Friday, February 12, 2010

Optimisme PAS rampas Terengganu gusarkan BN

oleh: Mat Zain Mat Isa

Fakta sejarah siri pilihan raya umum negara menunjukkan bahawa sebahagian besar daripadanya berlaku dalam selang masa hanya empat tahun antara satu sama lain. Itu bermakna penggal kini tidak mustahil bakal berakhir pada 2012 dan pentas politik negara kini sudah berada di pertengahan jalannya.

Sudah tentu di dalam mencongak kemungkinan akan datang, setiap parti mengambilkira kekuatan dan kelemahannya serta membandingkan peluang dimiliki dan halangan yang masing-masing hadapi.

Bagi PAS, selain mengekalkan genggaman ke atas dua negeri yang diperintah kini, Kelantan dan Kedah, negeri lain yang sering berada dalam sasaran utamanya ialah Terengganu.

Negeri itu pernah dua kali berada di bawah kekuasaan PAS, pada 1959 dan 1999. Pengalaman menjadi kerajaan dan jasa bakti sepanjang pemerintahannya mungkin boleh digilap menjadi aset berguna untuk mengulangi kejayaan lalu.

Apatah lagi pembahagian kekuatan penyokong tegar antara Barisan Nasional (BN) dan PAS di negeri itu agak seimbang sejak dulu hingga kini. Sama ada PAS atau BN yang menang, peluang dan harapan untuk parti lawan merampas kembali sebahagian besar kerusinya sentiasa terbuka.

Sebab itu apabila minggu lalu PAS Terengganu menyuarakan hasrat menawan semula negeri itu, optimisme mereka itu tidak wajar dipandang rendah. Fakta-fakta berhubung kekuatan parti beserta isu-isu politik, sosial dan ekonomi, dicampur pula dengan segala macam karenah pemerintahan BN negeri, tidak menggambarkan parti itu berada dalam zon selesa untuk terus memerintah selepas PRU-13 nanti.

Parti itu layak merasa gusar atas keadaan dan perkembangan yang ada. Bukan suatu yang mustahil, berbekalkan lapan kerusi dimiliki PAS kini, ia mampu menjana kekuatan dan mengulangi sejarah 1999 lalu. PAS perlukan hanya sembilan kerusi lagi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) berjumlah 32 kerusi itu.

“Kita akan berusaha kekalkan lapan kerusi Dun sedia ada selain menyasarkan kemenangan di sembilan kerusi tertentu supaya kita kembali mentadbir negeri ini,” demikian kenyataan yang begitu optimistik diucapkan Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Hanafiah Mat, sepertimana dipetik sebuah tabloid harian tempatan, awal bulan ini.

Lapan kerusi dalam genggaman PAS kini termasuklah empat kerusi tradisinya iaitu Wakaf Mempelam, Batu Burok, Ru Rendang dan Manir. Empat lagi ialah Bukit Payung, Ladang, Bukit Tunggal dan Sura.

Meski pun Hanafiah tidak menyatakan sembilan kerusi disasarkan partinya, kawasan dimaksudkan itu tidak sukar dikenal pasti. Dalam pilihan raya lalu, ada lapan kerusi Dun di mana PAS kalah di bawah seribu undi majoriti. Kerusi-kerusi berkenaan mengikut urutan undi terendah ialah Paka (kalah 344 undi), Tepuh (430), Teluk Pasu (462), Cukai (769), Rantau Abang (790), Alur Limbat (799), Jabi (804) dan Pengkalan Berangan (930).

Kejayaan merampas kesemua kerusi tersebut memberi 16 kerusi kepada PAS. Ia memerlukan hanya satu kerusi tambahan untuk majoriti mudah. Kerusi paling berpotensi untuk itu ialah Dun Bandar, di mana calon Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) kalah hanya 1,142 undi. Kerusi Kuala Berang (1,592) juga layak dicaturi.

Banyak faktor dan rumusan dapat disenaraikan sebagai pemangkin dan pembantu PAS mencapai sasarannya itu. Beberapa perkembangan tidak menyenangkan dalam pemerintahan BN mendorong rakyat membuat perbandingan jujur dengan kehidupan lebih positif yang mereka lalui di bawah kerajaan Barisan Alternatif (BA) pimpinan PAS dulu.

Pertama, BN Terengganu, khususnya Umno menghadapi pergolakan dalaman yang amat sukar diubati. Bahkan di beberapa kawasan, pertelingkahan antara para pemimpin utama parti itu bagaikan mustahil ditamatkan. Dendam kesumat antara mereka amat mendalam menyebabkan rakyat menjadi mangsa pulau-memulau dan sisih-menyisih.

Kedua, para pegawai dan kakitangan kerajaan semakin berani menyatakan kesediaan mereka secara terbuka untuk menolak BN. Ada yang tidak lagi teragak-agak menunjukkan muka di majlis anjuran PAS. Bahkan suara mengkritik dasar pemerintahan BN semakin berkumandang lewat kedai kopi, padang permainan mahu pun di pejabat-pejabat kerajaan.

Ketiga, isu-isu besar yang berlaku dalam negara banyak yang tidak menguntungkan BN. Isu rampasan kuasa di Perak, kehilangan enjin jet, kenaikan harga barangan keperluan asas, ketidak tentuan ekonomi dan kepincangan sosial memburukkan imej pemerintahan BN.

Isu penafian royalti minyak untuk Kelantan juga mengimbau kembali nostalgia pemerintahan PAS di Terengganu. Manakala perbicaraan fitnah episod kedua ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim pula seakan mengulangi keadaan latar pra-pilihan raya 1999 lalu yang antara lain menghadiahkan Terengganu kepada BA.

Keempat, BN Terengganu yang sebelum ini terlalu ghairah memasyhurkan projek-projek mewah yang tidak diimpikan rakyat kini berhadapan malu besar. Siri keruntuhan beberapa projek yang baru siap menukar kebanggaan itu menjadi bualan sinis rakyat, sekali gus menguatkan keyakinan mereka bahawa BN memang parti korup dan menyalah guna kuasa.

Apa pun telahan dan andaian setakat ini, optimisme PAS merampas Terengganu ternyata bukan omong kosong. Setidaknya ia kini menggusarkan sebilangan penyandang kerusi BN disasarkan PAS itu.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1513, 12 Februari 2010 di ruangan 'fokus', F22 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment