Thursday, July 1, 2010

Muktamar serlahkan keprihatinan PAS terhadap perkembangan semasa

Muktamar Tahunan PAS kali ke-56 telah berlangsung dengan jayanya di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa pada 11 hingga 13 Jun lalu. Sepertimana lazimnya, ia didahulukan dengan muktamar serentak tiga sayap parti itu, iaitu Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.

Bagaimana pun, sejarah tercatat tahun ini apabila buat pertama kalinya perasmian muktamar ketiga-tiga sayap itu diadakan serentak. Majlis itu disempurnakan oleh Mursyidul Am PAS, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada sebelah malam 9 Jun di Putik.

Keesokannya, ketiga-tiga Dewan itu bermuktamar di lokasi berbeza. Muktamar ke-49 Dewan Ulama bersidang di Markas Dewan Ulama (Madu), Machang. Muktamar ke-51 Dewan Pemuda pula di Pusat Dagangan Kelantan (KTC), manakala Muktamar ke-50 Dewan Muslimat berlangsung di Perdana Resort.

Menjadi tradisi PAS untuk mengambil kesempatan kehadiran ribuan penyokongnya dari serata negara di muktamar tahunannya untuk menzahirkan sikap dan komitmen berterusan parti itu dalam berbagai aspek perjuangannya. Perhimpunan terbesar dan terpenting buat PAS itu dimanfaatkan sepemuhnya oleh pelbagai lapisan kepimpinan parti itu untuk membicara dan menghadamkan pelbagai isu semasa melanda masyarakat, sama ada dalam negara mahu pun antarabangsa.

Di antara isu utama diperbahaskan para perwakilan muktamar ialah berkaitan penyertaan rakan bukan Islam ke dalam perjuangan PAS. Sejarah tercipta apabila buat pertama kalinya muktamar PAS tahun ini menerima kehadiran anggota bukan Islam sebagai perwakilan rasmi.

Malah wakil mereka, K. Deepakaran diberi peluang berucap membahaskan Ucapan Dasar Presiden PAS bertajuk “Islam Adil Untuk Semua”. Beliau adalah Setiausaha Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), sayap baru parti itu yang sebelum ini dikenali sebagai Kelab Penyokong PAS (KPP).

Beberapa perwakilan negeri yang berucap turut menyentuh isu keanggotaan bukan Islam dalam PAS. Secara keseluruhannya mereka memandang perkembangan itu suatu yang sangat positif untuk imej dan juga potensi politik PAS di masa depan. Ia sekali gus dianggap pencapaian amat membanggakan bagi PAS dalam aspek dakwah Islamiyyah.

“Kita berharap supaya sayap ini (DHPP) dapat memainkan peranan mereka dengan berkesan, bagi menarik kalangan bukan Islam mengenali kita secara amali dan bersama membuat perubahan yang berjaya selepas kejayaan kini”, ujar Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya.

Pada muktamar itu juga, Abdul Hadi mengumumkan bahawa partinya telah megmabil keputusan membenarkan anggota DHPP sebagai calon bukan Islam bertanding atas tiket PAS menggunakan logo parti itu dalam pilihan raya umum akan datang. Perkara itu, katanya, telah diputuskan Majlis Syura Ulama sebagai badan tertinggi menentukan dasar PAS.

Isu memperkasakan PAS dan memantapkan keserasian Pakatan Rakyat juga banyak disentuh para perwakilan, termasuk saf kepimpinan PAS Pusat. Selain usul pindaan kecil Perlembagaan melibatkan keahlian Dewan-Dewan dan keanggotaan Jawatankuasa Tatatertib parti, usul memastikan dasar dan prinsip perjuangan PAS dipertahankan di samping mengukuhkan Pakatan Rakyat juga diterima sebulat suara.

Namun isu paling mendapat perhatian sudah tentu berhubung penderitaan rakyat Palestin, khususnya berkaitan tindakan terkini rejim Zionis Israel ke atas misi kemanusiaan ke Gaza, akhir Mei lalu. Ia disentuh dan dibahaskan di ketiga-tiga muktamar Dewan sebelum turut diperincikan sepanjang muktamar induk.

“PAS sentiasa menegaskan bahawa inilah wajah sebenar rejim Zionis Israel yang sememangnya sedikit pun tidak menghiraukan kutukan masyarakat antarabangsa, termasuklah kecaman keras dari Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri,” ujar Abdul Hadi.

Menyedari kedegilan rejim haram itu, Presiden PAS menyarankan masyarakat dunia tampil dengan “satu strategi dan tindakan baru yang lebih serius, tegas dan keras untuk memberikan tekanan kepada rejim Zionis yang sudah terbukti tidak menghormati meja perundingan”.

Beberapa perwakilan yang ikut berucap turut menyentuh secara lebih lanjut isu kekejaman Israel. Ada yang mengimbau kembali sejarah kewujudan negara itu dan asal-usul fahaman Zionisme yang menjadi pegangan bangsa laknat itu. Tidak lupa disentuh juga tentang ketidak upayaan negara-negara umat Islam tampil membela dan membebaskan Palestin daripada terus dijarah bangsa terkutuk itu.

Ada pula yang menyorot kembali rentetan peristiwa kezaliman Israel yang tidak henti-henti ke atas warga Palestin. Malah perwakilan Dewan Pemuda, Ustaz Ridhuan Mohd Noor sempat menceritakan pengalaman peribadi beliau berkunjung ke Gaza tahun lalu.

Tidak cukup sekadar ucapan, derma kilat khusus untuk disumbangkan kepada tabung bantuan kemanusiaan Gaza turut dilancarkan. Di luar dewan muktamar, hadirin diajak berdemonstrasi mengulangi bantahan dan kekecewaan mereka terhadap rejim Zionis. Mereka ikut memijak dan membakar bendera Amerika Syarikat (AS) yang dicetak bersama bendera negara haram Israel.

Bagi PAS, AS adalah punca utama kegagalan dunia bertindak terhadap Israel. Sikap hipokrit kuasa besar itu menggunakan kuasa vetonya menolak sebarang usul yang boleh menjejaskan kedudukan Israel bagaikan memberi ‘lesen besar’ kepada Israel untuk melakukan apa sahaja ke atas Palestin. Sebarang usaha menggugat kepentingan atau mengancam kekuatannya akan dihalang AS.

Muktamar PAS turut meluluskan usul khas berhubung isu Gaza. Selain merakamkan kutukan terhadap serangan ganas Israel ke atas kapal konvoi kemanusiaan tempohari, PAS turut mendesak kerajaan Malaysia mengiktiraf kemenangan Hamas dalam pilihan raya Palestin 2006 lalu.

Usul itu juga menuntut Malaysia mengiktiraf Hamas sebagai kerajaan dan wakil yang sah bagi rakyat Palestin menerima apa-apa bentuk bantuan antarabangsa.

Perlu diingat bahawa hubungan Malaysia dengan Palestin selama ini berasaskan hubungan “kerajaan dengan kerajaan” (G to G). Oleh kerana Gaza di bawah Hamas, dan kerajaan Malaysia hanya mengiktiraf Fatah sebagai kerajaan Palestin yang sah, maka sebarang sumbangan dan derma rakyat Malaysia menerusi mana-mana agensi atau pertubuhan yang ada hubungkait dengan kerajaan akhirnya jatuh ke tangan PA dipimpin Fatah. Ia tidak sampai kepada Gaza dipimpin Hamas.

Keprihatinan PAS terhadap masa depan negara juga menjadi antara bahan utama perbahasan. Krisis nilai, kebejatan sosial dan kemurungan ekonomi melanda negar mutakhir ini mendorong PAS menzahirkan kebimbangannya tentang kemungkinan lebih buruk sekiranya ia tidak diperbetulkan segera.

“Malapetaka dalam negara kita telah diburukkan lagi dengan kekalutan iklim ekonomi, krisis nilai kemanusiaan dan akhlak, runtuhnya keimanan dan sistem keadilan yang menjadi barang jual-beli oleh kerajaan Umno-BN,” tegas Abdul Hadi dalam ucapannya.

Akibat krisis tersebut, katanya, amalan rasuah, menipu, pecah amanah dan segala macam keburukan masih berleluasa dalam negara tanpa ada tindakan berani untuk mengatasinya.

Namun isu utama yang menjuarai suara penentangan PAS terhadap kerajaan BN dalam muktamar kali ini tidak lain daripada judi bolasepak yang diluluskan kerajaan baru-baru ini. Isu berkenaan menarik perhatian segenap lapisan parti, sama ada pada muktamar di peringkat Dewan-Dewan mahu pun muktamar induk.

Kemuncak pertikaian berhubung tindakan BN berlunak dengan perkara yang jelas diharamkan Islam itu ialah apabila Dewan Pemuda PAS mengusulkan agar kerajaan Malaysia memansuhkan judi sukan, mengetatkan penguatkuasaan terhadap undang-undang judi dan mendidik rakyat membenci judi.

Muktamar turut meluluskan usaha memobilisasi semua rakyat Malaysia agar turun ke Himpunan 100 Ribu Mansuhkan Judi Bola yang dijadualkan pada 3 Julai di ibu kota. Perhimpunan itu turut bercadang menyerahkan memorandum khas berhubung tuntutan memansuhkan judi sukan kepada Duli Yang Maha Mulia  Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong.

Secara keseluruhannya, muktamar PAS kali ini menyerlahkan lagi sikap prihatin dan kesyumulan perjuangan parti itu menangani pelbagai isu yang melanda masyarakat. Ia sudah tentu amat bersesuaian dengan tanggungjawabnya membuktikan betapa “Islam Adil Untuk Semua”. Ia juga bertepatan dengan gagasan PAS untuk melangkah gagah menuju Putrajaya menerusi pilihan raya umum akan datang.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Julai 2010 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment