Sunday, August 1, 2010

Ihya’ Ramadhan, memadakah sekadar mengejar Lailatul Qadar?

Ramadhan bertandang lagi. Serentak itu juga bermula kembali satu fenomena hidup manusia, iaitu perlumbaan mengambil kesempatan di atas kehadiran bulan mulia lagi berkat ini.

Di negara kita, mahu pun di serata dunia Islam, kehadiran Ramadhan sinonim dengan pesta makanan. Berbagai juadah dan masakan enak yang antaranya tidak ditemui di bulan-bulan lain sepanjang tahun, tiba-tiba muncul berlambak-lambak di bulan puasa.

Sebilangan umat Islam mengambil kesempatan berniaga. Gerai dan kanopi menjual kuih-muih dan lauk-pauk tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Hampir tidak ada lokasi strategik di segenap pelusuk tanahair yang terkecuali daripada fenomena tersebut.

Tabiat umat Islam yang tidak lokek berbelanja, didorong pula oleh kemaruk selera perut yang lapar, menyebabkan mereka sanggup berhabis berapa saja yang dirasakan perlu semata-mata memenuhi nafsu lapar itu.

Sementara perniagaan makanan dan minuman dimonopoli hampir seratus peratus oleh peniaga Islam, perniagaan barangan keperluan lain pula ikut diambil kesempatan oleh peniaga bukan Islam. Selain bahan mentah dan keperluan dapur, perniagaan pakaian dan lain-lain keperluan sebagai persiapan menyambut Hari Raya Idulfitri menyediakan ruang keemasan kepada segala macam bentuk perniagaan.

Keghairahan menyambut kedatangan Hari Lebaran mendorong umat Islam tidak begitu mengambil kira soal harga ditawarkan peniaga. Lagi pun, jika berkira-kira sekali pun, apa pilihan yang mereka ada? Mahu tidak mahu mereka terpaksa juga berbelanja bagi memastikan kehadiran 1 Syawal disambut penuh meriah.

Betapa pun tinggi keghairahan anggota masyarakat memanfaatkan kehadiran Ramadhan dengan tuntutan dan keperluan duniawi itu, Islam turut mengajar kita bahawa perlumbaan lebih utama bagi umatnya ialah mengejar dan merebut pelbagai keistimewaan yang disajikan Allah Ta’ala di bulan penuh berkat ini.

“Ramadhan ini dikenali dengan berbagai nama. Setiap nama itu menerangkan keistimewaan dimiliki bulan mulia ini. Antaranya disebut ‘Syahrus-Siyam wa Syahrul-Qiyam’, ertinya bulan untuk berpuasa dan bulan untuk berqiyam, berdiri, dengan maksud mendirikan solat,” terang Ustaz Hasbullah Ali Mat.

Menurut pendakwah bebas ini, setiap keistimewaan yang dimiliki Ramadhan dijanjikan Allah Ta’ala dengan kelebihan dan ganjaran tersendiri. Contohnya, ibadat puasa mendidik umat Islam dengan kesabaran. Ia turut membina rasa insaf dalam diri umat Islam berhubung penderitaan golongan yang kurang bernasib baik dan terpaksa berlapar sepanjang tahun.

Di atas ketekunan umat Islam menyempurnakan ibadat yang menguji ketabahan ini, mereka dijanjikan ganjaran pahala yang tidak terbatas di sisi Allah Ta’ala. Ustaz Hasbullah Ali lalu memetik sebuah hadis Qudsi yang masyhur, “semua amal anak Adam adalah untuk dirinya sendiri, melainkan puasa. Demi sesungguhnya puasa ini ditunaikan untuk Aku (Allah) dan Aku sendiri yang akan memberikan ganjaran sekehendak Aku”.

Pelbagai kebajikan dan ganjaran turut menanti umat Islam yang menghidupkan Ramadhan dengan mendirikan solat, bersesuaian dengan namanya “Syahrul-Qiyam”.

“Solat tarawih contohnya, adalah satu keistimewaan dari Allah yang hanya ada pada bulan Ramadhan. Para malaikat turun di bulan ini untuk sama-sama bertarawih dengan umat Islam,” jelasnya.

“Bayangkan lagi betapa satu sujud dalam solat di bulan puasa, tidak kira apa juga solat, dijanjikan 100 ribu kebajikan di sisi Allah Ta’ala. Apakah kita mahu melepaskan peluang keemasan ini?”, lontar Ketua Urusan Ulama Kawasan Setiu itu.

Ustaz Hasbullah Ali seterusnya menghuraikan pula keistimewaan dimiliki Ramadhan di sebalik namanya sebagai al-Mubarak, yakni bulan penuh keberkatan. Katanya, di antara intipati utama keberkatan itu ialah apabila Allah Ta’ala menjanjikan bahawa di sepanjang bulan mulia ini dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka.

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w. ada menyebut bahawa Ramadhan menyajikan peluang untuk umat Islam mengejar rahmat, maghfirah (keampunan) dari Allah dan pembebasan daripada api neraka.

“Manakala Ramadhan sebagai bulan al-Quran pula membentangkan umat Islam dengan lautan nikmat dan rahmat yang terkandung di dalam kitab suci itu sendiri. Hanya dengan mendampingi dan menghayati kandungannya, umat Islam akan benar-benar dapat mengecapi hakikat al-Quran sebagai “hudan lin-naas” (petunjuk bagi manusia), “bayyinatin minal huda” (memperjelaskan jalan kepada petunjuk) dan “al-furqan” (yang membezakan), yakni menerangkan kepada manusia tentang mana hak dan batil, beza antara iman dan kufur, Islam dan jahiliyah”, hurai Ustaz Hasbullah Ali secara panjang lebar.

Kemudian, katanya lagi, Allah Ta’ala mengangkat keistimewaan Ramadhan dengan adanya satu malam amat berkat yang dinamakan Lailatul Qadar. Satu malam yang disebutkan di dalam al-Quran ‘lebih baik daripada seribu bulan’, yakni kira-kira 83 tahun.

“Sengaja saya senaraikan sepintas lalu kesemua kelebihan dan keistimewaan yang dilonggokkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala di sepanjang bulan mulia ini. Tujuan saya agar kita faham bahawa sebenarnya di setiap hari, malam atau pun ketika di sepanjang bulan ini sebenarnya ada rahmat, berkat dan kelebihan tersendiri. Oleh itu saya tidak begitu bersetuju jika kita sekadar mengejar Lailatul Qadar sahaja,” simpulnya.

Beliau lalu menyertakan beberapa hujah. Pertama, tanpa menafikan kelebihan besar dijanjikan Allah Ta’ala kepada mereka yang menemui malam istimewa itu, bagi Ustaz Hasbullah Ali, memfokuskan ibadat semata-mata untuk mencari Lailatul Qadar bererti kita melepaskan banyak peluang amat berharga di sepanjang Ramadhan.

“Bukankah di sepanjang bulan ini kita dituntut perbanyakkan bertarawih, bersolat sunat, baca al-Quran, berzikir, tazkirah, qiyamullail, banyakkan bersedekah, beri makan orang puasa, ajak mereka berbuka dan sebagainya? Ini semua peluang untuk kita dapat pahala, kebajikan di sisi Allah. Jadi bayangkan betapa ruginya kalau kita sekadar menumpukan kepada Lailatul Qadar”, terjahnya lagi.

Selain itu, beliau turut bimbang keghairahan berlebihan umat Islam mengejar Lailatul Qadar berkemungkinan menimbul salah tanggapan. Tidak mustahil akan timbul perasaan, terutama pada mereka yang mendakwa telah menemui Lailatul Qadar, bahawa sudah memadai baginya beribadat semalaman itu sahaja. Ia sudah menyamai seribu bulan atau ibarat beribadat sepanjang hayat (83 tahun).

Yang ketiga, katanya, sandaran utama umat Islam yang memfokuskan pencarian Lailatul Qadar ialah kerana meneladani tindakan Rasulullah s.a.w. mempertingkatkan ibadat di malam-malam terakhir Ramadhan. Sehinggakan ada ulama menjadikan perbuatan Nabi Muhammad s.a.w. itu sebagai hujah bahawa Lailatul Qadar berlaku dalam tempoh sepuluh malam terakhir Ramadhan.

“Memang ada ulama yang mengatakan begitu, yakni Rasulullah s.a.w. pertingkatkan ibadat di malam-malam terakhir itu kerana mencari Lailatul Qadar. Tapi jangan lupa di sana ada juga ulama yang menilai perbuatan Rasulullah s.a.w. itu dari perspektif berbeza. Mereka menyimpulkan itu sebagai tanda Rasulullah s.a.w. amat kasih dan tak mahu berpisah dengan Ramadhan yang sangat dicintainya. Bahkan ada disebutkan dalam hadis bagaimana Ramadhan menangis di hadapan Allah kerana tidak mahu berpisah dengan umat Islam yang taat dan soleh,” Ustaz Hasbullah Ali meyakinkan pendiriannya.

Baginya, disebabkan pemahaman itu jugalah maka para sahabat berlumba-lumba  melipatgandakan ibadat pada malam-malam berbaki di bulan mulia ini. Mereka tidak mahu melepaskan peluang dan kesempatan mengejar dan merebut pelbagai keistimewaan yang hanya dihidangkan Allah di bulan Ramadhan, bukan semata-mata kerana mengejar Lailatul Qadar.

(Artikel Nuwa Aitawa ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Ogos 2010 dengan tajuk sama di ruangan TOPIK)

No comments:

Post a Comment