Friday, December 16, 2005

Mengapa akhirnya kempen, slogan kerajaan gagal?


Oleh: Mohd Nasir Awang

NEGARA kita kaya dengan pelbagai kempen. Rakyatnya hampir tepu dengan slogan dan tema yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan mereka. Sebahagian kempen dan slogan itu malah telah wujud sekian lama.

Di antara kempen paling lama ialah Kempen Keselamatan Jalan Raya. Ia masih berterusan hingga kini, tetapi belum mencapai hasil yang dihasratkan. Buktinya, segala kerja keras dan belanja besar kerajaan gagal mengurangkan jumlah kemalangan dan kematian di jalan raya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu mendedahkan kerajaan berbelanja RM224 juta bagi tempoh lima tahun lepas untuk memastikan ciri-ciri keselamatan di jalan raya terutamanya jalan-jalan persekutuan.

“Di sebalik semua langkah itu dan selepas membelanjakan berjuta ringgit, kemalangan masih berlaku dan jumlah kemalangan maut terus meningkat,” katanya.

Salah satu faktor peningkatan kemalangan ialah pertambahan bilangan kenderaan. Suatu ketika dahulu, kerajaan beria-ria mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya. Untuk itu, Kempen Berkongsi Kereta (car pool) dilancarkan. Rakyat digalakkan menggunakan kenderaan awam atau berkongsi kenderaan ke pejabat. Ingat lagi dengan slogan “Be Cool, Car Pool” pada awal 90-an dulu?

Pada masa yang sama, dasar kereta nasional menggalakkan rakyat memiliki kereta sendiri. Kereta sudah dianggap sebagai keperluan asas. Kebanyakan ahli keluarga yang bekerja memiliki kereta sendiri. Manakala pengangkutan awam yang ada amat terbatas, tidak efisien dan tidak menepati keperluan. Keadaan ini melonjakkan jumlah kenderaan di jalan raya. Akhirnya kempen car pool itu mati begitu sahaja.

Satu lagi kempen yang masih berterusan ialah Kempen Budi Bahasa. Pelbagai slogan dikemukakan, antaranya, “Budi Bahasa Budaya Kita” dan “Budi Bahasa Amalan Hidup Kita”. Dalam skop yang lebih khusus, diadakan juga kempen “Mesra” dan “Senyum”.

Beberapa jabatan memilih perkataan “mesra” sebagai slogan mereka. Polis Diraja Malaysia (PDRM) memakai “Mesra, Cepat dan Betul!”, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan “Mesra, Cekap, Telus” dan di hospital-hospital kerajaan ada slogan “Mesra, Cekal, Prihatin”.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman, pula menekankan soal keceriaan di kalangan petugas, terutama membabitkan petugas di meja hadapan. Kementerian Pelancongan juga mengarahkan para petugas kaunter, terutama penyambut tetamu di hotel dan tempat percutian hendaklah murah dengan senyuman. Lagu khusus untuk kempen “Senyum” turut diulangsiarkan di stesen radio dan tv.

Bagaimanakah hasilnya? Di jalan raya masih ada yang berlagak samseng dan tidak bertimbanng rasa. Dalam kenderaan awam, perasaan menghormati orang kurang upaya masih belum terserlah.

“Kemesraan” juga menjadi suatu yang masih diharapkan di kaunter jabatan-jabatan kerajaan, termasuk PDRM, JPJ dan hospital. Manakala timbunan kes gejala sosial membuktikan kesedaran sivik yang sangat rendah di dalam masyarakat.

Keadaan ini memaksa Kementerian Pelajaran menghidupkan semula mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan di sekolah-sekolah mulai awal tahun ini. Sudah lebih 20 tahun subjek itu ditiadakan. Mata pelajaran Tatarakyat suatu ketika dahulu memainkan peranan penting menyemai rasa tanggungjawab sosial dan patriotik di kalangan pelajar.

Dalam perkembangan serupa, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhasrat menghidupkan kembali kempen “Buku Hijau”. Ia pernah dipelopori bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Husin pada tahun 70-an dahulu.

Keghairahan pemimpin selepasnya menjadikan Malaysia sebagai negara industri bagaimanapun melenyapkannya dari ingatan rakyat. Kini, rakyat digalakkan kembali menanam sayuran di sekitar rumah, sekurang-kurangnya untuk kegunaan sendiri.

Kejayaan sesuatu kempen banyak bergantung kepada penerimaan masyarakat terhadapnya. Dalam Kempen Penyusuan Ibu, misalnya, ia gagal kerana masyarakat tidak menyokong, malah golongan ibu sendiri merasa malu melakukan amalan sihat itu. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, tanggapan negatif dan rasa pelik di kalangan masyarakat terhadap amalan itu menjadi punca kempen menggalakkan penyusuan ibu gagal.

Sikap yang sama juga menjadi punca kempen berkongsi kereta atau menaiki kenderaan awam gagal. Bahkan, ada yang merasakan egonya tercabar apabila dilihat menggunakan kenderaan awam atau menumpang kawan, seolah-olah tidak mampu memiliki kenderaan sendiri.

Kerajaan sebagai perancang pembangunan dan dasar negara turut menjadi faktor penyebab. Dasar yang tidak lestari dalam sesuatu sektor kekadang memberi kesan negatif kepada sektor yang lain. Itulah kesan yang menonjol dalam kes pembangunan infrastruktur dan dasar kereta nasional, dasar perindustrian negara dan matapelajaran Tatarakyat yang disebutkan tadi.

Bagaimana pula dengan kempen Anti Merokok “Tak Nak!”, yang dipertikai keberkesanannya oleh Menteri Kesihatan sendiri? Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar pula pernah melahirkan kekecewaan terhadap keberkesanan Kempen Anti Dadah yang diterajui agensi di bawah kementeriannya.

Bagaimana pula agaknya kesudahan kempen “Saya Anti Rasuah” yang dilancarkan PDRM baru-baru ini?
           
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Siasah, edisi 16-29 Disember 2005 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment