Sunday, July 4, 2010

Perihal secawan susu nak ubah sekolah nila

Oleh: Mohd Nasir Awang

Seorang kenalan dari Kuala Terengganu yang sering bertukar maklumat dengan saya berhubung isu-isu semasa politik negara adalah antara orang paling awal melontarkan reaksinya berhubung kemasukan sekumpulan anak muda lulusan pengajian Islam ke dalam Umno, 25 Jun lalu.

Sepertimana kebanyakan pemerhati dan pemain politik, pesara kerajaan yang saya panggil ‘Ayah Wan’ itu adalah antara yang menilai perkembangan itu sebagai suatu yang pelik dan melucukan. Secara sinis beliau malah menyenaraikan sepuluh tugas utama kumpulan yang disebutkan sebagai ulama muda itu jika benar mereka berhasrat memperbetulkan Umno dari dalam.

Minggu lalu, kumpulan yang mendakwa dianggotai 40 ulama dan cendikiawan muda itu menyerahkan borang keahlian Umno kepada presidennya, Dato’ Seri Najib Razak. Betapa penyerahan itu dilakukan di ibu pejabat Umno, terus ke tangan orang nombor satu Umno dan sejurus sebelum beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pula, menggambarkan bahawa kumpulan itu amat serius mahu semua pihak tahu dan ambil tahu kehadiran mereka ke dalam parti sekular itu.

Mereka tahu dengan mengambil kesempatan pada saat dan lokasi penting sebegitu mereka akan dapat mengumpulkan tumpuan pemimpin tertinggi Umno dan media kroninya. Dengan itu berita kemasukan mereka akan segera sampai ke pengetahuan dunia luar.

Hakikat itu menyediakan peluang paling keemasan bagi mereka menyatakan apa juga sikap dan pendirian sebenar yang mendorong mereka memilih Umno berbanding parti-parti politik lain.

“Tujuan asal kami masuk Umno adalah untuk berdakwah, bukannya berlandaskan politik walau pun kami sertai parti politik. Umno kami gunakan untuk memperkasakan lagi dakwah,” media memetik penegasan salah seorang pemain utama kumpulan tersebut.

Beberapa komen dan reaksi yang kemudiannya terpapar di media mengukuhkan hakikat bahawa penyertaan kumpulan ulama muda ini lebih didorong sikap optimis terhadap ruang-ruang disediakan Umno untuk mereka menyemarakkan lagi usaha-usaha keagamaan dalam parti sekular itu.

Malah ada coretan mendakwa hampir keseluruhan anggota kumpulan itu menyertai Umno bukanlah disebabkan tertarik dengan perjuangan dan dasar parti itu, atau pun kecewa dengan PAS, tetapi dengan niat mahu mengubah Umno, selain mahu mencuba ruang dan misi dakwah dalam suasana yang berbeza.
Hebat bukan kesungguhan mereka? Hasrat murni yang menggunung itu mengingatkan kita kepada hujah serupa dijulang seorang ketua pertubuhan belia Islam ketika menyertai Umno pada 1982 dulu. Dunia kini maklum apa kesudahan impiannya “memperbetulkan Umno dari dalam” itu.

Semua itu mengajar kita betapa sekadar memiliki tekad dan hasrat murni tidak memadai dan tidak menjamin ia dapat dicapai. Realiti persekitaran tempat berpijak juga mesti diambil kira.

Persoalan paling banyak dilontarkan sebagai reaksi tindakan kumpulan ulama tadi ialah sejauh manakah ketahanan diri mereka mendepani fahaman sekular dan pegangan batil yang telah berdarah daging dalam batang tubuh Umno?

“Nasihat isteri Najib dan wanita Umno bertudung. Nasihatkan Najib ambil langkah kurangkan murtad, maksiat dan hiburan yang kurang sopan. Nasihatkan kerajaan BN jangan zalim dan rasuah,” tulis Ayah Wan menerusi servis mesej singkat (sms) kepada saya.

Saya faham saranan beliau itu bukan keyakinan, tetapi lebih kepada luahan sinis. Namun persoalan pokoknya, apakah anak-anak muda itu ada cukup keberanian untuk mendakwah para pemimpin Umno dan menegur cara hidup yang menyimpang dari ajaran Islam?

Dan lagi, apakah mudah bagi parti tua itu tunduk kepada saranan dan pandangan sekumpulan anak muda yang masih mentah dalam sepak terajang politik? Realitinya, sudah tentu ia bukan perkara mudah mengubah mentaliti berkarat makhluk warga emas bernama Umno, bukan?

Sebaliknya, track record Umno sendiri menunjukkan belum ada kalangan ulama yang mampu bertahan dalam kepimpinan tertinggi parti itu buat jangkamasa lama tanpa mengalami hakisan prinsip dan pegangan agama mereka.

Kehadiran ulama mahu pun lulusan agama dalam Umno setakat ini tidak ubah seumpama secawan susu di dalam sekolah nila. Ia terlalu jauh dari mengubah warna biru pekatnya.

Suara ulama Umno, jika pun mereka memang telah bersuara menegur kepimpinan tertinggi berhubung hukum dan peraturan agama, ibarat mencurah air ke daun keladi. Ia tidak pernah meninggalkan bekas kepada Umno, apatah lagi untuk merubah persepsi dan penerimaan parti itu terhadap ajaran dan hukum Islam.

Ulama Umno tidak pernah diberi peranan besar atau penting sejajar kelulusan mereka, sama ada dalam hierarki parti atau kerajaan. Contohnya, seorang yang diiktiraf sebagai anak Melayu pertama berjaya memperolehi kelulusan Doktor Falsafah (PhD) bidang tasawuf dari universiti di Mesir. Umno memanfaatkan kehadirannya dan menjadikannya Ketua Biro Agama Umno. Dalam kerajaan pula menjadi menteri yang jaga agama.

Namun, itu tidak kekal lama. Bahkan, khidmatnya dalam Kabinet lebih menyerlah sebagai menteri tukang lulus lesen teksi dan lori. Kini, selepas tidak lagi menganggotai Kabinet, dia diberi tugas menjaga hal ehwal kelapa sawit pula. Hebat bukan cara Umno memanfaatkan ilmu Islam pada ulamanya?

Lihat pula nasib seorang ulama bekas pemimpin kanan PAS yang menyertai Umno. Bersungguh benar beliau cuba menduduki kepimpinan Umno. Kesiannya, beliau tidak pernah berjaya. Jangankan kerusi Majlis Tertinggi, jawatan di bahagian pun beliau ditolak.

Tanya pula di mana kelibat bekas pensyarah yang sempat menjadi wakil rakyat Umno di Selangor sepenggal lalu? Juga, ke mana hilangnya suara Islam seorang bekas Imam Besar Masjid Negara yang pernah lantang dalam Pemuda Umno dulu?

Maaf cakap, setakat ini Umno sendiri membuktikan dirinya bukan medan kondusif untuk ulama melebarkan pengaruh, apatah lagi ilmunya. Kita bimbang ulama Umno sekadar menjadi alat politik untuk berdepan parti lawannya.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0207, 4 Julai 2010 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment