Friday, December 16, 2005

Hanya ‘air pasang kecil’ di Pengkalan Pasir


Oleh: Anuwa Jamalullail

MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, menyifatkan kejayaan Barisan Nasional (BN) menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir, Kelantan hasil gerak kerja “gelombang biru” yang beliau lancarkan di sana. Kebanggaan itu beliau zahirkan ketika ditanya pemberita sejurus selepas keputusan pengiraan semula undi bagi pilihan raya kecil kawasan itu diumumkan di kaca tv, awal petang 7 Disember lalu.

“Kita telah melancarkan “gelombang biru” di dua tempat, Lubuk Aching dan Banggol Chica. Kedua-dua tempat itu menunjukkan peningkatan undi yang besar kepada kita (BN)”, katanya waktu sidang DUN Terengganu berhenti rehat.

Dua lokaliti yang disebut Idris itu, bersama Banggol Ara, membentuk Peti Undi Banggol Chica, salah satu di antara sepuluh peti undi yang terdapat dalam DUN Pengkalan Pasir. Dalam pilihan raya 6 Disember lalu, BN menang tipis dengan majoriti 134 undi.

Secara tersurat, proses pilihan raya kecil itu telah berakhir. Bagaimanapun beberapa perkara yang menyentuh perjalanannya masih diperkata dan dipertikai. Antara isu yang paling dihebahkan ialah dakwaan wujudnya pengundi hantu. Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar, mengesahkan para petugasnya menahan beberapa buah bas yang disyaki membawa pengundi hantu sedari lewat malam 5 Disember hingga awal pagi 6 Disember.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, tidak menafikan kenyataan Kamaruddin itu. Memang katanya, di dalam bas-bas itu ada petugas perayu undi dari kalangan ahli Wanita dan Puteri Umno, dan ada juga pengundi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, bagaimanapun memberikan komen berbeza. Sambil menyifatkan tindakan para petugas PAS itu sebagai menyekat kebebasan bergerak, beliau mendakwa bas-bas itu hanya membawa para pelancong yang datang ke Kelantan sempena cuti persekolahan. Jadi, mana satu komen yang hendak diterima pakai? Apakah Najib yang terlepas cakap atau Abdul Rashid yang “terlebih sudu dari kuah”?

Pihak SPR juga tidak gemar istilah pengundi hantu digunakan kepada mereka yang layak mengundi, meskipun diketahui pengundi itu bukan penduduk tempatan. Mungkin istilah lebih tepat ialah pengundi import.

Tetapi PAS mendakwa pihaknya ada bukti bahawa ada “hantu” yang mengundi. Naib Presidennya, Husam Musa, berkata pihaknya mengesan berbelas pengundi yang dikenalpasti telah mati, tetapi masih keluar mengundi.

Jika benar begitu, maka sahlah memang wujud pengundi hantu. “Hantu-hantu” itu tidak bangkit sendiri dari “kubur” mereka. Sudah tentu ada pihak yang menaja “kepulangan” mereka itu.

Abddul Rashid sekalli lagi cuba merasional. Katanya, jika benar wujud orang mati masih mengundi, itu bukan tugas SPR atau mana-mana parti mengesahkannya. Pengesahan orang mati hanya boleh dibuat oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), katanya.

Cakap beliau itu macam hujah peguambela. Cuma kita tidak pasti pihak mana sebenarnya yang Abdul Rashid cuba bela, SPR atau “penaja pengundi hantu” itu?

Turut diperkatakan ialah kes seorang pengundi berpeluang mengundi lebih daripada sekali. Pengundi itu ditangkap petugas PAS dalam usahanya untuk mengundi kali ketiga (sudah tentu  bukan untuk PAS!). Apakah peluang itu datang kepadanya kerana nama yang sama muncul di tiga tempat berbeza? Ataukah kerana dia memiliki tiga identiti berbeza?

Apapun helah digunakan, jika benar perkara itu berlaku, ia sudah cukup untuk satu pilihan raya kecil semula diadakan di Pengkalan Pasir. Dalam erti kata lain, pertarungan di Pengkalan Pasir masih belum berakhir. Kemungkinan satu pilihan raya semula adalah besar. Oleh itu, para pemimpin BN buat masa ini masih tidak boleh bercakap besar dengan kemenangannya.

Lagipun, perubahan  “ombak besar” yang dijanjikan oleh seorang Timbalan Perdana Menteri sudah tidak menjadi kenyataan. Yang datang hanya “air pasang kecil”, sekira-kira tidak berbaloi dengan belanja besar BN dan cakap besar para pemimpinnya.

Apakah majoriti 134 undi itu layak diistilahkan sebagai “ombak besar”? Itupun hasil pertolongan undi pos. PAS hanya mendapat 15 undi pos berbanding BN (150 undi). Anehnya, 43 daripada 195 undi pos, atau lebih seperlima adalah rosak. Sedangkan pengundi pos bukan orang kampung biasa. Mereka sama ada polis, tentera atau petugas SPR. Masakan mereka tidak tahu mengundi?

Untuk rekod, dalam pilihan raya umum lalu tiada satu pun undi pos yang rosak dan PAS mendapat 55 undi. Maka persoalan tersebut turut timbul, betulkah undi mereka rosak atau ia “dirosakkan”?

“Ombak besar” tidak datang ke Pengkalan Pasir. “Gelombang biru” yang didakwa MB Terengganu melanda Peti Undi Banggol Chica juga menyalahi fakta sebenar. BN mendapat 830 undi berbanding 1,105 yang diperolehi PAS di peti undi itu. Dalam pilihan raya umum lalu, PAS mendapat 874 undi manakala BN 590 undi.

Peningkatan undi hampir sama di kedua-dua pihak. BN bertambah 240 dan PAS 231 undi. Apakah rasional Idris menganggap ia kejayaan “gelombang biru”?

 (Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 16-29 Disember 2005 dengan tajuk serupa)

No comments:

Post a Comment