Oleh: MAT ZAIN MAT ISA
Gula sepenting minyak. Jika kenaikan harga minyak memberi kesan
menyeluruh kepada hampir semua barangan keperluan harian rakyat, maka begitulah
juga kesan yang bakal dirasai pengguna ekoran kenaikan harga gula.
Di dalam pembentangan belanjawan negara untuk tahun 2014 di Dewan
Rakyat, Jumaat lalu, Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan antara lain
mengumumkan pemotongan subsidi gula sebanyak 34 sen bagi setiap kilogram. Ini
bermakna harga bahan pemanis itu dinaikkan dengan kadar sama, yakni 34 sen
sekilo.
Sebelum ini harga sekilo gula ialah RM2.50. Mengambilkira sistem
“pembulatan harga” yang telah diterimapakai dalam urusan perniagaan di negara
kita, maka harga runcit terbaru gula akan dikira kepada nilai 5 sen terdekat.
Ertinya, kenaikan itu ialah 35 sen, bukannya 34 sen. Walau pun mungkin peruncit
menulis harganya sebagai RM2.84, tetapi semasa mengiranya pekedai akan mengutip
RM2.85 juga.
Sebagaimana penggunaan petrol dan diesel melibatkan hampir semua
barangan keperluan harian, maka begitulah juga gula. Kita telah melihat
bagaimana kesan ke atas kos sara hidup rakyat ekoran kenaikan harga runcit
petrol dan diesel sebanyak 20 sen seliter bermula awal September lalu.
Seperti biasa, di setiap kali berlaku kenaikan harga apa-apa barangan
pun, akan ada pihak yang cuba merasionalkannya sekali gus meremehkan
suara-suara membantahnya. Maka di awal kenaikan harga minyak dulu, kerap kita
dengar dan baca orang menyebut, “Alahhh... 20 sen je, tak payah la nak kecoh
sangat!”.
Inilah masalahnya dengan orang kita, suka sangat mengambil ringan (atau
sebenarnya memutarbelit fakta agar perkara ini dilihat kecil dan ringan).
Sedangkan sebenarnya isu ini bukan soal “20 sen je”, kerana boleh dikatakan
tidak ada pengguna mengisi hanya seliter petrol atau diesel setiap kali ke
stesen minyak. Namun, oleh kerana kebiasaan kita mengisi minyak mengikut harga
belian dan bukannya mengikut sukatan, maka kita semacam gagal mengesan
perbezaannya. Ia akan hanya terserlah bila kita mengisi penuh tangki sekaligus.
Kesan lebih ketara ialah pada kenderaan awam, pengangkutan dan
perniagaan. Kenaikan harga minyak selalunya tidak diserap pengusaha
pengangkutan, sebaliknya dipaksakan ke atas penumpang/pengguna. Maka kenaikan
harga tiket bas dan tambang teksi tidak dapat dielakkan. Begitu juga dengan
harga barang-barang keperluan lain yang sememangnya menggunakan pengangkutan
untuk sampai kepada pengguna.
Isu kenaikan harga minyak terbukti bukan soal “20 sen je” sepertimana
cuba dirasionalkan sesetengah pihak. Begitulah juga halnya dengan kenaikan
harga gula. Ia juga bukan soal “34 sen je”. Hanya pengguna “luar biasa” yang
membeli sekilo setiap kali berbelanja di kedai. Kebanyakan pengguna (sebuah
keluarga) tahap rendah pun, akan menghabiskan tidak kurang dua kilogram gula
seminggu. Itu kita rasa sukatan agak munasabah dengan jumlah purata isi
keluarga seramai empat atau lima orang.
Manakala bagi sebuah keluarga yang jumlah ahlinya lebih ramai, ia
mungkin memerlukan penggunaan gula lebih besar, misalnya empat kilo seminggu.
Maka kos tambahan untuk gula sahaja bagi keluarga itu bukan lagi “34 sen je”,
tetapi sudah empat kali ganda atau RM1.36 seminggu. Jumlah sebulan pula
Itu pada penggunaan sendiri. Bagaimana pula dengan pengusaha makanan dan
minuman? Segala kueh-mueh menggunakan gula. Maka harga runcit berbagai pemanis
mulut akan turut naik. Bahkan, dalam kesibukan memikirkan bagaimana nak
menyesuaikan diri dengan kenaikan harga gula, sudah kedengaran harga susu isian
pekat manis/krimer manis juga telah dinaikkan pekedai. Alasan diberikan
kononnya harga gula sudah naik, maka kilang pembekal susu turut menaikkan harga
susu. Sedangkan hal itu baru sahaja berkuatkuasa.
