Sunday, August 29, 2010

Jangan sukarkan bukan Islam fahami ajaran Islam

Perbetulkan saya sekiranya tersilap. Namun rasanya belum ada mana-mana pertubuhan Islam di negara kita yang menggunapakai pendekatan dakwah sepertimana dilaksanakan Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) baru-baru ini. Menerusi kempen berkongsi al-Quran yang dilancarkan, pertubuhan itu berhasrat mengedarkan 100,000 naskhah kitab suci itu kepada bukan Islam, terutama di sepanjang Ramadhan ini.

“Ramadhan merupakan waktu paling sesuai untuk mendidik masyarakat bahawa Islam adalah agama untuk keamanan dan tidak pernah sama sekali menganjurkan keganasan,” kata Pengarah Komunikasi CAIR, Ibrahim Hooper, dalam kenyataan akhbar yang disiarkan laman web rasmi pertubuhan itu minggu lalu.

CAIR merupakan antara pertubuhan Islam terbesar di Amerika Syarikat (AS). Tujuan utama penubuhannya untuk mempertingkatkan kefahaman masyarakat negara kuasa besar itu terhadap Islam, di samping mengikis salah tanggapan atau Islamofobia yang menjadi ancaman utama terhadap agama suci ini mutakhir ini.

Bagi mencapai maksud itu, CAIR menggalakkan dialog dan menuntut keadilan untuk penganut semua agama. Pendekatan itu amat penting bagi masyarakat Islam di AS yang hingga kini masih terbelenggu oleh Islamofobia, terutama sejak serangan berani mati, 11 September 2001. Peristiwa dikenali sebagai 9/11 itu meranapkan menara berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York. Ia turut mengorbankan kira-kira 2,700 nyawa, termasuk lebih 300 orang Islam.

Peristiwa mengejutkan dunia itu dijadikan bahan paling laris oleh golongan kuffar menyerang dan memburukkan Islam. Seluruh dunia diberikan gambaran seolah-olah pelaku tindakan kejam itu sudah dikenalpasti sebagai pengganas Islam.

Yang kemudiannya menjadi mangsa layanan negatif masyarakat ialah umat Islam. Serangan terhadap agama ini kian memuncak. Banyak masjid diserang dan dirosakkan. Penganut Islam diejek, dipulau dan dikenakan layanan buruk.

Saban tahun, majlis memperingati ulang tahun peristiwa 9/11 menjadi medan terbuka untuk sebilangan pihak meluahkan rasa marah dan benci terhadap Islam. Untuk tahun ini pula sebuah gereja di Florida, AS, baru-baru ini telah pun mengumumkan akan menganjurkan Hari Membakar al-Quran Anntarabangsa di premisnya pada petang 9 September nanti.

Jelas sekali mereka menyalahkan ajaran kitab suci itu atas keganasan yang berlaku itu. Sedangkan mereka sendiri barangkali tidak pernah meneliti dan mendalami kandungan al-Quran. Sebagai reaksi kenyataan itu, CAIR tampil memberi peluang masyarakat bukan Islam melihat sendiri apa yang ada dalam kitab suci itu.

“Umat Islam perlu bersama-sama menyokong kempen yang bertujuan menghilangkan perasaan Islamofobia ini dengan mengedarkan al-Quran kepada jiran, kakitangan awam dan swasta serta wartawan,” kata kenyataan itu lagi.

Bagi menjayakan kempen itu, sasaran CAIR bukan sahaja anggota masyarakat awam, tetapi juga para pemimpin bukan Islam di peringkat daerah, negeri dan pusat di serata AS.

Sepintas lalu, kita rasa terpanggil untuk ikut melaksanakan pendekatan dakwah serupa di tempat kita. Apatah lagi masalah Islamofobia bukan saja bergema di AS, malah ikut berkumandang di negara kita. Jangan dikatakan di kalangan masyarakat bawahan yang ada interaksi paling minima dengan orang Islam sahaja, di kalangan para pemimpin negara yang “tidur sebantal” dengan pemimpin Islam pun salah tanggapan itu masih menebal.

Justeru, mengapa tidak kita berikan setiap mereka ini senaskhah al-Quran untuk mereka baca dan hayati kandungannya? Mudah-mudahan pandangan serong terhadap Islam yang bersarang di benak fikir mereka selama ini boleh cair dan terhakis.

Secara positifnya kita mungkin terfikir begitu. Namun awas, jangan terlupa bahawa kita sedang berada di Malaysia, sebuah negara yang mendakwa sebagai contoh bagi negara-negara Islam seluruh dunia. Kononnya Islam yang diamalkan di negara kita adalah yang terbaik, paling disenangi negara-negara lain dan sangat menepati ajaran Islam sebenar.

Mengikut ajaran Islam yang dipegang erat masyarakat negara ini, al-Quran adalah hak eksklusif dan mutlak umat Islam sahaja. Perbetulkan saya sekiranya tersilap. Namun jika kes pembacaan beberapa potong ayat al-Quran oleh seorang pemimpin DAP Perak tahun dijadikan bukti, kesimpulan saya ini bukan lagi satu kesilapan.

Masakan kita sudah lupa betapa gegak gempitanya seluruh negara dek kerana ada pemimpin bukan Islam mengambil peluang berceramah di khalayak umum dengan memetik ayat al-Quran? Kegagalannya menyebut ayat itu dengan makhraj Arab yang betul dijadikan alasan kononnya dia telah mempersendakan al-Quran.

Ada juga yang mempersoalkan niat sebenar pemimpin DAP itu memetik ayat suci itu. Kononnya ia bertujuan memperalatkannya bagi kepentingan politik.

Ekoran episod itu pelbagai pihak sealiran dengan parti pemerintah negara mengemukakan bantahan. Kutukan terhadap pemimpin DAP itu disemarakkan lagi oleh manipulasi media talibarut pemerintah yang mengapikan tanggapan kononnya beliau mempermainkan ayat-ayat suci orang Islam.

Para penjuak parti pemerintah bahkan membuat laporan polis terhadap beliau. Pandangan beberapa tokoh agama yang secara mudah menghukum (berdasarkan apa yang dilaporkan media) apa yang dibuat pemimpin bukan Islam itu suatu persendaan terhadap ayat al-Quran bagaikan mencurah minyak ke dalam api yang bernyala.

Pengajarannya, itulah ajaran Islam yang dipegang masyarakat negara kita, terutama khalayak penguasa politik. Islam yang meletakkan bahawa orang bukan Islam tidak boleh sama sekali membaca ayat-ayat suci al-Quran. Ia dianggap persendaan.

Justeru, jika untuk melafazkan beberapa potong ayatnya pun sudah dianggap pantang larang, bagaimana mungkin untuk kita serahkan naskhah al-Quran untuk dipegang, ditatap dan diteliti oleh orang bukan Islam?

Akuilah, pegangan silap itu menyukarkan bukan Islam memahami ajaran Islam.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0215, 29 Ogos 2010 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment