Sunday, March 6, 2011

BN akan tiru satu-persatu cadangan Buku Jingga

oleh: Mat Zain Mat Isa

Ada benarnya kata Naib Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa Buku Jingga diperkenalkan Pakatan Rakyat (Pakatan) baru-baru ini telah menggerunkan Barisan Nasional (BN). Beliau mendakwa walaupun para pemimpin parti pemerintah itu pada zahirnya mengecam dan memperlekeh janji dan jaminan diutarakan Pakatan menerusi buku tersebut, mereka secara diam-diam meniru idea-idea di dalamnya.

Menurutnya, beberapa langkah atau insentif terbaru diumumkan BN agak sukar dinafikan ada hubungkait dengan butiran-butiran disenaraikan Buku Jingga. Walau pun tidak seratus peratus menepati apa dikemukakan Pakatan untuk rakyat, pelaksanaannya oleh BN agak munasabah dinilai sebagai adaptasi janji-janji tersebut.

Buku Jingga menyenaraikan 10 janji untuk dilaksanakan Pakatan dalam tempoh 100 hari jika diberi kuasa memerintah Malaysia. Antaranya, mereformasikan institusi-institusi awam seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Peguam Negara dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.

Turut disenaraikan, memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air oleh pihak swasta kepada kerajaan.

Pakatan juga berjanji merombak struktur subsidi negara dengan mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (contohnya, subsidi gas RM19 bilion kepada penjana bebas) dan memindahkannya kepada menampung subsidi barangan keperluan rakyat.

Menurut Tuan Ibrahim, janji-janji itu terbukti membuatkan BN tidak senang duduk. Ia sangat bimbang dengan tawaran 100 hari pertama Pakatan itu.

"Sewaktu kita tawarkan program 100 Hari Pakatan Rakyat, PM (Perdana Menteri) berulang kali berkata, negara akan bankrap jika ia dilaksanakan," katanya.

Sedangkan, katanya, tawaran disenaraikan Pakatan itu berdasarkan kajian teliti dan penyelidikan mendalam atas kemampuan negara melaksanakannya.

Sebab itu Pakatan turut berjanji mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji mereka. Langkah itu bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang sebagai penghargaan untuk mereka.

"Yang paling menakutkan mereka, bila kita berjanji nak beri RM500 elaun tambahan sebulan kepada semua guru di Malaysia. Mereka kata, negara akan bankrap.

"Namun, baru-baru ini, lebih 800 guru besar dinaikkan gaji mereka...boleh pula?" terjah Tuan Ibrahim, sinis.
Beliau merujuk pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Putrajaya, 10 Februari yang menjanjikan insentif khas kepada 924 guru besar. Bagaimana pun, pada majlis di Merlimau, Isnin (28 Februari) lalu, hanya 586 guru besar dan 2,800 guru serta kakitangan sokongan sekolah diumumkan terpilih menerima ganjaran itu.

Menerusi anugerah Tawaran Baru itu setiap guru besar menerima RM7,500 manakala lima peratus daripada keseluruhan guru sekolah terbabit menerima RM1,800 dan bakinya mendapat RM900 seorang.

Pakatan Rakyat juga menawarkan untuk menghapuskan tol dalam program 100 harinya itu.
Ia berjanji mengarahkan Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuh raya untuk menyempurnakan pengambilalihan aset lebuh raya bagi pihak kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol.

Sebagaimana lazimnya sebarang cadangan dilontarkan pembangkang akan segera disambut dengan tafsiran dan andaian negatif para pendukung dan penjuak BN. Pakar ekonomi membentang implikasi ekonomi dari pengamatan mereka. Ahli dan pemikir politik pula berhujah mengikut kepentingan mereka. Hampir tidak ada pihak yang dimuatkan pandangan mereka di media arus perdana yang dapat merasionalkan tawaran Pakatan itu.

Namun, di sebalik cemuhan dan nilaian negatif itu, BN menyusulinya dengan tindakan yang seakan akur dengan rasional janji itu. Pada 28 Januari, Perdana Menteri tiba-tiba mengumumkan tidak ada kenaikan tol bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Dalam pengumuman itu Perdana Menteri turut memaklumkan konsesi tol untuk Lebuhraya Hubungan Timur-Barat menghubungkan Persilangan Salak dan Persilangan Taman Connaught di ibukota akan ditamatkan seawal-awalnya Mei nanti, berbanding tempoh tamat asal pada 2018.

Pada 17 Februari pula, beliau mengumumkan kadar tol Petaling Jaya Selatan 2 di Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dikurangkan daripada RM1.60 kepada RM1.

“Saya sudah janji bahawa kita akan buat terbaik untuk rakyat dan ini adalah contoh apa yang kita buat ini adalah demi rakyat,” media pada 18 Februari memetik kata Perdana Menteri.

Memang, sesiapa pun yang berada di tempat beliau akan berkata segala dibuatnya demi rakyat. Amat bodoh lah jika pemimpin setinggi beliau akan mengaku bahawa semua penilaian semula berkaitan tol tadi ada kaitan dengan keresahan dan kebimbangan dalam hatinya berhubung tawaran dikemukakan Pakatan.

Namun, sejauh manakah hujah sedemikian boleh meyakinkan rakyat bahawa BN bukannya meniru idea dicadang Pakatan?

“Kalau panjanglah lagi tempoh menjelang pilihan raya (umum) ini, mereka (BN) akan tiru satu persatu cadangan kita (Pakatan)”, Tuan Ibrahim optimis.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1620, 7 Mac 2011 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment