Friday, November 18, 2005

‘Dunia perlukan lebih ramai Ahmadinejad’


Oleh: Mohd Nasir Awang

PRESIDEN Republik Islam Iran, Mahmoud Ahmadinejad sekali lagi menjadi tumpuan dunia. Kali ini bukan kerana dakwaan keterlibatannya dalam aktiviti militan, sebagaimana diuar-uarkan semasa pilihan raya Presiden Ogos lalu. Ia juga bukan kerana ketegasannya mempertahankan program nuklear negaranya. Ia ekoran kenyataan beraninya agar negara haram Israel dihapuskan dari muka bumi ini.

Ketika berucap di satu persidangan bertajuk ‘Dunia Tanpa Zionisme’ di Teheran pada 28 Oktober lalu, Ahmadinejad berkata Israel seharusnya dilenyapkan terus dari peta dunia. “Mana-mana negara yang mengiktiraf Israel akan mencetuskan kemarahan negara-negara Islam. Negara Islam tidak boleh membenarkan musuh tradisi hidup di buminya,” katanya.

Kenyataan itu mencetuskan kritikan sekutu-sekutu rapat Israel, terutamanya Amerika Syarikat (AS). Bagi AS, kenyataan itu membuktikan matlamat program nuklear Teheran bukan untuk keamanan. Britain, Australia, Perancis, Kanada, Sepanyol dan Kesatuan Eropah (EU) pula menyifatkan Presiden Iran itu sebagai ‘keterlaluan’.

Itulah gambaran betapa pincangnya dunia kini. Ini kerana, seluruh dunia menjadi saksi betapa keganasan dan kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin tidak pernah reda. Terbaru, Perdana Menterinya, Ariel Sharon pada petang menjelang Idilfitri, secara terbuka berikrar untuk terus menambah bilangan serta memperbesarkan penempatan Yahudi di atas tanah penduduk Palestin yang dirampas di Tebing Barat dan Bukit Golan.

Al-Quran mengiktiraf Yahudi sebagai satu bangsa yang berjiwa kebinatangan. Pada mereka keganasan dan kezaliman adalah satu-satunya cara untuk mendapat kuasa dan pengaruh. Keganasan pemikiran dan hati mereka melebihi keganasan haiwan liar.

Asas yang membawa mereka menjadi liar dan ganas adalah ajaran yang diselewengkan ketua-ketua agama mereka dengan merubah dan menokok-tambah ajaran agama mengikut apa-apa yang sesuai dengan selera mereka sendiri. Ajaran ini mengajar mereka supaya berpegang kepada tiga falsafah utama:

Pertama: Yahudi adalah satu bangsa pilihan Allah. Roh orang-orang Israel ialah satu juzuk dari Allah, sementara roh-roh yang lainnya adalah roh-roh syaitan atau roh binatang.

Kedua: Dunia ini keseluruhannya millik Israel dan sesiapa yang menghalangi mereka dari menguasai dunia dianggap sama dengan memerangi Tuhan.

Ketiga: Titik mula langkah menguasai dunia ialah Palestin. Dengan itu Palestin adalah tempat yang wajib ditegakkan kerajaan Yahudi, kerana ia adalah bumi terpilih yang tidak berhak kepada sesiapa pun di dunia ini selain orang-orang Yahudi.

Falsafah ketiga inilah yang menghasilkan faham Zionisme yang bermatlamat mewajibkan bumi Palestin menjadi ‘as Jewish as England is English’. Prinsip ini menjadikan mereka ganas dan kejam, kerana pada mereka dunia ini milik mereka. Sesiapa yang cuba menentang dikira menentang Tuhan. Dengan itu mereka ‘halal’ bertindak balas dengan apa cara sekalipun.

Seorang pemikir Islam kontemporari berbangsa Palestin, Almarhum Professor Ismail Raji al-Faruqi dalam tulisannya ‘Not Judaism,But Zionisme’ mengulas panjang tentang kedurjanaan fahaman Zionisme ini. Beliau menyimpulkan kekejaman dan kezaliman Zionis amat melampau dan keterlaluan, sehingga tiada cara lain untuk menghadapinya kecuali dengan peperangan dan penghapusan mereka dari mukabumi ini (baca John L. Esposito, Voices of Resurgence Islam).

Sejak 14 Mei 1948 hingga kini umat Palestin diburu seperti binatang. Rumah-rumah, perkampungan dan khemah pelarian Palestin dimusnahkan dengan ganas sehingga mengorbankan puluhan ribu jiwa yang tidak berdosa, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Sikap double standard pemimpin dunia dalam konflik Israel-Palestin amat ketara. Sudah puluhan ketetapan dan resolusi antarabangsa dicabuli Israel, namun tidak pernah ada tindakan sewajar diambil ke atasnya.

Kerajaan negara ini juga ada rekod tersendiri terhadap Israel. Walau pun pada dasarnya Malaysia tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan negara haram itu, namun ia secara ‘diam-diam’ membuat hubungan dagang dengan Israel. Bahkan, sekumpulan pelajar negara berkenaan pernah ‘menyusup’ ke negara ini, dikatakan di atas jemputan pemimpin utama.

Rakyat juga tidak mudah lupa akan kehadiran pasukan kriketnya di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu. Sekumpulan pemuda yang membantah kehadiran mereka bukan sahaja dikuyupi air berkimia, malah diangkut ke balai polis, dikurung, disoal siasat dan dihadapkan ke mahkamah. Tiga darinya dipenjarakan.

Semua itu adalah episod sedih di zaman bekas Perdana Menteri lalu. Barangkali ia tidak akan berlaku sebegitu di bawah PM yang ada. Bagaimana pun, setakat ini masih belum kedengaran komen sekeras Ahmadinejad daripada PM kita, sedangkan beliau adalah Pengerusi Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC).

Sebetulnya, dunia amat memerlukan lebih ramai Ahmadinejad, terutama untuk menghadapi rejim-rejim ganas yang menjadi penghalang utama keamanan sejagat.
           
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 18 November – 1 Disember 2005 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment