Thursday, July 15, 2010

Memori indah bersama Almarhum Ustaz Hassan Shukri

Oleh: Mohd Nasir Awang

Saya tentu sekali amat sukar memaafkan diri saya tatkala menerima berita kematian bekas Timbalan Presiden PAS, Almarhum Ustaz Hassan Shukri, awal petang Isnin, 14 Jun lalu. Usikan perasaan itu bukan kerana saya ada kesalahan besar dengan beliau atau apa-apa urusan penting yang masih belum selesai antara kami.

Bukan juga kerana saya tidak berupaya bergegas ke kediamannya di Taman Melewar, pinggir ibukota menyertai ribuan yang lain memberikan penghormatan terakhir buatnya, tetapi kerana saya melepaskan peluang sangat bermakna untuk duduk berbicara dengannya di Muktamar Tahunan PAS ke-56, di Putik, Pengkalan Chepa, beberapa hari sebelum itu.

Siapa sangka pertembungan mata dan gamitan tangan antara kami dua hari sebelumnya rupa-rupanya yang terakhir kali. Masih amat jelas terbayang bagaimana beliau yang mengenakan baju Melayu biru terang pagi itu beriya-iya menggamit tangan mengajak saya duduk bersamanya.

Ketika itu beliau kelihatan rancak berbual sambil minum bersama beberapa yang lain di salah sebuah gerai berderetan di luar kawasan Putik. Saya pula mengekori teman wartawan, Tarmizi Mohd Jam (TMJ), melewati gerai itu mencari ruang bersesuaian untuk melawaskan tekak.

“Ustaz Hassan lambai ana, ajak duduk nu sheikh,” ujar saya kepada TMJ. Beliau yang sudah terlajak ke depan bagaimana pun mengajak saya terus mencari gerai lain yang lebih “eksklusif” untuk menghadamkan pelbagai topik bual bicara kami berdua.

Demi Allah tidak disangka saya telah melepaskan peluang amat bermakna. Andaikata berlaku bual bicara antara saya dan Ustaz Hassan pagi itu, saya percaya pada adatnya akan ada sesuatu yang boleh diabadikan sebagai “amanat terakhir” beliau untuk saya.

Itulah yang membuatkan saya amat terkilan. Saya telah melepaskan peluang paling keemasan untuk berbicara atau sekurang-kurangnya meraikan pelawaannya buat kali terakhir. Walau pun mungkin di kesempatan sebegitu beliau tidak bercadang memperkatakan sesuatu yang agak luar biasa atau khusus sehingga boleh dianggap “amanat”, siapa tahu kemungkinan sebaliknya?

Lagi pun, pengalaman saya bergaul dan berinteraksi dengan Almarhum banyak mengajar saya bahawa sentiasa ada sesuatu yang bernas dan bermanfaat dari butir bicaranya.

Saya sempat tinggal berjiran dengan Ustaz Hassan selama hampir dua tahun ketika berkhidmat sebagai wartawan Harakah di Kuala Lumpur antara Januari 1990 hingga September 1991. Meski pun tidak begitu lama, tempoh itu lebih dari cukup untuk saya menyelami dan menghayati kepelbagaian watak dimiliki insan bernama Hassan Shukri ini.

Sepanjang penglibatannya dalam PAS, Almarhum sempat mengisi berbagai jawatan. Antara yang terbilang ialah Pesuruhjaya PAS Selangor, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Naib Presiden PAS. Jawatan eksekutif tertinggi pernah dipikulnya ialah sebagai Timbalan Presiden PAS. Manakala jawatan Ahli Majlis Syura Ulama pula disandangnya hingga ke akhir hayat.

Meski pun pernah menjawat orang nombor dua dalam kepimpinan PAS, bagi kebanyakan pendokong parti itu Almarhum lebih sinonim dengan jawatan Setiausaha Agung PAS. Beliau sempat berkhidmat di posisi itu di bawah tiga Presiden, iaitu Allahyarham Dato’ Dr Mohd Asri Muda, Almarhum Yusof Abdullah ar-Rawa dan Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Noor.

Beliau dianggap “buku undang-undang PAS”, kerana segenap aspek perlembagaan parti terlekat di kepalanya. Selok-belok pentadbiran dan pengurusan parti ibarat nasi makan air minum beliau. Tanyalah dan terjahlah apa juga berkaitan pengurusan parti, nescaya anda akan terpegun dan amat berpuashati dengan huraian dan penjelasan diberikan Ustaz Hassan.

Beliau juga “arkitek” Markas Tarbiyah PAS Pusat bersebelahan rumahnya. Bahkan beliau dianggap sebagai “penghulu” bagi Taman Melewar. Lorong menyelusuri depan rumahnya dinamakan Lorong Haji Hassan, bersempena nama beliau. Kira-kira 150 meter di hujung lorong itulah saya, TMJ, Zulkifli Sulong dan sebilangan bekas wartawan Harakah lain sempat berkampung.

Sewaktu saya mengambil keputusan mengundur diri daripada Harakah, Almarhum antara orang paling awal saya maklumkan. Saya tidak perlu bercerita panjang tentang sebab dan akibat tindakan itu. Beliau ternyata sudah memahami.

Ketika itu boleh dikatakan Harakah menjadi “tempat persinggahan” kalau pun bukan “batu loncatan” mencipta kerjaya. Sebilangan petugasnya datang dari kampung, belajar hidup di ibukota sambil bekerja dan menimba kemahiran bidang tertentu di Harakah secara “latihan sambil bekerja”, kemudian cabut apabila ada peluang lebih baik di luar.

Pengalaman dilihatnya berlaku ke atas beberapa rakan bekas petugas Harakah sebelum saya memasakkannya dengan kecenderungan itu. Sebab itu beliau tidak pula melarang saya berhenti, tetapi terus bertanya, “habis tu, enta nak buat apa?”

Kami terdiam seketika. Sebelum sempat saya menjawab, Ustaz Hassan mengambil kesempatan mengingatkan saya tentang kelebihan menyumbang khidmat kepada jamaah. Antara katanya, bekerja untuk jamaah ibarat kita menolong Allah, dan orang yang tolong Allah pasti akan ditolongNya pula.

Dari nada suara dan memek mukanya dapat saya fahami betapa beliau rasa amat bangga melihat anak-anak muda semakin ramai yang sanggup mewakafkan diri kepada perjuangan suci ini. Katanya penuh yakin, biar pun bekerja untuk jamaah tidak menjamin kita jadi kaya dan hidup mewah, tetapi kita juga insya Allah tidak akan susah atau melarat.

“Ana akan balik terus ke Besut”, saya berterus-terang. Beliau agak tersentak. Barangkali beliau tidak menyangka saya akan berundur sejauh itu. Agaknya beliau ingat saya sekadar berhasrat meninggalkan suasana kurang selesa di Harakah ketika itu dan mengintai kehidupan lebih sesuai di sekitar ibukota juga.

“Kalau anta tak nak balik dulu pun tak apa ‘Sir’, duduk dengan ana kat sini. Kita boleh fikirkan sesuatu untuk tampung anta”, sambungnya, dengan nada agak kendur.

Beliau yang ketika itu sebagai Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat lalu memperincikan perancangannya menerbitkan makalah khas atas nama dewan itu. Beliau mahu saya bertugas sepenuh masa di bawahnya menghidupkan unit penerbitan itu.

Ampun Tuhan, suasana ketika itu tidak membantu saya menyantuni permintaan itu. Saya gagal menyelami apa jua hasrat murni yang mungkin terfikir oleh Ustaz Hassan sehingga memujuk saya terus menghuni ibukota.

Saya malah menilai lontaran itu lebih sebagai usaha peribadinya memujuk. Apatah lagi beliau mengakui rancangan itu masih sebagai idea peribadinya dan tertakluk kepada kelulusan serta peruntukan Dewan Ulama.

Sedekad kemudian, saya antara insan yang sangat gembira apabila kerajaan PAS Terengganu menamakan Ustaz Hassan sebagai senator. Bagi saya beliau lebih dari layak diiktiraf jasa baktinya, terutama mengambil kira khidmatnya terhadap parti. Bahkan saya kira sepatutnya beliau diberikan penghormatan itu sedekad lebih awal dari negeri yang terlebih dahulu diperintah PAS sebelum Terengganu.

Suatu ketika kemudiannya saya kebetulan menghadiri satu program parti di Taman Melewar mewakili negeri Terengganu. Kebetulan Almarhum baru pulang dari sidang Dewan Negara. Dengan nada berseloroh saya memuji gaya segaknya berkot dan mengusiknya “Yang Berhormat nampak makin muda pula pakai macam ni”.

Kami sama-sama ketawa sebelum beliau menjawab, “apa pulak Yang Berhormat ni. Ana ni anta pun tahu, segak macam mana pun, balik-balik potong rumput juga kerja ana”. Gelak kami bertambah besar.

Ya, saya akui itulah kerja asasi yang tidak dapat dipisahkan dengan Ustaz Hassan. Saudara mungkin insan tidak bertuah jika tidak pernah berpeluang melihat beliau menggalas mesin pemotong rumput mundar-mandir di sekitar Markas Tarbiyah dan Pejabat Agung di Taman Melewar.

Sayang sekali aksi klasik seorang pemimpin agung itu tidak sempat saya potretkan. Namun itulah keunikan manusia bernama Hassan Shukri. Beliau seorang ulama, pentadbir parti, pemimpin masyarakat, tetapi di kebanyakan masa adalah seorang teman berbicara yang tidak menjemukan.

Suatu ketika dulu di depan Pejabat Agung PAS bersebelahan rumahnya itu ada buaian besi. Di situlah antara tempat saya dan Almarhum melabuhkan punggung sambil berbual pelbagai topik. Perbualan kami yang kadang-kadang bertukar serius itu kerap pula dihiburkan dengan telatah dua anak kembar seiras beliau, Uswah dan Hasanah yang ketika itu masih keanak-anakan.

Saya masih ingat suatu ketika beliau mengkisahkan pengalamannya yang paling pahit sebagai pentadbir Pejabat Agung. Hal itu berlaku sejurus selepas PAS diusir keluar dari Barisan Nasional (BN).

“Waktu dalam kerajaan, derma-derma ni tak main. Semua program PAS waktu tu ada yang sponsor. Cakap je nak buat apa, duit mudah datang”, ceritanya bersungguh.

Malangnya, amalan mengenepikan tradisi mengutip derma dari ahli dan penyokong itu meninggalkan kesan sangat negatif kepada PAS kemudiannya. Selepas tidak lagi menjadi anggota gabungan pemerintah, PAS berdepan suasana paling menyulitkan untuk membiayai pengurusan dan aktiviti parti.

Ahli dan pendokong PAS yang sejak beberapa tahun itu dibiasakan dengan sumber kewangan yang mudah, ketika itu sudah hilang tabiat menderma untuk parti. Amat sukar menghidupkan kembali amalan mulia itu.

Bagi Ustaz Hassan itulah tempoh paling menyulitkan, terutama untuk menguruskan pentadbiran parti. Sebab itu beliau amat tidak bersetuju sekiranya amalan mengutip derma di kalangan pendokong PAS dihentikan, sekali pun parti itu berjaya memerintah mana-mana kerajaan.

Banyak lagi pengajaran dan amanat berguna yang sering dituturkan beliau sepanjang pergaulan kami. Tidak upaya saya coretkan kesemuanya di sini. Biarlah ia terabadi sebagai memori indah bersama seorang insan terpilih ini.

Sekalung al-Fatihah buat Almarhum Ustaz Hassan Shukri.

(Artikel ini dijadikan satu bab daripada buku kolaborasi "Tribut Buat Sang Murabbi: Ustaz Hassan Shukri" diketuai Riduan Mohamad Nor, terbitan Jundi Resources, Kuala Lumpur, Julai 2010, di bawah tajuk "Tribut untuk Almarhum Ustaz Hassan Shukri". Versi lebih pendek disiarkan lebih awal oleh tabloid mingguan Siasah Bil: 0205, 20 Jun 2010 dengan tajuk seperti di atas).

No comments:

Post a Comment