Thursday, July 1, 2010

Norli mengharap rahmat Tuhan di sebalik kecacatan anaknya

oleh: Nuwa Aitawa

Tarikh 20 Oktober 2005 tidak mungkin dilupakan Puan Norli Ismail sepanjang hayatnya. Hari itulah titik mula satu kehidupan baru penuh mencabar buat suri rumah dari Kampung Air Tawar, Besut ini. Suaminya yang tercinta, Che Yahya Che Kassim pergi buat selama-lamanya pada usia 40 tahun.

Berita mengejutkan itu singgah di telinga Norli bagaikan halilintar membela bumi. Hanya beberapa jam sebelum itu dia masih bermesra dan berhilai tawa dengan suaminya itu sebelum Allahyarham bertolak ke Kota Bharu atas urusan perniagaannya.

Hospital Raja Perempuan Zainab 11, Kota Bharu mengesahkan Che Yahya meninggal akibat serangan jantung. Beliau sebelum itu dikatakan terjatuh secara tiba-tiba sejurus melangkah turun dari lori dipandunya. Beliau bersama seorang rakan sekerja ketika itu dalam perjalanan pulang selepas menghantar bekalan ikan segar dari Kompleks Perikanan Kuala Besut kepada pelanggannya di Tumpat, Kelantan.

Esak tangis dan curahan air mata tidak terbendung lagi. Hatinya luluh, seluruh anggotanya kelumpuhan. Norli, ketika itu baru berusia 33 tahun, agak sukar menerima hakikat menjadi ibu tunggal semuda itu. Berbagai bayangan kesulitan menerjah fikirannya.

Bagaimanakah dia mahu menguruskan rumahtangga sendirian? Apa akan jadi kepada perniagaan keropok yang selama ini diusahakan suaminya? Apakah nanti dia akan ada cukup masa untuk menguruskan ternakan lembu milik suaminya?

Paling menggusarkannya ialah apakah dia mampu mengumpul ketabahan menyantuni karenah lima anaknya yang kesemuanya masih kecil? Ketika itu anak sulung mereka, Che Syamsahidi, baru berusia 14 tahun, manakala anak bongsu, Che Mohd Akif, hanya berumur enam bulan.

Tiga lagi anaknya, Che Mohd Shahrul berusia 10 tahun, Che Noratikah (7) dan Che Mohd Hamsya (4). Lebih menuntut kesabarannya ialah keadaan anak sulungnya yang cacat dan memerlukan perhatian sepanjang masa. Jika selama ini semua kepayahan itu dikongsi bersama suami, kini dia perlu menerima hakikat untuk menyempurnakan semua tuntutan itu bersendirian.

“Kita manusia ni macam tu lah, ujian, dugaan Tuhan memang kena terima”, ujar Norli tatkala diajukan soalan mengenai kehidupannya kini.

Meski pun cuba melontar senyum, perasaan hiba dan sayu tetap berselirat di wajahnya. Bunga-bunga kepenatan juga agak terserlah padanya. Kebetulan pula sewaktu penulis mengunjunginya, Norli baru selesai mengemas dapur rumahnya. Ketika itu jam sudah pun pukul 2.30 petang.

Beliau mengakui masih belum sempat berehat walau seketika sejak awal pagi itu. Menceritakan rutin hariannya, beliau bangun seawal jam 5.00 pagi untuk bersolat Subuh. Malah, ada ketikanya beliau bangun jam 2.30 pagi memulakan kerja memotong keropok.

Sebaik selesai solat, beliau akan menyediakan sarapan untuk anak-anak, terutama pada hari-hari persekolahan.

“Kalau bukan hari sekolah pun, Abang Long kena diberi makan juga. Awal pagi dah kena suap dia dulu, sebelum adik-adik makan. Dia tak boleh lewat makan, nanti mengamuk,” cerita Norli, merujuk kepada Che Syamsahidi, anak sulungnya yang cacat itu.

Selesai bersarapan, Norli bergegas menghantar dua anaknya, Che Noratikah dan Che Mohd Hamsya ke Sekolah Kebangsaan Pengkalan Nyireh, kira-kira tiga kilometer dari rumahnya. Che Mohd Sharul pula pergi sendiri ke Sekolah Menengah Kebangsaan Permaisuri Nur Zahirah, juga tidak jauh dari rumahnya.

Beliau perlu bersegera pulang, menyantuni anak bongsunya, Che Mohd Akif sebelum dihantar ke Pusat Asuhan Tunas Islam An-Nur, di kampung sama. Di masa sama, enam pekerjanya sudah pun memulakan kerja menyiang ikan untuk dibuat keropok di bengkel bersebelahan rumahnya.

Mujurnya, walau pun ketiadaan suami, Norli dibantu seorang kenalan arwah yang mendapatkan bekalan ikan segar dan menghantarnya ke rumah pada hari-hari tertentu. Malah kerja-kerja di bengkel itu turut dibantu selia oleh adik iparnya, Che Aishah, yang agak mahir tentang segala urusan pemprosesan keropok itu.

Namun itu bukan bererti Norli boleh berehat. Lembu di kandang juga perlu diberikan makan-minum. Alhamdulillah, berkat ketabahannya, tiga ekor lembu ditinggalkan suaminya kini membiak sehingga sepuluh ekor.

Di atas rumahnya pula, Che Syamsahidi sedia menunggu untuk disantuni. Anak kurang upaya itu perlu dimandikan, ditukar pakaian dan lampinnya sebelum tengahari. Selepas itu Norli perlu bergegas ke sekolah semula, mengambil anak-anak. Di celah-celah kesibukan itulah beliau menjamah mana yang sempat di bengkel keropoknya.

Memang tepat kata orang, seberat-berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Dalam kunjungan ringkas penulis meninjau keadaan anak cacat itu, sudah dapat dinilai kepayahan ibunya menyantuni ragamnya.

Menurut Norli, anak sulungnya itu dilahirkan dalam keadaan sempurna, sama seperti anak-anak yang lain. Bagaimana pun pada usia tiga bulan, Che Syamsahidi mengalami demam panas.

Sejak itu keadaannya bertambah teruk. Keadaan fizikalnya berubah. Tangan dan kakinya kekejangan dan akhirnya seluruh persendian tidak dapat diluruskan. Dia juga tidak sempat bertatih dan kini pada usia 19 tahun pun masih tidak mampu berdiri dan berjalan.

“Dah puas berubat. Semasa arwah ayah dia ada dulu, pantang orang beritahu ada tempat molek (baik) untuk perubat dia, kita bawa pergi. Sudah rata pergi (merawatnya),” Norli menyambung ceritanya.

Demam itu turut menjejaskan mental Che Syamsahidi. Dia bukan lagi insan berfikiran normal seperti sebelumnya, malah berpotensi mengamuk dan bertindak ganas bila-bila masa, sehinggakan terpaksa diletakkan di dalam bilik khusus untuknya.

“Ada ketika dia mari angin tak baik, nak masuk bilik dia pun tak boleh. Dia akan ketuk semua orang. Kadang tu pampers (lampin) pun dia koyak-koyakkan,” luah Norli.

Menurutnya, tidak kurang RM250 setiap bulan diperuntukkan bagi membeli lampin pakai buang untuk Che Syamsahidi. Dalam keadaan biasa, hanya dua helai lampin diperlukan setiap hari. Jumlah itu bagaimana pun boleh melebihi lima helai di hari-hari dia “beronar”.

Perbelanjaan itu sedikit tertampung mutakhir ini. Bermula Mei 2010, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menghulurkan bantuan bulanan berjumlah RM150 kepada Che Syamsahidi di bawah skim Orang Kurang Upaya (OKU).

“Alhamdulillah, selepas lima tahun (sejak 2005), kita (saya) dah terbiasa dengan semua ni. Mungkin ada rahmat Tuhan Dia beri kita anak cacat ni,” ujar Norli lagi.

Tidak syak lagi, kesabaran dan ketabahan ditunjukkan ibu tunggal ini amat mengagumkan. Bukan semua wanita mampu menyempurnakan tanggungjawab seberat itu.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Julai 2010 dengan tajuk "Norli mengharap rahmat di sebalik kecacatan anak" di ruangan Meniti Hidup)

No comments:

Post a Comment