Friday, August 6, 2010

Mujur PAS tidak terpesona dengan pengiktirafan MCA

oleh: Mat Zain Mat Isa

Minggu lalu MCA sekali lagi secara tidak langsung bagaikan “menepuk-nepuk bahu” PAS. Tanpa selindung presidennya, Dato’ Seri Dr Chua Soi Lek, “mengiktiraf” beberapa kelebihan dimiliki PAS berbanding parti-parti rakan dalam Pakatan Rakyat (PR).

Dalam kenyataannya selepas merasmikan Mesyuarat Agung MCA Kelantan di Kota Bharu, Jumaat (30 Julai), Soi Lek mendakwa kelebihan itu memberikan keyakinan kepadanya bahawa parti Islam itu lebih layak menerajui negara sekiranya PR berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum nanti.

“Pada hemat kami (jika PR menang), Perdana Menteri akan datang dari PAS kerana parti itu mempunyai satu organisasi yang lebih besar, ahli yang lebih ramai dan mempunyai sumber yang jauh lebih besar berbanding parti lain,” katanya, sepertimana dipetik kebanyakan media.

Pada zahirnya pengakuan agak berterus-terang itu seakan pujian buat PAS. Bagaimana pun tidak sukar dipastikan betapa ia sebenarnya bukan bermaksud pujian ikhlas terhadap keupayaan pemimpin PAS.

Mengambilkira bahawa ungkapan Soi Lek itu disertai ingatannya kepada rakyat agar tidak membiarkan pakatan pembangkang menguasai pentadbiran kerajaan Pusat, serta apa didakwanya sebagai rekod tidak baik PAS sepanjang memerintah Kelantan, maka segala diluahkannya itu bukan sesuatu yang boleh diterima secara positif.

Sejarah mengajar kita bahawa dalam pertembungan politik, pujian musuh seringkali bersirat strategi halus untuk mewujudkan suasana selesa. Perasaan itu juga berpotensi mewujudkan sikap terlalu yakin dengan kemenangan, sehingga akhirnya kita tidak berusaha keras membina kekuatan ke arah mencapainya.

Sayugia disebut bahawa ini bukan kali pertama MCA mengusik batang tubuh PAS secara khusus. Sejurus selepas pilihan raya umum 2008, parti komponen BN itu pernah mengumumkan satu kajian sebuah badan penyelidikan di bawahnya berhubung prestasi cemerlang PAS dalam pilihan raya itu.

Kajian itu menyimpulkan bahawa PAS bukan sahaja berjaya memecah benteng undi bukan Melayu yang selama ini dikuasai BN, malah turut meningkatkan sokongan di kalangan pengundi Melayu.

Dapatan kajian itu bukan sahaja membanggakan PAS, bahkan kemudiannya kerap dipetik kalangan pemimpin parti itu sendiri bagi membuktikan betapa parti itu sebenarnya masih diterima baik pengundi tradisinya.

Penerimaan selesa terhadap fakta yang sengaja dijulang MCA itu bagaimana pun mewujudkan keyakinan palsu di kalangan sebilangan pemimpin PAS. Sehinggakan mereka seakan sukar menerima hakikat bahawa tahap sokongan pengundi mampu berubah dalam masa singkat.

Perbahasan di Muktamar Tahunan PAS ke-56 di Kota Bharu, Jun lalu boleh dijadikan renungan. Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat (JPP), Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman meluahkan kebimbangannya dengan kecenderungan terbaru di kalangan pengundi Melayu yang tidak memihak PAS.

Beliau memetik fakta keputusan beberapa pilihan raya kecil terkini yang secara keseluruhannya menampakkan sedikit kemerosotan undi Melayu terhadap PAS dan PR. Fakta sama dikongsi perwakilan Kelantan yang turut menyeru agar PAS jangan meninggalkan fokus kepada pengundi Melayu selaku penyokong tradisinya.

Agak mengejutkan apabila ada yang bangun menyanggah kenyataan itu. Malah ada yang memetik hasil kajian MCA tadi, bahawa sokongan pengundi Melayu terhadap PAS semakin meningkat dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya. Kata mereka, undi Melayu kepada PAS tidak pernah merosot. Justeru, PAS tidak perlu bimbang akan kehilangan sokongan kaumnya sendiri.

Kini, MCA sekali lagi “memuji” kekuatan PAS. Biar pun pada zahirnya ia kelihatan bagai mengiktiraf kemampuan PAS, niat politiknya tidak sukar ditelah. Agak terserlah tujuannya melagakan parti-parti PR, khususnya di kalangan pemimpin PAS dan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan).

Apatah lagi dengan yakin beliau meramalkan Penasihat Keadilan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak akan menjadi Perdana Menteri sekiranya PR menguasai negara. Hakikat bahawa PAS, Keadilan dan DAP telah sepakat memilih Anwar sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen seakan tidak memberikan sebarang erti politik kepadanya.

Mujur juga para pemimpin PAS dan rakan-rakan dalam PR cepat belajar dari kesilapan. Mereka tidak mudah melatah atau terpesona dengan pengiktirafan musuh. Apatah lagi sehingga tergamak menodai persefahaman dan setiakawan yang sedia terjalin.

“Masalah rakyat lebih utama sekarang. Kita mahu menyelamatkan rakyat daripada kehancuran ekonomi negara supaya rakyat terbela dan negara terjaga. Jawatan (Perdana Menteri) itu hanya sebagai pengemudi dalam kepimpinan. Sesiapa pun tiada masalah memegang jawatan sebagai pemimpin,” media memetik reaksi tegas Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Di samping menampakkan pihaknya tidak terlalu selesa dengan pengiktirafan sebuah parti musuh itu, kenyataan Idris juga sekali gus mengingatkan pendukung PR agar tidak tergelincir dari landasan asal perjuangan.

Bahawa matlamat utama PR kini ialah untuk memastikan BN berjaya ditumbangkan dan Putrajaya ditawan PR. Untuk itu, parti-parti PR jangan dilengahkan dengan isu remeh-temeh yang mampu menimbulkan pertikaian dan kecurigaan sesama sendiri. Sebaliknya, isu yang perlu diutamakan ialah berkaitan pembelaan nasib dan masa depan rakyat.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1562, 6 Ogos 2010 di ruangan 'EDOTORIAL', N4 dengan tajuk "Mujur PAS tak terpesona pengiktirafan MCA")

No comments:

Post a Comment