Sunday, July 18, 2010

Betulkah kuasa politik Melayu terhakis jika PR menang?

Oleh: Mohd Nasir Awang

Pentas politik negara sekali lagi diseret untuk membicarakan soal kuasa politik Melayu. Kononnya ia semakin terhakis dan berkemungkinan dirampas bangsa lain sekiranya keadaan yang ada tidak diperbetulkan.

Andaian menakutkan itu ekoran pendedahan tiba-tiba oleh Pergerakan Pemuda Umno akhir bulan lalu berhubung tahap pendaftaran pengundi baru yang sangat rendah di kalangan orang Melayu. Pergerakan itu mendakwa hasil kajiannya sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 sehingga Jun lalu menunjukkan nisbah antara orang Melayu dan bukan Melayu mendaftar sebagai pengundi baru adalah satu Melayu bagi 40 bukan Melayu (1:40).

Bagai diduga, berbagai pihak buat-buat terkejut dengan pendedahan itu. Lalu pemain dan pemerhati politik Melayu berlumba meluahkan rasa kecewa dan bimbang tentang kecenderungan yang mereka sifatkan bakal memberikan kesan negatif terhadap masa depan politik bangsa mereka.

Banyak tanggapan dan terjahan disuarakan. Oleh kerana kegagalan mendaftar sebagai pengundi itu hanya ketara berlaku di kalangan pengundi muda Melayu dan tidak pada bangsa lain, maka ada yang mendakwa ia berpunca sikap selesa orang Melayu dengan kuasa politik yang masih dipegang bangsa mereka. Sebahagian generasi muda ini malah dikatakan tidak ada pun kesedaran tentang tanggungjawab mengundi dan memilih pemimpin.

Tidak kurang juga yang mengaitkan kecenderungan itu dengan sikap muak dan menyampah pengundi terhadap gelagat politik negara yang bagi mereka semakin menjemu dan mengecewakan.

Sementara pelbagai pihak, sama ada dari kalangan parti-parti pembangkang mahu pun pemimpin Barisan Nasional (BN) sendiri mempertikaikan kesahihan data kajian tersebut, niat sebenar Pemuda Umno di sebalik pendedahan itu tidak sukar ditelah. Sepintas lalu saja pun dapat dirasakan ia bagaikan suatu skrip yang sengaja diulangsebut.

Senario tahap pendaftaran pengundi baru yang terlalu tidak memuaskan semacam telah menjadi isu yang wajib diulang tayang setiap kali negara diura-urakan bakal menghadapi pilihan raya umum. Berdasarkan pengalaman lalu, pendedahan itu akan disusuli dakwaan oleh parti-parti komponen BN kononnya sekian-sekian ramai ahli masing-masing masih belum mendaftar sebagai pengundi. Angka disebut setiap parti selalunya melebihi 100 ribu orang.

Dakwaan itu disusuli pula tindakan agresif dan intensif BN meningkatkan jumlah pemilih baru. Dalam usaha memperbetulkan keadaan itulah BN, khususnya Umno, selalunya mengambil kesempatan mengikat kesetiaan bakal pengundi ini terhadap parti itu. Ia mungkin dibuat menerusi bayaran insentif khas atau dengan membangkitkan sentimen pengundi.

Saya kira rakyat mampu melihat dengan jelas bagaimana pendedahan kajian itu dimanipulasi Umno, dengan bantuan media kroninya, untuk meniupkan sentimen kemelayuan. Dakwaan paling banyak dilaungkan ialah kononnya kuasa politik Melayu kemungkinan akan hilang sekiranya jumlah pengundi baru Melayu tidak ditingkatkan.

Dalam hal ini saya bersetuju dengan beberapa pemimpin PAS bahawa andaian itu satu cubaan halus Umno menakutkan rakyat, khususnya orang Melayu. Bila mana sentimen kaum itu menguasai suasana, mudah lah bagi Umno menobatkan dirinya sebagai tuan politik Melayu. Rakyat akan sekali lagi disintuk-limau untuk percaya kononnya hanya dengan mengembalikan sokongan padu kepada Umno dapat menjamin terpeliharanya kuasa politik Melayu di negara ini.

“Walau pun semua pihak mengakui Melayu merupakan teras kepada negara ini, tetapi Umno kini berada dalam ketakutan, (ia takut) kehilangan kuasa , kebimbangan bahawa orang bukan Melayu akan menyokong Pakatan Rakyat (PR) dan teras kepimpinan (negara) beralih kepada pakatan yang lain (dari BN),” ujar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau mendakwa isu pengundi baru tadi sengaja dilontarkan dengan motif untuk menyempurnakan agenda politik Umno-BN. Bahawa rakyat sengaja ditakutkan dengan sentimen perkauman untuk secara halus membayangkan kononnya jika pemerintahan beralih kepada PR, kuasa politik negara tidak lagi dipegang bangsa Melayu.

Soalnya, sejauh manakah benar dan munasabahnya kemungkinan itu? Sedikit analisa ke atas keputusan dua PRU lalu mungkin boleh membantu kita membakul-sampahkan dakwaan Umno itu.

BN, khususnya Umno, sering mendakwa tsunami politik 2008 menukar warna pentas politik negara. Umno kerap menggambarkan kemenangan paling bersejarah buat pembangkang itu sealiran dengan penguasaan ketara pemimpin bukan Melayu. Namun berapa ramai yang tahu hakikat sebenarnya bahawa jumlah Ahli Parlimen (AP) Melayu semakin bertambah pada 2008 berbanding 2004?

Mengikut perkiraan saya, jumlah AP Melayu pada 2004 mengikut pecahan parti ialah 110 dari Umno, PBB (6), PAS (6) dan PKR (1). Jumlah itu menjadikannya 123 orang atau 56.16 peratus daripada kesemua 219 AP.

Pada masa ini pula, jumlah AP Melayu ialah 130 orang (setelah Hulu Selangor dicuri Umno untuk diserahkan kepada MIC) atau 58.56 peratus daripada 222 AP. Umno ada 78 AP, diikuti PAS (23), PKR (16), PBB (9) dan Bebas (4).

Angka itu dengan sendirinya menepis dakwaan Umno bahawa kemenangan PR menghakis suara dan kuasa politik Melayu. Yang jelas terhakis sebenarnya jumlah penguasaan politik Umno.

Ada fakta lebih menarik. Penambahan tujuh AP Melayu pada 2008 berbanding 2004 itu tidak satu pun hasil sumbangan Umno. Selain tiga tambahan itu dari PBB ekoran pertambahan kerusi baru di Sarawak, empat kerusi lagi “dirampas” AP Melayu dari PAS dan PKR.

Keempat-empat kerusi itu pada 2004 lalu disandang AP bukan Melayu dari parti sahabat Umno. PKR merampas Kuantan dan Bandar Tun Razak daripada MCA, serta Telok Kemang dari MIC. Manakala PAS menawan Kota Raja, juga dari MIC.

Saya harap sedikit fakta itu membolehkan kita menolak kepercayaan khurafat kononnya kelangsungan kuasa politik Melayu hanya diperolehi dengan kejayaan Umno.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0209, 18 Julai 2010 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment