Friday, November 15, 2013

Imam Al-Bukhari – Perawi hadith terpercaya


Oleh: MOHD NASIR AWANG

Muqoddimah
Sebut saja nama Imam Al-Bukhari, rasanya jarang individu Islam, terutama yang pernah membaca atau mendengar pembacaan hadith Nabi saw, yang tidak mengetahui siapa sosok terbilang ini. Beliau merupakan perawi hadith paling dipercayai dan hadith-hadith diriwayatkannya dianggap yang paling sahih. Pengiktirafan oleh para ulama Islam itu berkait rapat dengan disiplin dan piawaian digunakan Imam Bukhari di dalam mengumpul dan menyisih hadith-hadith diperolehinya.

Latar diri
Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardizbah. Manakala nama panggilan Imam Bukhari ialah Abu Abdillah. Beliau dilahirkan di daerah Bukhara, salah satu kota di wilayah Khurasan, Asia Tengah pada hari Jumaat, 13 Syawal 194H. Nama gelaran Al-Bukhari adalah dinisbahkan kepada daerah kelahirannya ini.

Ayahnya, Ismail bin Ibrahim, dipanggil juga Abul Hasan. Beliau adalah salah seorang ulama besar dalam ilmu hadith. Ibnu Hibban ada mencantumkan biografi Ismail bin Ibrahim ini di dalam karyanya Ats-Tsiqat dengan catatan, “Ismail bin Ibrahim adalah ayah dari Imam Al-Bukhari yang meriwayatkan hadith dari Hammad bin Zaid dan dari Imam Malik bin Anas. Dari Ismail bin Ibrahim inilah penduduk Iraq mengambil hadith.”

Ketika bapanya meninggal, Muhammad bin Ismail masih kecil. Justeru, beliau membesar sepenuhnya di bawah asuhdidik ibunya, seorang perempuan yang kuat beribadat dan dikurniakan karamah di sisi Allah.

Al-Hafiz memetik kisah dari Ghunjar dalam Syarh As-Sunnah, Bab Karamatu Al-Aulya’ bahawa pada waktu kecil, kedua mata Muhammad bin Ismail telah buta. Kemudian dalam tidur ibu Muhammad melihat Nabi Ibrahim as berkata kepadanya, “wahai perempuan, sungguh Allah telah mengembalikan kedua mata puteramu kerana kamu sering berdoa kepada-Nya.” Di pagi harinya, sang ibu mendapati memang Allah telah mengembalikan penglihatan anaknya, Muhammad bin Ismail.

Rihlah ilmu & guru-gurunya
Dicatatkan bahawa rihlah (pengembaraan) ilmu Imam Bukhari membawanya ke hampir semua negeri yang menjadi pusat ilmu di zamannya. Hakikat itu menjadikan jumlah para gurunya sangat ramai.

Muhammad bin Abi Hatim meriwayatkan dari Imam Bukhari, katanya, “aku telah menulis hadith dari 1080 orang guru. Mereka semua adalah ulama ahli hadith yang telah menghafazkan hadith.”

Sebelum berusia 10 tahun Imam Bukhari sudah menghafaz hadith dan belajar kepada beberapa guru dalam ilmu fikh dan hadith. Hal ini antara yang pernah diceritakan oleh Al-Khatib al-Baghdadi yang menerimanya dari Abu Jaafar Muhammad bin Abi Hatim yang bertanyakan sendiri hal itu daripada Imam Bukhari.

Di antara syaikh-syaikh dan ulama terkenal di Bukhara yang menjadi tempat beliau mengambil hadith ialah Sheikh Muhammad bin Salam Al-Bikandi, Abdullah bin Muhammad Al-Musnadi dan Ibrahim bin Al-Asy’ab.

Imam Bukhari pernah menceritakan, “dalam usia enam belas tahun, aku telah hafal kitab karya Ibnul Mubarak dan Waqi’ bin Al-Jarrah, dan aku mengerti maksud perkataan mereka dalam kitab mereka.”

Pada usia itu juga rihlah ilmunya bermula. Beliau berkelana ke beberapa negeri yang menjadi gedung ilmu pengetahuan pada zaman itu, seperti Mekah, Madinah, Syam, Mesir, Kufah, Basrah, Baghdad dan lain-lain.

Pada tahun 210 Hijrah, di usia 16 tahun, Imam Bukhari bersama ibu dan saudaranya bernama Ahmad mengunjungi Mekah. Setelah selesai menunaikan ibadat haji, ibu dan saudaranya pulang ke Bukhara, tetapi Imam Bukhari tinggal di Mekah untuk menuntut ilmu, khususnya mencari hadith-hadith. Untuk itu beliau berguru kepada beberapa ulama terbilang seperti Abul Walid Ahmad bin Al-Azraqi, Abdullah bin Yazid, Ismail bin Salim Ash-Sha’igh, Abu Bakar bin Abdullah bin Az-Zubair dan Al-Allamah Al-Humaidi.

Kemudian Imam Bukhari melanjutkan rihlahnya ke Madinah dan sampai di sana pada 212 Hijrah. Usia beliau ketika itu ialah 18 tahun. Di sana beliau berguru pula kepada sejumlah syaikh dan ulama ternama seperti Ibrahim bin Al-Mundzir, Mathraf bin Abdillah, Ibrahim bin Hamzah, Abu Tsabit Muhammad bin Ubaidillah, Abdul Aziz bin Abdillah Al-Uwaisi dan lain-lain yang setaraf mereka. Ada riwayat mencatatkan beliau menghabiskan selama 6 tahun di Tanah Hijaz.

Bagaikan tidak puas dengan ilmu diperolehinya, Imam Bukhari melanjutkan pula rihlahnya ke Basrah. Di sana beliau mencicip ilmu hadith daripada sebilangan ulama lain, antaranya Abu Ashim An-Nabil, Shafwan bin Isa, Badil bin Tsabit Al-Mahbar, Harami bin Imarah, Affan bin Muslim, Muhammad bin Sinan dan sebilangan ulama lain yang satu thabaqah (tingkatan) dengan mereka.

Rihlah berikutnya ialah ke Kufah. Di sana Imam Bukhari berguru pula dengan Abdullah bin Musa, Abu Nuaim bin Yaakub, Ismail bin Aban, Hassan bin Ar-Rabi’, Khalid bin Al-Mujalid dan Said bin Hafsh.

Imam Bukhari juga berulang kali memasuki kota Baghdad bagi menimba ilmu. Di antara ulama terkemuka yang menjadi gurunya di kota itu ialah Ahmad bin Hanbal, Muhammad bin Isa Ash-Shabagh, Muhammad bin Sa’iq dan Syuraih bin An-Nu’man.

Turut menjadi destinasi pencarian hadith oleh Imam Bukhari ialah Syam. Di sana beliau mengutip hadith-hadith daripada pakarnya, seperti Yusuf Al-Faryabi, Abu Ishaq bin Ibrahim, Adam bin Abi Iyas, Abul Yaman al-Hakam bin Nafi’ dan Hayawah bin Syuraih.

Beliau turut bermukim mencari hadith di Mesir. Di antara ulama yang menjadi gurunya ialah Utsman bin Ash-Sha’igh, Said bin Abi Maryam, Abdullah bin Saleh, Ahmad bin Saleh dan Ahmad bin Shubaib.

Selain kota-kota disebutkan, Imam Bukhari turut menjelajah negerinya sendiri, Khurasan, dan daerah-daerah sekitarnya seperti Moro, Balakh, dan Harah untuk tujuan sama.

Kecermatannya memilih hadith
Pengumpulan hadith dalam sebuah kitab besar yang ditatap umat Islam kini sebenarnya diusahakan oleh Imam Bukhari dalam masa 16 tahun. Dikatakan setiap kali beliau hendak memuatkan sebuah hadith ke dalamnya, terlebih dahulu beliau akan mandi dan solat dua rakaat mohon pertimbangan kepada Yang Maha Mengetahui.

Beliau terkenal sangat bersungguh-sungguh memeriksa hadith dan menyisihkan mana di antaranya yang “sahih” dan yang “lemah” dengan pengetahuan dan penyelidikan yang luas. Beliau sangat hemat cermat benar memeriksa orang yang membawa (menceritakan) tiap-tiap hadith, baik tentang kejujuran dan kekuatan ingatannya, selain persambungan orang-orang yang menyampaikan riwayat itu tidak putus pertaliannya sehingga sampai kepada Sahabat yang menerima sendiri dari Nabi saw.

Jaafar bin Muhammad Al-Qaththan berkata, beliau mendengar Imam Bukhari berkata, “aku telah menulis hadith dari 1000 guru, bahkan lebih ramai lagi, yang kesemuanya adalah ulama. Aku tidak memperoleh satu hadith pun melainkan aku telah memiliki sanadnya.”

Hasil-hasil karyanya
Seluruh dunia Islam meletakkan hadith yang diriwayatkan Imam Bukhari pada darjat yang tertinggi sekali. Kitab “Al-Jami’us Shahih” yang lebih terkenal dengan nama “Shahih Bukhari” diakui oleh para ulama Islam sebagai buku kumpulan hadith yang sangat dipercayai, dan nombor dua daripadanya ialah “Shahih Muslim”.

Imam Bukhari pernah menceritakan, “ketika usiaku mencapai 18 tahun, aku telah menghasilkan karya berhubung permasalahan sahabat, tabien dan perkataan-perkataan mereka. Aku juga menulis kitab At-Tarikh di makan Rasulullah saw. Dalam kitab karyaku At-Tarikh ini, terdapat sedikit nama kerana tidak semua nama dan kisah yang telah aku ketahui aku cantumkan. Aku melakukannya supaya kitab ini tidak tebal.”

Kitabnya yang lain ialah Al-Khalqu Af’al Al-‘Ibad. Dalam kitab ini, beliau mencatatkan bantahan terhadap kelompok Jahmiyah dan kelompok yang tidak mahu menggunakan hadith-hadith Nabi saw, atsar para Sahabat dan atsar para tabien.

Karya-karyanya yang lain ialah kitab Al-Kuna, kitab Al-Adab Al-Mufrad, Juz’u Raf’u Al-Yadain, Juz’u Al-Qira’ah Khalfa Al-Imam dan banyak lagi.

Kematiannya
Keengganan Imam Bukhari menurut perintah penguasa Bukhara, Khalid bin Ahmad agar datang ke kediamannya mengajar anak-anaknya telah mencetuskan hubungan tegang antara keduanya. Imam Bukhari bertegas bahawa pihak yang berhajat menimba ilmulah sepatutnya mendatangi guru, bukan sebaliknya.

Khalid bin Ahmad amat tidak senang dengan sikap Imam Bukhari itu, sehingga akhirnya Imam Bukhari terpaksa meninggalkan Bukhara. Beliau pergi menumpang di daerah Samarqand, tempat tinggal sebilangan saudara terdekatnya.

Ibnu Adi berkata, beliau mendengar Abdul Qudus bin Abdil Jabar berkata, “pada suatu malam, setelah Imam Bukhari selesai solatnya, aku mendengar beliau berdoa: ‘Ya Allah, bagiku bumi ini telah sempit. Oleh itu, ambillah aku menghadap-Mu.’ Belum sampai satu bulan selepas doa itu, Allah memanggilnya.”

Imam Bukhari meninggal dunia pada malam Idulfitri tahun 256H, dalam usia 62 tahun kurang 13 hari.

Rujukan:
-          Syaikh Ahmad Farid, Muhammad bin Ismail Al-Bukhari, Syaikh Al-Muhadditsin, 60 Biografi Ulama Salaf, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta Timur, Dis. 2009 (Cetakan Kelima).

-          H. Zainuddin Hamidy et al., Imam Bukhari dan Al-Djami’us Shahih, Kata Pendahuluan Dari Sidang Penyalin Shahih Bukhari, Klang Book Centre, Klang, 1997 (Cetakan Kelima).
(
(Artikel ini disiarkan di ruangan 'Ulama Pewaris Nabi', majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Bil: 19 (November 2013) dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment