Sunday, March 20, 2011

Pakatan Rakyat hapus saman ekor

oleh: Mohd Nasir Awang

JERTIH (20 Mac) - .PAS sekali lagi mempertegaskan sikapnya membantah keras pelaksanaan saman ekor oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana ia menyusah dan membebankan rakyat. Parti itu malah berpendirian amalan itu tidak sayugia diteruskan.

Justeru, Presidennya PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berjanji pihaknya akan menghapuskan peraturan saman tersebut sekiranya diberi peluang memerintah negara menerusi pilihan raya umum akan datang.

“Kita isytihar malam ini, kalau Pakatan Rakyat perintah (negara), saman ekor kita hapus. Itu jaminan kita kalau kita perintah,” katanya.

Beliau menegaskan demikian di dalam ucapannya pada sesi ceramah sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat – PAS Ganti Umno (HKR-PGU) Zon Besut - Setiu di Dataran PGU, dekat sini malam tadi.

Perhimpunan selama dua hari bermula Jumaat itu merupakan siri kedua program seumpamanya dianjurkan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu.

Siri pertama telah diadakan pada pertengahan Januari lalu di Dataran Tok Guru, Geliga, Kemaman.

Ceramah malam tadi merupakan acara kemuncak perhimpunan. Selain Abdul Hadi, turut menyampaikan ceramah mereka ialah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), YB Azmin Ali, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, YB Dr Tan Seng Giaw dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik.

Menurut Abdul Hadi, kesemua parti dalam Pakatan Rakyat berkongsi pendirian mengenai berbagai perkara membabitkan kepentingan rakyat, termasuk soal saman ekor.

“Kita tahu rakyat tidak setuju (pelaksanaan) saman ekor dan PAS memang tidak setuju. DAP tak setuju, Keadilan (PKR) tak setuju. Yang setuju hanyalah Umno – Barisan Nasional,” ujarnya.

Beliau malah secara sinis menganggap pelaksanaan sistem saman ekor itu sebagai bukti BN benar-benar menghayati slogan “Rakyat Didahulukan”. Katanya, BN mendahulukan rakyat untuk merasai beban menampung kekurangan kewangan negara apabila terpaksa berbelanja lebih untuk melunaskan saman ekor itu.

Memahami tekanan hidup rakyat yang semakin meningkat, maka PAS dan Pakatan Rakyat juga katanya akan mengkaji semula harga runcit minyak. Langkah itu diyakini akan turut menghalang kenaikan berterusan harga barangan keperluan harian lain.

“Kita janjikan Negara Berkebajikan. Kita serius menjaga dan membela kebajikan rakyat. Ini bukan janji saja, kita akan buat insya Allah (sekiranya memerintah negara),” tegasnya.

(Catatan ini disiarkan laman HarakahDaily, 20 Mac 2011 sebagai berita utama dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment