Monday, July 26, 2010

Kenapa Umno susah sangat terima Islam?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Perbezaan paling pokok antara Umno dan PAS ialah pegangan dan pemahaman masing-masing terhadap Islam. Perisytiharan pertama selaku muqoddimah Perlembagaan PAS secara jelas menerangkan bahawa penubuhan parti Islam itu ialah demi menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada semua manusia, yang dijadikan bagi menegakkan al-Amru bil Maaruf wan Nahyu anil Mungkar dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Nama PAS ialah Parti Islam Se Malaysia. Dasar PAS ialah Islam. Seruan PAS ialah Allahu Akbar. Tujuan PAS ialah memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Sementara PAS secara terbuka mengisytiharkan Islam sebagai asas utama perjuangannya, letak duduk agama Allah itu di dalam Perlembagaan Umno pula agak “terselindung”. Umno sebaliknya lebih mengutamakan perjuangan berasaskan bangsa Melayu.

Kerap kali para pemimpin Umno meloyar dengan hujah, oleh kerana dalam konteks Malaysia ini Islam dikaitkan dengan Melayu dan setiap orang Melayu itu beragama Islam, maka perjuangan memartabatkan Melayu dengan sendirinya turut memartabatkan Islam.

Congak simplistik itu bagaimana pun tidak diterima PAS. Pertama, agama bukan identiti yang kekal pada seseorang sepertimana bangsanya. Soal pegangan agama adalah perkara yang turun-naik dan berubah-ubah. Ia seperti apa yang pernah diingatkan Rasulullah s.a.w. bahawa seseorang Muslim itu mungkin paginya masih Islam, tetapi pada petangnya menjadi kafir. Begitulah sebaliknya.

Ada pun bangsa dan keturunan adalah suatu perkara yang kekal pada seseorang. Sekali kita dilahirkan daripada perut ibu berbangsa Melayu, atau dari benih bapa Melayu, kita tidak boleh lagi mendakwa atau membuktikan kita tidak berdarah Melayu, biar pun kita menolak bertutur dalam bahasa Melayu atau hidup dengan adat dan budaya bukan Melayu.

Kedua, perangkaan oleh beberapa jabatan kerajaan Barisan Nasional (BN) diterajui Umno sendiri membuktikan tidak semua orang Melayu di negara kita beragama Islam. Ada Melayu Kristian, Melayu Hindu dan Melayu animisme, bahkan Melayu atheis.

Tidak salah diakui juga di kalangan Melayu yang masih merekodkan Islam sebagai agama pada identiti diri pun, ada yang memilih cara dan jalan hidup amat jauh menyimpang daripada ajaran Islam. Islam mengharamkan arak, misalnya, tetapi ada orang Melayu tanpa silu mentedarah air kencing syaitan itu. Bahkan, ada yang tidak malu gambarnya memegang gelas dan botol arak dirakamkan.

Islam mengharamkan judi, contohnya, tetapi bulan lalu kita dapat menyaksikan bagaimana pemimpin politik Melayu (baca: Umno!) jauh lebih ghairah mempertahankan pemberian lesen judi bola sepak berbanding para pemimpin bukan Melayu. Kata pemimpin Melayu, lesen itu bukti mereka meraikan budaya bukan Melayu yang suka berjudi.

Malunya, sebilangan bukan Melayu sendiri tampil membantah lesen judi. Akhirnya terbukti kesungguhan pemimpin Umno mempertahankan lesen judi itu rupanya kerana sangat ramai suku-sakat mereka sendiri yang bukan sahaja ketagihan judi, malah menjadi penguasa perniagaan judi.

Contoh lagi, semua pemimpin muslimat PAS dan isteri-isteri pemimpin tertinggi PAS berpakaian menutup aurat. Ia bukan dilakon-buat, atau kerana mereka orang Melayu, tetapi kerana faham tuntutan hukum Islam.

Bagaimana pula menghayatan hukum berpakaian Islam itu dalam Umno? Pernah ada menteri wanita bertudung, tetapi hayat politiknya tidak lama. Ada pun ketrampilan fesyen rambut para isteri pemimpin tertinggi Umno, masya Allah, kita sendiri sedia maklum, bukan?

Sebab itu walau pun Presiden Umno baru-baru ini mendakwa Umno juga memperjuangkan Islam, bahkan mantan presidennya yang dulu pernah mendakwa “kununnya” Umno sebagai parti Islam ketiga terbesar di dunia, akuilah betapa realiti penghayatan Islam di kalangan anggota parti itu tidak menepati dakwaan-dakwaan tersebut.

Justeru, amat tepat PAS mengambil prinsip berlawanan dengan Umno tadi. Bagi PAS, jika Melayu berkuasa, tidak semestinya Islam berkuasa. Malah, realiti yang ada di hadapan kita membuktikan sekali pun Melayu (Umno) memerintah, Islam belum tentu selamat.

Sebaliknya, PAS berkeyakinan jika Islam naik, bukan sahaja Melayu akan selamat, malah semua bangsa akan mendapat kebaktian masing-masing. Islam tidak mengenepikan kepentingan mana-mana bangsa. Maka, semua kita akan hanya selamat dan berjaya (di sisi Tuhan) jika Islam diletakkan di hadapan.

Perbezaan pemahaman mengenai peranan dan penghayatan Islam dalam mencorakkan pemerintahan inilah menjadi batu penghalang utama sebarang usaha perpaduan antara PAS dan Umno. Keengganan Umno menerima beberapa prinsip dan tuntutan Islam menyukarkan PAS bertoleransi dengan parti sekular itu.

Jangan lupa wujudnya PAS dulu adalah ekoran kegagalan Umno meraikan pandangan kumpulan ulamanya berhubung beberapa hukum agama.

Sebab itu PAS berterusan menuntut Umno menerima Islam sebagai dasar perjuangan dan pemerintahannya jika benar mahu bersatu dengan PAS. Akuilah, dasar digunapakai Umno kini, sama ada untuk partinya atau kerajaannya, tidak menepati Islam dan tidak dapat diterima PAS.

Justeru, demi perpaduan hakiki, kenapa susah sangat untuk Umno menerima Islam?

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1559, 26 Julai 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment