lakunya.

“Adik Mat mudah merajuk. Kalau dia minta sesuatu benda kita tak beri perhatian atau terlambat melayan, dia akan buat muka, dia buat diam. Masa tu kita tanya pun dia buat tak layan la,” ujar Puan Azizah, seraya tersenyum.

Bagaimana pun, katanya, anak ini tidak pernah menunjukkan tingkah laku agresif, walau pun dalam keadaan sebegitu. Dia sebaliknya mudah dipujuk, terutama apabila diberikan sesuatu yang digemarinya.

Menurutnya, selain amat gemar melukis dan mewarna, Adik Mat juga mahir bermain berbagai permainan dalam komputer. Puan Azizah sentiasa berharap minat dan kemahiran itu nantinya dapat diterjemahkan ke arah jalan kehidupan yang baik untuk anak istimewanya ini.

“Kadang tu terlintas juga (di fikiran), tersalah (ditakdirkan) dia panjang umur, kita pula tak ada (meninggal), bagaimana la nanti dia dengan abang dan kakak dia?”, Puan Azizah meluahkan naluri keibuannya.

Ungkapan itu sekaligus menyerlahkan tahap kasih-sayang yang menggunung tinggi terhadap insan paling istimewa dalam keluarganya ini.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, edisi Mac 2011 (Bil: 229) di ruangan 'meniti hidup' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment