Friday, November 15, 2013

PAS kekal relevan sebab agenda Islam


Oleh: Mat Zain Mat Isa

BAGAIKAN suatu deja vu apabila PAS sekali lagi bakal bermuktamar di Shah Alam, Selangor, minggu depan. Pada Muktamar Tahunan ke-55, 2009 lalu, PAS menawarkan “harta” paling berharga dimilikinya, iaitu Islam sebagai penyelesai masalah sosial dan kemelut politik negara. Tawaran itu terserlah menerusi tema muktamar itu, “Islam Memimpin Perubahan”.

Dalam keadaan sosio-ekonomi serta geo-politik negara dan dunia yang tidak menentu ketika itu, yang mendambakan penyelesaian hakiki, kesempatan mengemukakan gagasan penyelesaian Islam adalah suatu kebijakan yang kena pada tempat dan masanya.

Apatah lagi tawaran itu datang dalam keadaan kewibawaan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai penyelesai kemelut hidup rakyat sedang dipertikaikan. Kejayaan PAS dalam pilihan raya setahun sebelumnya (2008) menyerlahkan lagi penerimaan rakyat pelbagai kaum terhadap parti itu. Maka kesempatan menonjolkan PAS selaku pemimpin perpaduan dan perubahan amat bertepatan.

“PAS terus menerus komited untuk mendefinisi dan mentakrif perubahan yang akan berlaku berdasarkan kerangka rujukan Islam yang bersifat universal. Maka PAS bersedia menawar diri untuk memimpin perubahan dan memikul amanah kepimpinan negara dalam sebuah masyarakat majmuk seperti yang terdapat di Malaysia, selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum yang ke-13 nanti, insya Allah,” tegas Presiden PAS dalam Ucapan Dasarnya itu.

Keberanian PAS menawarkan Islam sebagai penyelesaian itu bagaimana pun sedari awal disambut dengan pelbagai reaksi dan telahan. Ada yang menerimanya dengan yakin dan memberikan sokongan penuh. Ada pula yang tidak berapa yakin dan mempersoalkan itu-ini, malah ada yang sedari awal menuturkan komentar sinis dan pesimis.

Paling ketara ialah kecenderungan di kalangan sebilangan “penganalisis politik bebas”, khasnya mereka yang melazimi media baru untuk memperlekeh keupayaan PAS memenuhi tuntutan perubahan politik negara. Anehnya, sebilangan mereka ini di masa sama sering mengutarakan analisa optimis terhadap kemaraan parti-parti pembangkang sebagai alternatif kepada Barisan Nasional (BN) untuk menerajui negara.

Setelah projek menawan Putrajaya lewat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu tidak kesampaian, sikap dan pendirian mereka terhadap PAS bertambah negatif. Mereka kini lebih selesa mencoretkan komentar-komentar “boros” yang menghentam PAS.

Beberapa pendirian parti itu berkaitan isu-isu berbangkit dalam masyarakat, terutama semasa berlangsungnya PRU-13 dianggap tidak bijak, tidak demokratik dan berbagai lagi nilaian negatif. PAS dikatakan penyebab utama kegagalan Pakatan Rakyat (Pakatan) menawan Putrajaya. Parti itu dituduh gagal menarik sokongan umum, mengutamakan perkara remeh, bahkan masih gagal memperluaskan skop perjuangannya kepada isu-isu sejagat dan kebaikan semua kaum.

Diakui atau tidak, asakan dan lukuan berterusan daripada penggiat media baru ini sedikit sebanyak membuahkan hasil. Tidak sedikit di kalangan pendukung dan ahli PAS yang ‘termakan’ dengan analisa dan komentar “bebas” itu. Bahkan, tidak kurang juga khalayak kepimpinan parti, sama ada di peringkat negeri mahu pun Pusat yang turut “membeli” hujah dan huraian “penganalisis bebas” yang kadang-kadang terbabas itu.

Ya, tidak ada masalah rasanya bagi segenap peringkat kepimpinan dan ahli PAS untuk menerima kritikan dan teguran. Asal saja apa yang ditegur itu benar-benar satu kelemahan dan kesilapan di pihak PAS. Apatah lagi sekiranya kekurangan itu berkait dengan taktik dan strategi politik.

Namun lain halnya apabila isu yang dipertikaikan sebagai kegagalan PAS itu berkait rapat dengan agenda Islam. Kononnya disebabkan “terlalu berpegang” kepada Islam, beberapa langkah dan pendekatan politik PAS menjadi kurang berkesan. Maka hal ini dengan mudah dipersalahkan sebagai faktor utama mendorong kegagalan parti itu mencapai kejayaan lebih besar dalam PRU-13 lalu.

Secara realistik penulis melihat ada tiga pihak utama yang agak pesimis mengenai pendekatan diambil pucuk pimpinan PAS selama ini, iaitu menawarkan Islam kepada masyarakat negara ini. Maaf cakap, yang pertama dan utama ialah sebilangan pemimpin dan ahli parti itu sendiri.

Sentiasa ada suara dalaman PAS sendiri mempertikaikan beberapa pendekatan dan isu teras yang selama ini diperjuangkan. Di kalangan pemimpin tertinggi PAS sendiri kelihatannya wujud perbezaan pendirian dalam meletakkan keutamaan antara memenangi hati rakyat untuk kejayaan pilihan raya dengan menjadi pembela mempertahankan isu-isu Islam.

Sebab itu pernah berlaku apabila sekumpulan ahli PAS tampil mempertahankan peraturan demi merawat moral umat Islam, mereka berdepan kecaman dan luahan tidak senang pelbagai pihak, termasuk pemimpin parti-parti rakan dan PAS sendiri.

Beberapa penganalisis politik pro-pembangkang pula begitu mudah menghukum PAS sebagai perosak kerukunan dalam Pakatan. Ketegasan PAS dalam isu-isu tertentu berkait hukum Islam dianggap tidak tepat dengan kepentingan politik. Ia menjejaskan sokongan umum, khususnya khalayak yang tidak selesa dengan agenda Islam dibawa PAS, walau pun bersahabat dengan PAS.

Maka demi menjadikan parti itu diterima semua pihak, PAS seakan didesak meneliti semula banyak dasar dan prinsipnya. Paling jelas, parti itu selepas ini seakan terpaksa lebih banyak membisu tatkala berdepan pelbagai isu yang agak sensitif, terutama kepada masyarakat bukan Islam.

Senario ini bagi kita adalah suatu yang membimbangkan. Sebab itu suara kebimbangan itu sering kedengaran masa ke semasa. PAS pernah diingatkan jangan terlalu ghairah untuk agenda politik negara sehingga mula longgar di atas beberapa teras perjuangannya. Dalam keadaan tertentu, PAS seakan mengelak berada di barisan hadapan mempertahankan isu-isu agama, kononnya atas penilaian politik.

Pihak kedua yang mungkin menggugat keazaman PAS menyempurnakan gagasan tadi ialah penyokongnya dari kaum bukan Islam. Beberapa kenyataan pemimpin Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) sebelum ini menggambarkan mereka masih berdepan pemahaman yang belum benar-benar betul berhubung apa yang sepatutnya PAS tawarkan kepada bukan Islam.

Maaf cakap, dalam beberapa keadaan DHPP lebih menyerlah sebagai pendesak agar PAS berubah menjadi parti yang sealiran dengan aspirasi mereka. Mereka kelihatannya belum berupaya meraikan PAS sebagai sebuah parti yang ada dasar dan fahaman perjuangan sendiri.

Slogan “PAS Untuk Semua” seakan disalahtafsir secara literal bagi memenuhi maksud bahawa PAS sepatutnya tampil dengan imej yang dapat diterima semua pihak. Itu termasuk tidak menampilkan imej dan suara Islam dalam keadaan tertentu, jika penyokong bukan Islamnya tidak selesa.

Pihak ketiga ialah parti-parti rakan Pakatan. Mereka seolah-olah belum faham bahawa kewujudan PAS adalah atas asas menegakkan Islam dan PAS tidak boleh hidup tanpa dasar itu. Bahkan, disebabkan agenda Islam itulah perjuangan PAS kekal relevan hingga kini.

Malangnya, kerap kali PAS diletakkan dalam keadaan terlalu “terkongkong” oleh keperluan menjaga hati rakan-rakan dalam Pakatan, terutama bukan Islam. Seolah-olahnya setiap apa yang diputus atau dilaksanakan PAS mesti merujuk kepada mereka, atau diterima dengan baik dan menepati kerangka Pakatan.

Bagi kita PAS tidak boleh lagi ‘malu-alah’ mempertahankan perjuangannya. PAS perlu ikhlas dan tegas menyatakan bahawa Islam adalah dasar PAS yang terangkum di dalamnya soal penegakan Negara Islam dan pelaksanaan hukum Islam.

Oleh sebab itu muktamar PAS minggu depan diharapkan menjadi medan bagi ahli-ahli PAS, menerusi para perwakilan mereka, untuk menentukan memilih pemimpin bersesuaian yang boleh menjamin agenda Islam dalam diteruskan!

(Artikel ini adalah versi asal sebelum potong kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil:1894, 11-13 Muharram 1435/15-17 November 2013 di ruangan "F10 KOLUMNIS" dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment