Friday, November 15, 2013

Beri peluang hukum syariah bendung jenayah



Oleh: MOHD NASIR AWANG

SEORANG pegawai wanita di AmBank Cawangan USJ Sentral 2, Subang Jaya ditembak di kepala oleh pengawal keselamatan yang mengiringinya membuka bilik kebal di bank berkenaan. Pengawal durjana itu seterusnya melarikan wang lebih RM450 ribu.

Kejadian tragis pada 23 Oktober lalu itu amat menggemparkan. Ia bukan sahaja mengundang kemarahan masyarakat atas pembunuhan kejam dan tak berperikemanusiaan itu, malah mencetus perbahasan mengenai tahap keselamatan rakyat – harta mahu pun nyawa. Berbagai bentuk jenayah kian meningkat. Saban hari ada-ada saja laporan di media massa mengenai kes bunuh, rompak, curi, rogol dan lain-lain di seluruh negara.

Contohnya, selang hanya beberapa hari selepas kejadian di atas, seorang konstabel polis dilaporkan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas lalu merempuh tiang lampu ketika mengejar seorang lelaki bermotosikal dalam keadaan mencurigakan di Kampung Baru Pandan, Johor Bahru.

Beberapa minggu sebelumnya, tiga lelaki bersenjatakan parang dan kapak menyamun wang kira-kira RM35,000 milik syarikat seorang penceramah bebas yang dipercayai mahu digunakan untuk ibadat korban di Palestin sempena Iduladha lalu. Dalam kejadian di parkir sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya itu, seorang pekerja syarikat tersebut yang membawa beg berisi wang dilarikan penyamun itu sejauh 25 km, sebelum ditinggalkan di Damansara Damai, Petaling Jaya.

Media di minggu-minggu sama turut melaporkan sekurang-kurangnya dua kes berasingan membabitkan cubaan memecah mesin juruwang automatik (ATM), satu di Terengganu dan satu lagi di Sentul, Kuala Lumpur.

Peningkatan kes-kes jenayah sebenarnya memberikan isyarat jelas betapa undang-undang yang ada hari ini tidak lagi mampu membendungnya. Ia sudah tidak digeruni oleh penjenayah. Di sebalik amaran hukuman keras menanti, para pelaku jenayah seolah-olah semakin berani mencabar undang-undang tersebut.

Kecenderungan itu seakan disahkan kes di AmBank tadi, bilamana pihak yang sepatutnya menjaga keselamatan sendiri menjadi pelaku jenayah. Kes itu sepatutnya membuka mata kita betapa kes-kes yang diibaratkan “harapkan pagar, pagar makan padi” sebegitu nampaknya bukan lagi sesuatu yang boleh dianggap terpencil di negara kita.

Sebelum ini pun sudah banyak didengar dan dibaca laporan mengenai kes-kes membabitkan pihak yang sepatutnya menjaga keselamatan dituduh melakukan durjana. Contohnya, dakwaan penglibatan dua konstabel polis dalam kes merompak dan merogol seorang wanita warga China di Petaling Jaya, 20 September lalu. Kedua-dua anggota “pasukan keselamatan” itu dihadapkan ke dua mahkamah berasingan pada 28 Oktober.

Kes sebegitu bukan sahaja membantu meningkatkan perangkaan jenayah negara, tetapi turut tersirat isyarat bahawa kedaulatan undang-undang sudah berada di tahap menyedihkan. Dalam ertikata lain, undang-undang jenayah ciptaan Barat yang diterimapakai di negara kita kini sudah tidak lagi dihormati, bukan sahaja oleh para penjenayah, bahkan sebilangan “penegak undang-undang” itu sendiri.

Di sinilah saya kira ada benarnya kata seorang pemimpin politik bertaraf ulama di negara kita, bahawa masalah peningkatan jenayah dalam negara kini tidak dapat diatasi dengan penggunaan senjata dan pasukan keselamatan sahaja. Di sana ada aspek lain yang perlu diambilkira, termasuk pembangunan modal insan dan pendidikan masyarakat mengenai kebaikan ajaran dan hukum Islam.

Bahkan itulah sebenarnya perbezaan utama antara undang-undang ciptaan manusia dengan undang-undang ciptaan Tuhan. Bahawa undang-undang yang didatangkan oleh Allah SWT itu sendiri bersifat mendidik, bukan semata-mata menghukum pelaku jenayah secara fizikal. Bacalah al-Maaidah (5:38) yang menerangkan bahawa hukum potong tangan pencuri itu suatu bentuk pengajaran atau pencegahan daripada Allah SWT.

Dalam ertikata lain, tujuan hukum dan undang-undang Islam adalah untuk menghukum orang-orang jahat disebabkan kejahatan yang mereka lakukan. Ia juga sekaligus bermaksud mencegah orang-orang yang berniat melakukan kejahatan itu agar tidak meneruskan niat jahatnya.

Maka ada baiknya, di saat negara dilanda peningkatan kadar jenayah yang semakin membimbangkan kini, dan di masa sama kedaulatan undang-undang ciptaan manusia semakin dipermainkan, kita berusaha memahamkan masyarakat mengenai kebaikan undang-undang jenayah Syariah yang bersifat ‘mendidik’ tadi.

Sebagai umat Islam, kita meyakini hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Dialah juga yang menciptakan langit dan bumi. Dia yang menciptakan kita semua dan segala perkara yang berkaitan dengan kehidupan kita. Maka sudah tentu Dialah juga yang Maha Mengetahui bagaimana untuk manusia mengatur hidup dengan sebaik-baiknya.

Untuk itu, Allah SWT menurunkan hukum-hakam kepada manusia. Hukum Allah SWT adalah pembeza antara maaruf dan mungkar, halal dan haram, taat dan maksiat. Hukum Allah adalah pembersih masyarakat daripada segala kekotoran maksiat dan mungkar.

Dari sudut lain, sebagai umat Islam juga, kita sepatutnya menginsafi bahawa segala yang berlaku kini adalah ekoran kita mengenepikan apa yang disuruh Allah. Kita tolak hukum Tuhan, kita ambil hukum manusia. Kita sendiri memilih “jalan kesesatan”. Sedangkan selaku hamba-Nya kita tidak sayugia berbuat demikian.

Bukankah Allah SWT telah memberi amaran: “Dan tidak harus bagi seorang lelaki yang beriman dan seorang perempuan yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan satu-satu perkara dalam urusan mereka, lalu mereka membuat pilihan yang lain (dari apa yang diputuskan oleh Allah dan Rasul itu). Barang siapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia sesat dengan kesesatan yang nyata.” (Al-Ahzab 33:36)

Dalam hal ini, kita selayaknya mengucapkan tahniah kepada negara Brunei Darussalam yang mengisytiharkan pelaksanaan hukum jenayah syariah, baru-baru ini. Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, di dalam ucapannya pada 22 Oktober lalu bertitah, Kanun Keseksaan Syariah yang dirangka sejak beberapa tahun lalu itu ‘akan dikuatkuasakan dalam tempoh enam bulan’ secara berperingkat.

Kesungguhan negara itu merealisasikan pelaksanaan hukum Islam tercetus sejak lama. Kenyataan bekas muftinya dua tahun lalu bahawa undang-undang sekular telah terbukti gagal membendung jenayah menjadi antara titik tolak penting usaha ke arah itu. Bahkan, Sultan Hassanal Bolkiah sendiri pernah dilaporkan mempersoalkan “siapakah kita untuk berkata ‘tunggu dulu’ untuk melaksanakan hukum syariah?”

Rasanya sudah sampai masanya negara kita juga “memberi peluang” kepada undang-undang Islam membuktikan keupayaannya, bukan sahaja membendung jenayah, bahkan mensejahterakan kehidupan kita semua, insya Allah!

(Artikel ini disiarkan di ruangan 'Coretan Ketua Pengarang' majalah Era Muslimah, Bil: 20, November 2013)

No comments:

Post a Comment