Friday, December 30, 2005

Cerita cekap, cemerlang dan bantuan tsunami


Oleh: Mohd Nasir Awang

AGAK sukar dipercayai bagaimana sebuah kerajaan yang berslogankan “Cemerlang, Gemilang, Terbilang” gagal menyelesaikan janji bantuan kepada rakyat dalam masa mencecah setahun.  Tetapi itulah persis apa yang dialami mangsa tsunami yang melanda pantai utara Semenanjung pada 26 Disember 2004 lalu. Suara sumbang mengenai masalah penyaluran dan kelewatan bantuan kepada mereka masih diperkatakan hingga kini.

Pendedahan sebuah akhbar harian, 20 Disember lalu betapa lebih 50 nelayan di Kota Kuala Muda, Kedah, masih menunggu bantuan bot dan pukat yang dijanjikan kerajaan setahun lalu adalah satu contoh. Mereka mendakwa sehingga tarikh itu hanya bantuan enjin yang diterima dan ia menjadi “bahan pameran” di rumah mereka.

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dikatakan telah berjanji akan memberikan mereka bot, enjin dan pukat setahun lalu.

Sebelum ini rakan mereka di Yan menceritakan kejadian berbeza. Pada September lalu, seramai 27 penerima bantuan dana khas nelayan mangsa tsunami dari Persatuan Nelayan Kawasan Yan mendakwa bot yang baru mereka terima telah rosak. Mereka mendakwa penungguan berbulan tidak berbaloi kerana sebilangan bot bantuan itu sudah retak, pecah dan rosak hanya selepas beberapa hari digunakan.

Kes-kes itu sekali gus mencemarkan imej “cemerlang” yang cuba diterapkan di dalam pentadbiran negara. Kita tentunya tidak akan mengatakan kelewatan setahun tadi sebagai tanda perkhidmatan “cemerlang” jabatan berkenaan. Masakan pula bot bantuan yang mudah rosak itu dianggap hasil kerja “cemerlang” pengusahanya?

Secara teoretikal, sebuah perkhidmatan akan hanya dikatakan cemerlang sekiranya ia memiliki sifat positif lain seperti bersih, cekap, amanah, telus, dedikasi dan prihatin.

Slogan “Bersih, Cekap, Amanah” pernah menjadi prinsip perkhidmatan awam di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Itulah yang diharap menjadi amalan seluruh rakyat, terutamanya para penjawat awam sebagai jentera penggerak kerajaan.

Setelah lebih dua dekad ia diperkenalkan, sifat-sifat mulia dan positif itu sepatutnya telah berjaya dijelmakan dalam masyarakat. Malangnya ia tidak berlaku. Keadaan itu memaksa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengambil alih teraju negara mengemukakan pula slogan baru iaitu “Cemerlang, Gemilang, Terbilang”. Penekanan Pak Lah itu sekali gus sebagai perakuan bahawa sifat “bersih, cekap, amanah” yang dicita-citakan Dr. Mahathir masih lagi di luar jangkauan.

Bercakap soal kecekapan, di antara jabatan yang sering dipertikaikan ialah pentadbiran tanah negara. Laporan Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri pada penghujung 2002 lalu menyatakan aduan mengenai kerenah birokrasi di pejabat-pejabat tanah di seluruh negara adalah kedua paling tinggi diterima daripada orang ramai terhadap agensi kerajaan selepas aduan terhadap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Manakala purata 40 hingga 50 peratus aduan itu dikenalpasti adalah berasas.

Ribuan fail permohonan hakmilik tanah tidak berupaya diproses. Sebilangan permohonan terpaksa menunggu puluhan tahun untuk mendapatkan geran tanah. Bahkan, ada antara mereka yang telah mati sambil menanti. Manakala karenah undang-undang dan peraturan turut membantutkan usaha membangun dan memaju tanah milik persendirian.

Satu lagi jabatan yang turut dipertikaikan kecekapannya ialah pentadbiran kehakiman negara.  Lambakan kes-kes tertunggak, yang antaranya menyebabkan tertuduh terpaksa merengkuk di dalam penjara dalam tempoh yang agak lama sementara menunggu perbicaraan, adalah amat mendukacitakan.

Kita pernah dengar kes seorang wanita yang menghadapi tuduhan membunuh suaminya terpaksa menunggu empat tahun lagi untuk dibicarakan kerana mahkamah tinggi yang mengendalikan kesnya kehabisan tarikh lebih awal untuk mendengar kesnya.

Satu kenyataan dari pihak Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada Julai lalu mengatakan masih terdapat 1,750 kes jenayah yang tertunggak. Ia termasuklah empat kes jenayah pra-2000 dan 181 kes jenayah pra-2004.

Bagaimana pula dengan cerita penungguan selama 20 tahun untuk mendapatkan kad pengenalan? Itulah yang dihadapi Anjing Massam, seorang surirumah bangsa Iban dari Sarawak.  Beliau baru mendapat MyKadnya Ogos lalu dalam usia 40-an, manakala tiga anaknya yang telah dewasa masih menunggu kad masing-masing.

Dalam satu lagi kes pada Januari lalu, Hasan Ali dari Ipoh, Perak, dilaporkan menunggu hampir 14 tahun untuk mendapatkan kad pengenalan. Masalah yang membelenggu status anak angkat itu gagal diselesaikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Kes mereka itu hanyalah contoh kecil.

Kerajaan mungkin akan terus memberikan jaminan menyediakan perkhidmatan yang cekap dan cemerlang. Tetapi nilaian sebenar ialah mutu perkhidmatan yang masih berlaku. Masakan kita mahu mendakwa kita sudah cekap jika sesuatu yang patut dibereskan dalam masa beberapa bulan memakan setahun untuk diselesaikan?

Memiliki kad pengenalan atau geran tanah adalah cita-cita semua rakyat. Tetapi bagi seorang nelayan ia mungkin tidak sepenting memiliki kelengkapan untuk ke laut. Bot, enjin dan pukat ialah nadi kehidupan seorang nelayan.

Adalah tidak wajar mereka dibiarkan menunggu sedangkan bantuan itu adalah penentu “hidup mati” mereka. Sepatutnya kepada golongan marhaen seperti merekalah kerajaan perlu membuktikan kecekapan dan kecemerlangan perkhidmatannya.

(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, Bil: 011, 30 Disember 2005, di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment