Wednesday, September 1, 2010

Bermaafan hanya di hari raya satu kesilapan?

Tiada manusia biasa yang terlepas daripada melakukan kesalahan. Sebagai pengajaran daripada intipati sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w., setiap yang bergelar insan itu pasti tidak terkecuali daripada memiliki dua sifat kelemahan, iaitu tersilap dan terlupa. Dua kelemahan itu mendorong manusia melakukan kesalahan.

Justeru, sama ada kesalahan itu berkait hubungan sesama manusia atau membabitkan perintah Allah Ta’ala, Islam mengajar umatnya untuk memohon maaf. Kalimah digunakan untuk kedua-dua pihak dipohon maaf itu mungkin berbeza. Kepada Allah kita sebutkan sebagai “istighfar”, “taubat” atau seumpamanya, manakala kepada sesama manusia kita menyebutnya memohon maaf atau ampun.

Oleh kerana Allah Azza wa Jalla sendiri dikenali dengan berbagai nama yang menggambarkan sifatNya yang Maha Pengampun, Maha Penerima Taubat dan seumpamanya, maka Islam mengajarkan umatnya agar turut mengambil sifat mulia lagi terpuji itu sebagai amalan hidup mereka.

Dalam Surah Al-Baqarah, ayat 237, misalnya, Allah Ta’ala menyarankan suami isteri yang berselisih faham agar saling bermaaf-maafan. Ia menyebut: “Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal-menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan”.

Islam mengajar kita bahawa pengajaran daripada Al-Quran itu boleh diambil daripada lafaznya yang umum. Justeru, biar pun ayat di atas dikhususkan mengenai perselisihan dalam rumahtangga, pengajarannya juga terpakai untuk hubungan yang lebih umum dalam masyarakat.

Sekian banyak hadis Nabi s.a.w. pula menghuraikan kelebihan mereka yang memiliki sifat pemaaf, penyabar dan seumpamanya. Di masa yang sama Baginda s.a.w. turut mencela mereka yang pemarah, pendendam dan sukar memaafkan kesalahan orang lain.

Namun, apakah Islam mengkhususkan waktu atau sambutan tertentu sahaja sebagai medan untuk bermaafan? Soalan ini wajar dilontarkan, mengambilkira kecenderungan masyarakat kita untuk saling bermaaf-maafan hanya tatkala tibanya Hari Lebaran. Lebih membimbangkang, amalan itu pula lebih sebagai adat dan tradisi dan bukan lagi berteraskan ajaran agama.

“Agama kita memang menekankan soal bermaaf-maafan ini, lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan, dan terlebih utama lagi pada Hari Raya (Idulfitri),” akui Ustaz Mohd Ruden Mohd Yusof.

Menurut Pegawai Dakwah Halaqat Daerah Pasir Puteh, Kelantan ini, di antara seluruh manusia ini pula, pihak yang paling utama untuk seseorang memohon maaf ialah kedua ibu bapanya. Beliau menyandarkan hujahnya kepada hadis Nabi s.a.w. yang menegaskan betapa ganjaran syurga bagi seseorang itu terletak di bawah telapak kaki ibunya.

“Dapat kita fahami dari hadis ini bahawa kemafaan atau keredhaan ibu bapa kita itu adalah kunci utama untuk kita mendapat redha dan keampunan Allah. Maka sudah semestinya ibu bapa perlu diutamakan dalam meminta maaf,” sambungnya.

Bagaimana pun, beliau agak kesal apabila umat Islam meletakkan keutamaan itu pada tempat yang salah. Keutamaan diberikan Islam untuk umatnya memohon maaf kepada ibu bapa pada hari raya itu kini ditukar menjadi adat pula.

“Tradisi dan adat ini perlu diubah. Bulan puasa ini memang keutamaan untuk bermaafan, lebih-lebih lagi hari raya. Tapi jangan sampai bulan-bulan lain langsung tidak ada (bermaafan),” tegas Ustaz Mohd Ruden lagi.

Beliau juga bersetuju dengan pandangan yang mengatakan amalan bermaafan hanya pada hari raya yang menjadi tradisi masyarakat kini seolah-olah menghimpunkan kesalahan sepanjang setahun untuk diselesaikan dalam masa sehari, iaitu pada hari raya.

“Mana boleh macam tu? Sebenarnya Islam menggalakkan kita bermaafan setiap hari. Apa saudara fikir hikmah di sebalik kita bersalam-salaman setiap kali selepas solat (berjamaah)? Tangan yang kita hulur kepada ahli jemaah itu sebenarnya sebagai tanda bermaafan,” beliau mengukuhkan hujahnya.

Oleh itu, baginya amat silap sekiranya umat Islam menunggu untuk bermaafan hanya setahun sekali. Apatah lagi, menurut pengamatan dan penilaian beliau, bukan semua mereka yang menghulurkan salam kemaafan pada Hari Lebaran itu diiringi hati yang ikhlas.

“Bukan seratus peratus, tapi mungkin sebilangan besar orang kita hulur tangan minta maaf pada hari raya hanya sekadar luaran, tak serta dengan (keikhlasan) hati. Mungkin semata-mata kerana mengikut adat tadi. ‘Oleh kerana semua orang saling bermaafan, tak kan aku tak nak hulur tangan’. Saya rasa perkiraan itu mungkin ada dalam fikiran sebilangan kita ketika itu,” ulas Ustaz Mohd Ruden.

Beliau menganggap hakikat itu suatu kelemahan yang tidak patut berlaku. Ia mesti diperbetulkan. Namun bagaimana?

“Masyarakat perlu didedahkan kepada ilmu Islam, terutama ilmu mengenai adab pergaulan, akhlak dan tatasusila hidup bermasyarakat. Kalau ada ilmu ini insya-Allah ia (bermaafan) tak kan jadi bermusim. Kena baiki ilmu dulu,” katanya.

Baginya, kecenderungan sebahagian besar penceramah agama untuk lebih memfokuskan kuliah membicarakan soal fiqah ibadat dan meninggalkan bicara mengenai adab pergaulan dan persaudaraan juga mendorong kepada kecetekan ilmu tadi.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi September 2010 dengan tajuk sama di ruangan TOPIK)

No comments:

Post a Comment