Manipulasi keadaan sangat luar biasa di Malaysia. Pemantauan dan
penguatkuasaan yang lemah menjadikan peniaga gemar mengambil kesempatan untuk
menaikkan harga sesuka hati. Pengusaha makanan dan minuman juga begitu.
Sesetengahnya memang hanya fikirkan untung. Jauh sekali untuk mengharapkan mereka
menyerap kenaikan harga bahan mentah. Maka amat besar kemungkinan bakal kita
lihat kueh-kueh seumpama donut, keria, seri muka, agar, karipap dan gula hangus
yang sebelum ini berharga 40 sen sebiji/sepotong akan dinaikkan menjadi 50 sen.
(Selalunya bila naik, akan ada yang merasionalnya. Akan ada yang kata,
“alahhh... tak pelru la kecoh, 10 sen je!”.
Ia bukan soal “10 sen je” kenaikan atas sebiji kueh, tetapi soal
wewenangan. Bersetuju dengan kenaikan itu bererti kita membiarkan berleluasanya
wewenangan itu. Sedangkan dengan sekilo gula itu bukan boleh hasilkan hanya
sepuluh biji kueh, katakan 35 biji (jumlah sebenar memang lebih dari itu), maka
kenaikan 35 sen hanya melibatkan tambahan kos 1 sen setiap biji donut. Tapi
hasil manipulasi keadaan, harga sebiji donut sudah naik 10 sen atau 10 kali
ganda lebih besar dari kenaikan kosnya.)
Pengusaha kedai makan/restoran juga ada alasan sangat kukuh untuk
menaikkan segala sajian terutama makanan/minuman menggunakan gula. Lebih-lebih
lagi di sebelah Kelantan dan Terengganu, di mana masak gulai, kari, tumis bilis
dan sayur lemak pun dibubuh gula. Maka harga nasi berlauk/sarapan pagi akan
naik. Segala minuman ‘o’ yang menggunakan gula juga bakal dinaikkan harga. Maka
rakyat seakan dipaksa bersedia untuk menghadapi kenaikan harga lebih besar
untuk satu “sajian lengkap” set sarapan mereka.
Penjelasan pihak kerajaan setakat ini masih gagal meyakinkan
rakyat. Alasan dan hujah diberikan mengiringi kenaikan harga runcit gula sangat
memalukan. Ia menjadi bahan persendaan awam. Amat tidak munasabah apabila
dikatakan kenaikan itu kerana mahu mengurangkan jumlah pengidap diabetes.
Jangankan khalayak cerdik pandai dan mereka yang terdedah dengan dunia
teknologi maklumat, masyarakat kelas bawahan di kampung-kampung juga mentertawakan
alasan tersebut.
Maka dalam diam-diam ada pihak tertentu memainkan peranan
menyebarkan ‘saraf’ memulihkan imej kerajaan. Tanpa diduga rupa-rupanya ada
sebilangan pakcik-makcik di kampung yang percaya kononnya harga gula yang naik
sekarang ini bukan kerana tindakan kerajaan, tetapi dinaikkan oleh para
peniaga. Alasan diberikan kononnya beberapa kilang memproses gula terpaksa
memberhentikan operasi kerana mengalami kerosakan.
Kita tidak tahu siapa yang mereka-reka cerita ini. Kita
juga malas mengusul dengan pakcik-makcik itu, memandangkan mereka ini
kelihatannya sangat taksub dengan apa juga yang dikemukakan kerajaan. Namun
yang pastinya, lagi besar khalayak yang bermentaliti sebegini dalam masyarakat
kita, maka lagi mudah untuk Umno/Barisan Nasional mengekalkan kuasanya!
(Artikel ini adalah versi sebelum potong kepada artikel disiarkan akhbar Harakah, Bil: 1890, 27-29 Zulkaedah 1434/1-3 November 2013 di ruangan F22 KOLUMNIS dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment