Friday, December 2, 2005

Michelle Leslie dan pemahaman songsang Islam


Oleh: Mohd Nasir Awang

Bolehkan seseorang yang mengaku beragama Islam tetapi di masa yang sama memilih untuk tidak mengamalkan cara hidup Islam? Soalannya mungkin dirasakan sensitif oleh sesetengah kalangan. Tetapi itulah antara perkara yang terpaksa dijelaskan oleh Majlis Persekutuan Islam Australia (MPIA) baru-baru ini.

Hukum itu berbangkit ekoran tindakan seorang peragawati Australia, Michelle Leslie yang mengaku memeluk Islam sewaktu di dalam tahanan di Bali, tetapi dilaporkan kembali mengamalkan tabiat yang bercanggah dengan ajaran Islam sebaik dibebaskan.

Leslie, seorang model pakaian dalam, ditahan di Vertigo Café, sebuah pusat hiburan di Bali pada 20 Ogos lalu, kerana memiliki dua pil ecstasy. Dia menafikan pil itu miliknya dan mendakwa dia disabotaj.

Mahkamah Daerah Denpasar pada 14 November lalu menggugurkan tuduhan utama memiliki dadah terhadapnya. Alternatifnya, Leslie didakwa memiliki ecstasy untuk kegunaan sendiri. Dengan pengguguran itu, dia hanya akan dihukum penjara selama tiga bulan jika sabit kesalahan, berbanding 15 tahun bagi kesalahan utama itu.

Oleh kerana Leslie telah tiga bulan (sejak Ogos) dalam tahanan, dia dibebaskan sehari selepas hukuman itu dijatuhkan ke atasnya.

Kes Leslie menjadi hangat kerana ia melibatkan warga asing yang melakukan kesalahan di negara jiran. Ia menambahkan lagi kontroversi tentang kegiatan pengedaran dadah oleh warga Australia di Indonesia. Sebelum itu sudah ada kes serupa.

Leslie turut menjadi perhatian kerana semasa menghadiri perbicaraan, dia sering memakai tudung putih dan pakaian konservatif. Dia mendakwa telah menganut agama Islam. Dokumen mahkamah turut menyatakan dia beragama Islam. Sebab itu dia bertudung, yang secara lahiriah membezakannya dengan wanita bukan Islam.

Semasa dibebaskan dari Penjara Kerobokan pada 19 November lalu, Leslie kelihatan memakai baju tanpa lengan dan berseluar jeans. Dia turut dilaporkan meminum wain dalam penerbangan ke Singapura.

Ekoran insiden itu, MPIA menggesa Leslie membuat pengakuan umum sama ada dia masih beragama Islam atau sebaliknya. Majlis itu malah meminta Leslie meninggalkan bidang peragaan sekiranya ingin menjadi seorang individu beriman. Presidennya, Amer Ali berkata, keputusan Leslie untuk terus bekerja sebagai model pakaian dalam akan menyinggung perasaan masyarakat Islam lain.

Gesaan itu memang tepat dengan ajaran Islam dan bersesuaian dengan tanggungjawab majlis itu menjaga imej Islam di negaranya. Bagaimanapun, mengambil kira pemahaman cetek Leslie terhadap hukum dan peraturan Islam, jangan dikata soal kerjaya peragaan itu, soal yang lebih besar seumpama menutup aurat dan meminum wain pun terbukti belum difahaminya.

Dalam reaksinya, Leslie menegaskan dia tetap seorang Islam dan mengamalkan cara hidup Islam. Katanya lagi, “anda boleh menjadi seorang Islam tanpa mengira pakaian yang awak pakai”.

Tindakan Leslie untuk kembali mengamalkan tabiat lamanya amat menyedihkan. Bagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang menghairankan. Dia baru memeluk Islam dan belum sempat belajar banyak perkara tentang Islam. Sedangkan mereka yang sudah bertahun menjadi Islam, malah dilahirkan dari zuriat keturunan Islam, pun masih ada yang tidak faham apa itu Islam.

Masakan kita tidak pernah dengar ada orang yang berkata “kalau dilaksanakan hukum Islam, nescaya huru-haralah negara ini”. Sedangkan al-Quran berkali-kali menegaskan agar umatnya menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah swt (baca al-Maidah 5:49 dan lain-lain).

Baru-baru ini pula sewaktu isu kod etika pakaian penuntut Universiti Islam Antarabangsa heboh diperkatakan, beberapa pihak di kalangan umat Islam mengemukakan pandangan yang sangat menyedihkan. Malah, antara mereka ada yang berani mengutuk kod pakaian itu. Kononnya ia bercanggah dengan prinsip “tiada paksaan di dalam agama”. Sedangkan prinsip “tiada paksaan” adalah untuk memilih agama, bukannya di dalam mengamalkan ajaran agama.

Perumpamaan mudah, seorang gadis bebas memilih siapa dia hendak berkahwin. Tiada siapa berhak memaksa dia mengahwini Ramli, Ajis atau Sudin. Tetapi apabila telah sah diijabkabulkan dengan Ajis, misalnya, dia mesti patuh kepada suaminya yang satu. Dia tidak boleh berhujah, “tiada paksaan” untuknya taat hanya kepada Ajis. Atau merasakan dia masih bebas bergaul dan berasmara dengan mana-mana lelaki yang dia suka. Itu jalang namanya!

Kebebasan atau hak seseorang itu hanyalah untuk memillih mana agama yang nak dianuti. Apabila dia telah sah beragama, dia perlu taat kepada agamanya sahaja. Tiada pilihan.

Malangnya, kejahilan umat Islam sendiri telah mendorong mereka melakukan sesuatu yang terlarang di sisi agama tanpa segan-silu. Mereka tidak merasakan apa-apa kesalahan dengan perbuatan mereka itu.

Dalam kes Leslie tadi, MPIA juga menegaskan “sekiranya wanita itu (Leslie) masih beragama Islam, dia perlu melepaskan kerjayanya dalam bidang peragaan”.

Bagi saya, nasib baik kenyataan itu dikeluarkan di Australia. Jika di negara ini, bukan model itu yang akan menjadi bahan cemuhan, sebaliknya pihak yang mendesaknya itulah yang akan menjadi bahan kritikan dan kecaman.

Fenomena itu berlaku hasil kejahilan umat Islam sendiri terhadap ajaran agama mereka. Kejahilan itu akhirnya menyebabkan mereka sanggup menghina ajaran agama mereka sendiri.
             
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 2 Disember 2005 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment