Friday, December 30, 2005

Tindakan BN Terengganu ibarat mengata dulang


Oleh: Anuwa Jamalullail

MENJELANG dua tahun pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Terengganu, semakin banyak terserlah kelemahan dan sikap hipokrit parti itu dalam membangunkan negeri. Paling nyata ialah sikapnya yang menghalalkan apa jua tindakan yang diambil termasuk mengulangi sesuatu yang pernah dikecam dan dipertikaikan sewaktu kerajaan PAS sebelum ini melakukannya.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu awal Disember lalu mencungkil beberapa lagi tindakan hipokrit tersebut. Antaranya ialah soal pembiayaan pelajaran anak Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan keutamaan perbelanjaan untuk penganjuran Piala Monsun.

ADUN Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut ketika membahaskan Bajet 2006 menyelar tindakan kerajaan BN menawarkan biasiswa Yayasan Terengganu (YT) kepada dua anak anggota Exconya.

Mengulas perkara itu, Pengarah YT, Wan Osman Wan Long mendakwa pemilihan mereka berdasarkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dua pelajar itu ialah anak Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Manusia negeri, Datuk Dr Abdul Latiff Awang dan anak Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari negeri, Wan Mohd Wan Hassan. Mereka kini mengikuti pengajian A-Level di Kolej Yayasan UEM, Lembah Beringin, Selangor.

Sewaktu pemerintahan PAS dahulu, para pemimpin BN lantang mengecam langkah kerajaan negeri membiayai pelajaran dua anak anggota Exco negeri melalui wang zakat. Pemimpin BN berhujah anggota Exco bukan dari kalangan orang miskin dan tidak layak menerima bantuan kerajaan.

Kini, apa pula rasional pemimpin BN bagi melayakkan dua anak anggota Exconya menerima biasiswa? Sedangkan keutamaan biasisiwa memang berdasarkan tahap kewangan ibu bapa pelajar. Adapun wang zakat, bantuan pendidikan bukan di bawah pertimbangan asnaf kaya-miskin, tetapi lebih berdasarkan merit pendidikan itu.

Bayangkan, dua anak anggota Exco BN tadi adalah antara hanya sembilan yang ditawarkan biasiswa RM30,000 setahun dari 81 pelajar cemerlang yang telah memohon. Apakah baki 72 pemohon itu tidak layak kerana mereka dari keluarga yang lebih kaya daripada para Exco itu? Tiada hanky-panky?

Kerajaan BN juga didakwa cuba “menyembunyikan” jumlah perbelanjaan sebenar menjayakan Piala Monsun 2005 di Pulau Duyong bulan lalu. Kejohanan kapal layar bertaraf dunia itu telah berlangsung dalam suasana hambar dan gagal menarik minat warga setempat.

Menurut sumber yang rapat dengan perbendaharaan negeri, belanja keseluruhan persiapan acara itu melebihi RM200 juta. Anggota Exco kerajaan negeri, Wan Hisham Wan Salleh, bagaimana pun berkata kerajaan negeri memperuntukkan hanya RM1 juta untuk acara itu. Apakah angka RM1 juta itu mengambil kira perbelanjaan prasarana di atas pulau seperti tebus guna tanah, pembinaan beberapa unit chalet mewah, marina bay dan lain-lain sempena kejohanan itu? Ataukah ia kos aturcara sahaja?

Angka RM1 juta mudah mengingatkan rakyat Terengganu kepada projek pembinaan pagar Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) dahulu. Ia telah dilaksanakan kerajaan PAS dan menjadi bahan kecaman para pemimpin BN. Datuk Seri Idris Jusoh sendiri menyifatkan pembinaan pagar itu sebagai “bukti nyata kerajaan PAS tidak mampu merancang dan menimbang keutamaan dalam pembangunan”negeri.

Kini, apakah berbelanja jutaan ringgit bagi peserta warga asing berlumba kapal layar itu pula adalah bukti keutamaan Idris membangunkan negeri? Apakah, bagi Idris, menyempurnakan hajat orang luar itu lebih utama daripada menambah baik prasarana pendidikan untuk rakyat sendiri?

Dalam politik “berat sebelah” di negeri ini, asal saja BN yang buat, semuanya akan dikira okey. Sejak memerintah Terengganu mulai Mac 2004 hingga September lalu, BN mengakui telah memecat dan menggantung tugas 13 orang imam dan bilal. Begitu ramai yang teraniaya, tetapi berapa kali cerita mereka digema-riuhkan melalui tv atau akhbar harian?

Sebagai perbandingan, sepanjang pemerintahan PAS dulu, hanya tidak sampai lima orang imam tua yang “direhatkan”. Itu pun kerana faktor usia dan kesihatan yang menyebabkan mereka itu sering gagal bertugas. Mereka muncul di kaca tv. Akhbar juga turut menemu bual mereka.  Kerajaan PAS digambarkan telah menzalimi mereka.

Sikap hipokrit BN turut terserlah di dalam tindakannya melantik “orang pencen” mengisi beberapa jawatan penting dalam kerajaannya. Antaranya ialah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Speaker DUN Terengganu.  Sedangkan itulah antara bahan serangan mereka terhadap kerajaan PAS dahulu.

Begitu juga dalam hal kekerapan pertukaran pegawai tadbir negeri. Kerajaan PAS dulu didakwa tidak pandai memerintah atau memiliki pentadbiran yang bercelaru kerana dikatakan kerap membuat rombakan pegawai tadbir. Pernahkah sesiapa bertanya dalam masa belum sampai dua tahun BN memerintah Terengganu, sudah berapa kali pertukaran pegawai tadbir dibuat? Mereka yang terlibat tentu lebih tahu!

Jika segala tindakan kerajaan PAS sebelum ini dijadikan bahan pertikaian dan bukti kecelaruan pentadbiran, maka dengan mengulangi tindakan yang “sama” BN Terengganu membuktikan bahawa ia lebih bercelaru daripada PAS. BN tidak ubah ibarat mengata dulang, paku serpih!   

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, 30 Disember 2005 dengan tajuk "RM200 juta hangus biayai Piala Monsun?")

No comments:

Post a Comment