Friday, February 26, 2010

Apabila Muhyiddin sahkan dalaman Umno masih bersengketa

oleh: Mat Zain Mat Isa

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tentu mempunyai rasional tersendiri untuk sekali lagi menyeru para pemimpin dan ahli partinya menghapuskan persengketaan dalaman. Dalam keadaan semua anak buahnya cuba menafikan wujudnya sebarang perbalahan dimaksudkan, kenyataan terbaru Timbalan Perdana Menteri itu agak mengejutkan mereka. Ia ibarat mendedahkan pekung di dada dan kurap di tubuh Umno.

Ketika berucap menutup Konvensyen Umno Pahang di Bandar Jengka pada Ahad (21 Februari) lalu, Muhyiddin dilaporkan meminta pemimpin dan ahli Umno di semua peringkat menghapuskan segala bentuk perbalahan dan persengketaan dalaman. Beliau menegaskan masalah itu tidak wajar dianggap remeh memandangkan ia telah dikenalpasti menjadi punca kelemahan Umno dan penyebab utama kegagalan calon-calon parti itu dan Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi pada pilihan raya lalu.

“Kegagalan itu berdasarkan kajian yang dibuat selepas pilihan raya umum lalu bagi mencari punca sebenar kenapa Umno dan BN gagal mempertahankan kemenangan dua pertiga dalam pilihan raya umum lalu. Jika tiada perubahan dilakukan, kita (BN) tidak mampu bertahan (dalam pilihan raya akan datang),” akhbar pada Isnin lalu memetik pengakuan Muhyiddin.

Bagi rakyat umum, khususnya khalayak yang mengikuti perkembangan politik tanahair, kenyataan sebegitu dari mana-mana pemimpin Umno sebelum ini bukanlah suatu yang begitu mengejutkan. Umum mengakui penangan tsunami politik Mac 2008 telah sedikit mengubah taraf Umno daripada sebuah parti yang terlalu egoistik dan lupa diri.

Para pemimpin parti itu yang menyaksikan kemerosotan teruk prestasi Umno dan BN sudah berubah nada cakap mereka. Kebanyakan mereka mula berbicara soal perubahan sikap dan tindakan, terutama ke arah memenangi kembali hati rakyat.

Muhyiddin sendiri adalah antara pemimpin tertinggi Umno paling kerap melontarkan idea perubahan dalaman partinya. Beliau malah sudah acapkali menyeru pendokong Umno menamatkan perbalahan dalaman dan kembali bersatu demi kepentingan parti.

Namun seruannya kali ini agak luar biasa, terutama apabila di dituturkan di tengah-tengah keghairahan para pemimpin Umno lain menafikan masih wujud perbalahan dalaman antara sebilangan mereka.

Akhbar pada Isnin, hari sama laporan ucapan Muhyiddin disiarkan, turut memuatkan penafian Dato’ Noh Omar mengenai wujudnya perpecahan di kalangan pemimpin Umno Selangor. Beliau selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu sebaliknya menganggap dakwaan itu hanya taktik parti pemerintah Selangor untuk memberikan gambaran salah terhadap kedudukan Umno negeri.

Noh dipercayai mengulas kenyataan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Selangor yang mendakwa wujud persengketaan dalaman Umno negeri itu. Dikatakan Umno Selangor terbelah dua masing-masing kepada kumpulan yang menyokong bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan satu kumpulan lagi yang menyokong Noh selaku menteri kabinet.

Beberapa hari sebelumnya penafian serupa telah disuarakan seorang Adun Terengganu yang juga bekas pemimpin kanan Umno negeri itu. Hujahnya juga sama seperti Noh. Beliau menganggap dakwaan yang mengatakan Umno Terengganu masih dilanda krisis dalaman yang parah sebagai hanya taktik para pemimpin PAS untuk memburukkan kredibiliti parti pemerintah itu.

Barangkali itulah resam orang politik. Setiap kali mereka mati hujah berdepan serangan parti lawan, mereka akan mengalih fakta dan menyalahkan pihak lawan.

Namun, kita percaya rakyat semakin matang berpolitik dan bijak memerhatikan kebenaran hujah setiap parti. Apatah lagi dalam kes pergeseran dalaman Umno ini, ia sebegitu mudah dibuktikan berpunca daripada dendam kesumat dan serakah politik sesama mereka sendiri. Justeru menuduh pembangkang sebagai punca perpecahan Umno adalah dakwaan yang amat tidak waras dan sukar diterima.

Apa kena-mengena perebutan kuasa antara bekas Menteri Besar Terengganu dan Menteri Besar sekarang dengan campur tangan PAS? Apakah parti Islam itu turut menjadi batu api menyemarakkan sengketa antara bekas Menteri Besar Perlis dengan penyandang jawatan itu sekarang? Logikkah juga dikatakan parti pembangkang turut mengadu domba sehingga wujudnya dua kem dalam Umno Selangor?

Kita percaya sebagai pemimpin utama negara Muhyiddin menuturkan teguran itu dengan penuh sedar. Beliau tentu sekali maklum dengan kedudukannya sebegitu segala butir cakap dan lontaran ideanya akan mendapat perhatian umum. Bukan sahaja media massa yang memerhatikan kenyataannya patah demi patah, malah seluruh kawan dan lawan politik juga akan mengambil kira apa yang diucapkannya.

Bagi kita pengakuan Muhyiddin itu mengesahkan bahawa partinya masih bergelumang dengan kemelut dalaman amat serius. Sebab itu beliau menekankan agar masalah itu diselesaikan dalam tempoh dua tahun ini.

Pengakuan itu sekali gus bermakna bohonglah setiap pemimpin Umno yang cuba menafikan wujudnya sengketa dalaman parti itu. Ia juga bererti silap besarlah mana-mana pihak yang menyangkakan bahawa perbalahan dalaman Umno mudah diselesaikan.

Harap-harap dalam pilihan raya nanti rakyat tidak tersilap pilih parti yang bersengketa sepanjang masa itu!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1517, 26 Februari 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk "Apabila Muhyiddin sahkan sengketa dalaman Umno")

No comments:

Post a Comment