Sunday, August 1, 2010

Haji Mohd Shukri Abdullah Menahan lapar saban malam demi merahsiakan aqidah

Entah mengapa hati Robert tidak terlintas untuk meninggalkan kerusinya setiap kali diarahkan keluar dari bilik darjah sewaktu mata pelajaran Agama Islam diajar. Sementara murid-murid bukan Islam lain yang sedarjah dengannya di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman II, Kuala Terengganu berada di luar kelas, kanak-kanak Cina ini memilih untuk terus duduk dan memasang telinga terhadap apa yang diajar oleh ustaznya kepada rakan-rakan berbangsa Melayu.

Bermula dari sikap tidak kisah terhadap perbezaan agama itu, ia sedikit demi sedikit membuahkan minat di hati Robert untuk mengikuti kelas yang dikhususkan untuk murid-murid Islam sahaja itu. Hatinya tambah tertarik dengan pengajaran didengarnya apabila sang ustaz kerap membawakan pelbagai kisah penting dan gambaran menarik berkaitan ajaran Islam.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana mulanya atau apa puncanya saya tertarik dengan Islam. Ia mari dengan sendiri, timbul minat nak dengar ustaz mengajar. Saya anggap ia semata-mata kerana Allah Ta’ala pilih saya,” ujar Robert, yang kini dikenali sebagai Haji Mohd Shukri Abdullah.

Menurutnya, kecenderungan agak pelik itu bermula sewaktu beliau berada di Darjah Enam. Tabiat menekuni kelas Agama Islam itu diteruskannya selepas memasuki Sekolah Menengah Tengku Bariah, juga di Kuala Terengganu.

Mohd Shukri dilahirkan sebagai Robert Loong Heng Seng pada 1962. Beliau merupakan anak kelima daripada 10 beradik dalam sebuah keluarga penganut agama Buddha di Air Jernih, sebuah kampung di pusat bandar Kuala Terengganu..

Pun begitu, sejak kecil beliau tidak banyak menghabiskan masa bersama kawan-kawan sebangsanya. Sama ada di sekolah atau pun di rumah, Mohd Shukri lebih berminat bergaul dengan kanak-kanak Melayu.

“Salah seorang rakan karib saya di sekolah menengah ialah Suhaimi Abdul Aziz. Saya kerap ke rumahnya di Jalan Bukit Besar, tidak jauh dari sekolah kami. Ibubapanya macam keluarga angkat saya. Semoga Allah merahmati mereka”, Mohd Shukri mengimbau kembali keakrabannya dengan keluarga itu.

Menurutnya, minatnya terhadap Islam sampai ke kemuncak ketika berada di Tingkatan Dua. Selain atas dorongan rakan-rakan, keputusan kakak sulungnya, Helen Loong memeluk Islam setahun sebelum itu membuakkan lagi hasrat Mohd Shukri mengikuti jejak syahadah itu.

“Kakak saya menukar nama kepada Haslina, kahwin dengan pemuda Melayu dan pindah duduk di tempat lain. Menariknya, Papa (ayah saya) tak kisah,” ceritanya lagi.

Lalu pada penghujung 1976, dalam usia 14 tahun, Mohd Shukri akhirnya nekad menerima Islam sebagai pegangan hidup. Di kesempatan berada di rumah Suhaimi, beliau meluahkan hasrat murninya itu kepada ibu rakannya itu, yang dipanggilnya “Umi”.

Di atas pertimbangan peribadinya, keluarga angkatnya itu membawa beliau menghadap seorang ustaz yang tinggal berjiran dengan mereka. Di hadapan ustaz itulah kalimah toyyibah dilafazkannya. Keesokannya beliau secara rasminya mengulangi ikrar syahadah di hadapan kadhi daerah.

“Bila dah masuk (Islam), saya ‘test’ Papa, tanya dia boleh tak kalau saya masuk Islam. Dia tak marah, tapi tak beri (izin). Untuk jaga hati dia, saya rahsiakan keislaman saya. Papa tak tahu saya masuk Islam sampai ke akhir hayatnya. Dia meninggal ketika saya di Tingkatan Lima,” sambung Mohd Shukri.

Alhamdulillah, berkat kesungguhannya menghayati ajaran agama barunya beserta tunjuk ajar “Umi” dan rakan-rakan, Mohd Shukri mampu belajar asas-asas hukum dan selok-belok ibadat dalam masa yang singkat.

Bagi memudahkan pembelajarannya juga, beliau meminta kawan-kawan menulis kembali ayat dan doa penting dalam solat menggunakan transliterasi rumi. Hasilnya, dalam masa tidak sampai dua bulan Mohd Shukri sudah boleh menunaikan solat dengan menyebut kebanyakan bacaannya secara betul.

Beliau juga banyak menekuni kuliah-kuliah agama yang diadakan saban malam di beberapa masjid berdekatan, terutama di Masjid Jamek Bukit Besar dan Masjid Haji Kadir.

Namun penghidupannya sebagai seorang muslim benar-benar menguji kesabaran dan ketabahannya tatkala berada di rumah sendiri. Perkara paling menyulitkannya ialah soal makan-minum. Setelah diberitahu secara jelas berhubung apa-apa yang halal dan haram dimakan, di kebanyakan masa beliau terpaksa mengelak dari menjamah hidangan keluarganya.

“Sebab kita diajar yang haram bukan setakat benda tu (daging khinzir), bekas memasak dia, pinggan yang kena (diguna untuk hidang) dia juga selagi tidak disamak, tetap ada kesan haram. Mana ada bekas tidak terkena (daging khinzir) dalam rumah saya?”, luah Mohd Shukri, seraya ketawa kecil.

Justeru, walau pun ada ketikanya Papa membeli makanan halal dari kedai orang Islam, tetapi apabila dihidangkan menggunakan pinggan yang tercemar najis mughalazah itu, Mohd Shukri terpaksa mengelak dari menjamahnya. Semata-mata mengelak rasa curiga keluarganya, beliau terpaksa berpura-pura sudah kenyang apabila diajak makan, walau pun sebenarnya dia tersangat lapar.

“Saya terpaksa tidur dalam lapar selama dua tahun lebih. Nak makan di luar (kedai), duit tak ada, sebab Papa beri belanja hanya cukup untuk waktu sekolah,” ujarnya agak sayu mengenangkan pengalaman paling perit dalam hidupnya itu.

Hanya setelah menduduki Tingkatan Lima, keazaban itu terhapus. Mohd Shukri berpeluang tinggal di rumah sewa. Selain mudah mendalami ilmu Islam kerana tinggal bersetentang dengan masjid, beliau juga tidak lagi berdepan masalah makan-minum.

Nasib semakin menyebelahinya apabila mula bekerja sebagai juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 1982. Tahun berikutnya beliau ditukarkan ke pejabat TNB Daerah Besut, di Kampung Raja. Beliau akui keprihatinan rakan-rakan sekerja banyak memudahkannya mendalami ajaran Islam, terutama mempelajari bacaan al-Quran secara lebih serius.

Beliau mendirikan rumahtangga dengan kakitangan pejabatnya, Norma Aidawiah Hamat, pada 1985. Hasil perkongsian hidup itu mereka kini dikurniakan lima cahayamata.

Anak sulungnya, Mohd Syahrol Nizam, 23, malah sudah bekerja sebagai juruteknik di sebuah sekolah menengah berdekatan rumahnya. Anak kedua mereka, Nurul Izzati, 19, kini menuntut di Institut Perguruan Perlis, Kangar.

Nurul Izyan, 15, menuntut di MRSM Kuala Terengganu dan Nur Ain Sofia, 12, di Sekolah Kebangsaan Kampung Raja. Manakala anak bongsunya, Nur Ain Zahra baru berusia dua tahun.

Lebih mengembirakan Mohd Shukri ialah apabila seorang demi seorang adik-beradiknya ikut memeluk Islam selepas beliau. Katanya, daripada 10 beradik, akhirnya hanya abang keduanya yang mati dalam agama asal.

“Alhamdulillah, kesemua sembilan beradik yang lain memilih agama suci ini, atas sebab-musabab masing-masing. Ibu saya juga sempat mengucap syahadah beberapa tahun sebelum meninggal dunia,” ujarnya mengakhiri bual bicara yang berlangsung dalam suasana penuh ceria di kediamannya di Kampung Gelam Mas, kira-kira dua kilometer dari pejabatnya.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Ogos 2010 dengan tajuk "Tahan lapar demi aqidah" di ruangan Hidayah)

No comments:

Post a Comment