Friday, December 2, 2005

Ada rakyat Kelantan terpaksa makan siput babi?


Oleh: Anuwa Jamalullail

“APA yang ada di Kelantan, termasuk juga Pasir Mas, sudah memadai. Apa ada di negeri lain, ada juga di Kelantan”. Demikian kata-kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Pasir, Datuk Mohd Hassan Ismail sebagaimana dipetik Siasah keluaran lalu.

Hassan yang mewakili Barisan Nasional (BN) pernah menjadi ADUN kawasan itu selama dua penggal dari 1982 hingga 1990. Beliau juga pernah menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kelantan dan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas.

Pengakuan jujur bekas pemimpin mengenai kawasan yang pernah diwakilinya sendiri itu sekaligus menafikan dakwaan pihak-pihak lain mengenai tahap pembangunan yang ada di Kelantan kini, khususnya di Pengkalan Pasir.

DUN berkenaan kini berhadapan dengan pilihan raya kecil ekoran kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Wan Abd Aziz Wan Jaafar pada 31 Oktober lalu akibat barah hati. Dalam Pilihan Raya Umum 2004 lalu, Wan Abd Aziz mengalahkan calon BN, Hanafi Mamat dengan kelebihan 56 undi.

Penamaan calon telah diadakan pada 27 November lalu dan pengundian bakal diadakan pada 6 Disember ini. Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara PAS, BN dan Bebas. PAS mempertaruhkan seorang aktivis berpengalaman, Hj Hanifa Ahmad untuk mengekalkan kemenangan. BN pula sekali lagi mempertaruhkan Hanafi. Manakala Datuk Paduka Ibrahim Ali menepati ramalan untuk menyertainya di atas tiket Bebas.

BN yang sangat desperate untuk menang siang-siang lagi mengadakan kempen. Seperti biasa, isu utama yang dibawa ialah pembangunan. Bukan sahaja Pengkalan Pasir, bahkan seluruh Kelantan didakwa mundur atau ketinggalan dari arus pembangunan.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Dr Awang Adek Hussin, menyifatkan kemunduran itu sebagai bukti kegagalan kerajaan negeri. Sedangkan, katanya, Kerajaan Pusat sudah menyediakan peruntukan yang sewajarnya, termasuk kemudahan pinjaman bagi pembangunan Kelantan, seperti mana dinikmati rakyat negeri lain.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, di dalam mukadimah kempennya di Pasir Mas awal bulan lalu juga menekankan hujah yang sama. Beliau menggambarkan seolah-olah negeri Kelantan akan terus tertinggal di belakang negeri lain selagi ia diperintah PAS.

Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Annuar Musa pula mendesak agar DUN Kelantan dibubarkan. Kononnya rakyat telah hilang kepercayaan kepada PAS dan mahu BN pula memerintah dan membawa pembangunan kepada Kelantan.

Soalnya, apakah sejak PAS memerintah 15 tahun lalu sahaja negeri Kelantan mula “tidak membangun"? Seorang lagi bekas ADUN Pengkalan Pasir, Hashim Omar, sebagaimana turut dipetik Siasah keluaran lalu berkata, soal pembangunan itu tidak harus diletakkan di atas bahu kerajaan negeri sekarang semata-mata. Ia sepatutnya selesai di zaman Umno menguasai negeri Kelantan dulu lagi.

BN-Umno pernah memerintah negeri itu selama 12 tahun, dari 1978 hingga 1990. Kesempatan itu sepatutnya sudah mencukupi bagi BN untuk membangunkan Kelantan.

Lagi pun, apa lagi bentuk pembangunan yang dicita-citakan oleh rakyat Kelantan? Apakah bidang-bidang yang dirasakan Kelantan amat ketinggalan berbanding negeri-negeri lain yang diperintah BN?

Di bulan lalu, sempat tersiar di dada akhbar isu perbandingan ringkas di antara pembangunan di Bandar Kota Bharu dengan ibu negeri jirannya, Kuala Terengganu yang kini diperintah BN. Perincian terhadap beberapa aspek pembangunan menjurus kepada kesimpulan bahawa kemajuan sosio-ekonomi Kota Bharu jauh di hadapan berbanding Kuala Terengganu.

Kemunculan hotel-hotel kelas tinggi, jumlah kompleks beli-belah dan gedung perniagaan, jumlah kunjungan pelancong, jumlah perjalanan bas ekspres dan kapal terbang ke ibu negara, kestabilan harga barang keperluan, aneka pilihan barangan pakaian dan makanan, serta berbagai lagi perkara yang menjadi “penunjuk” kepada pembangunan rakyatnya menyebabkan para pemimpin BN, khususnya di Terengganu, tidak berselera lagi untuk terus membuat perbandingan dengan Kelantan.

Bahkan, seorang timbalan menteri dari Terengganu memperakui kelebihan Kota Bharu berbanding ibu negerinya sendiri. Beliau malah berkata adalah tidak adil membandingkan kemajuan Kuala Terengganu dengan Kota Bharu, memandangkan bandar yang ditadbir PAS itu mempunyai beberapa kelebihan semulajadi berbanding Terengganu.

Isu kemiskinan juga ada dibangkitkan di Pengkalan Pasir. Kononnya, rakyat Kelantan miskin ekoran kegagalan PAS membawa kemajuan dan pembangunan. Macam lah negeri-negeri lain yang diperintah oleh BN tiada yang miskin! Kes ada rakyat yang terpaksa makan siput babi, sebagaimana dibangkitkan di Parlimen itu, berlaku di negeri mana?

Cerita sekeluarga bergantung hidup dengan mengutip sisa-sisa di tempat pelupusan sampah juga bukan berlaku di Kelantan. Jadi, jika BN berjanji akan dapat membasmi kemiskinan jika ia memerintah Kelantan, rakyat patut katakan padanya: “Selesaikan dahulu isu kemiskinan di negeri-negeri yang kamu sedang perintah, barulah kamu layak bercakap soal membasmi kemiskinan di Kelantan”.

Kita percaya rakyat Kelantan, khususnya para pengundi di DUN Pengkalan Pasir, lebih maklum apa yang patut mereka lakukan pada 6 Disember nanti.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 2-15 Disember 2005 dengan tajuk sama)                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  

No comments:

Post a Comment