Friday, November 15, 2013

Ketegasan an-Najasyi kecewakan Quraisy


Muqoddimah – isyarat hijrah dari al-Quran
Siri penindasan ke atas orang-orang Islam bermula pada pertengahan atau pengakhiran tahun ke-4 kenabian. Tekanan dan penyeksaan yang mulanya sedikit, semakin bertambah dari hari ke hari, sehinggalah menjadi kuat pada pertengahan tahun ke-5.

Di saat memuncaknya penindasan yang tidak tertanggung oleh para pengikut Nabi Muhammad saw itu, maka turunlah surah al-Kahfi sebagai jalan penyelesaiannya. Antara lain ia merakam isyarat daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya itu supaya berhijrah. Ia mengandungi tiga buah kisah teladan mengenai penganut sebenar, iaitu kisah Sahabat Gua (Ashabul Kahfi), kisah Al-Khidir dan Musa as, diikuti kisah Zulkarnain, seorang raja yang gagah perkasa bagi timur dan barat. (al-Mubarakpuri, h. 88-89)

Kemudian turun pula surah Az-Zumar dengan isyarat lebih jelas mengenai hijrah, melalui firman Allah:
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). Dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahajalah yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.  (az-Zumar 39:10)

Habsyah jadi pilihan
Dari Muhammad bin Ishak Al-Muthalibi, katanya: Ketika Rasulullah saw melihat penderitaan yang dialami Sahabat-Sahabatnya, manakala Baginda sendiri agak selesa disebabkan kedudukannya di sisi Allah dan di sisi bapa saudaranya, Abu Talib; sedangkan Baginda sendiri tiada daya untuk melindung mereka, maka Nabi saw bersabda: ‘Bagaimana kalau kamu berhijrah ke Habsyah, kerana rajanya tidak mengizinkan seorang pun dizalimi di dalamnya, dan negeri tersebut adalah negeri yang benar. Semoga Allah memberi jalan keluar dari penganiayaan dan kesempitan yang kamu hadapi.’ (Ibnu Hisyam, h. 302)

Rasulullah saw telah mengetahui tentang kisah raja Habsyah yang adil bernama Ashamah bin Abhar al-Najasyi.

Hijrah ke Habsyah
Maka keluarlah orang-orang Islam ke Habsyah, menuju kepada Allah dengan membawa agama mereka. Peristiwa ini berlaku pada bulan Rejab tahun ke-5 kenabian.  Menurut al-Mubarakpuri, kumpulan ini terdiri daripada 12 orang lelaki dan 4 orang wanita.  Mereka diketuai oleh Uthman bin Affan ra. Isterinya, Ruqayah puteri Rasulullah saw turut bersama.

Ibnu Hisyam pula menyebut, “sepuluh orang kaum muslimin itulah yang pertama sekali berangkat ke Habsyah seperti disampaikan kepadaku.” Beliau menyenaraikan satu-persatu Sahabat dimaksudkan. Turut disenaraikan ialah empat wanita, isteri kepada empat Sahabat berkenaan.

Manakala dalam catatan Prof. Dr. Abd. Aziz Mohd Zin pula disebutkan, “mereka terdiri dari 10 orang lelaki dan empat atau lima orang perempuan.”

Orang Quraisy cuba untuk mengembalikan mereka semula ke Mekah, tetapi tidak sempat berbuat demikian kerana mereka telah pergi jauh. Kejadian ini merupakan hijrah pertama dalam Islam.

Rombongan kedua ke Habsyah
Rombongan pertama yang berhijrah ke Habsyah mendapat kejayaan yang baik, atas layanan yang diberikan oleh pihak-pihak di sana. Hal itu membuatkan orang Quraisy Mekah sangat marah. Mereka memperkuatkan tekanan dan penyeksaan ke atas orang Islam yang masih di Mekah.

Atas kesusahan yang kian bertambah itu, dengan penuh kerahsiaan Nabi saw mula mengarahkan orang Islam supaya bersiap sedia untuk berhijrah ke Habsyah. Sangat disedari bahawa hijrah kali kedua ini lebih susah dan perlu dilakukan dalam keadaan yang lebih berhati-hati. Namun, orang Quraisy dapat juga menciumnya dan berusaha untuk menghalangnya.

Tetapi, orang Islam lebih cepat untuk bertindak. Maka pada awal tahun ketujuh kenabian mereka berjaya berlepas ke Habsyah sebelum sempat dihalang oleh orang Quraisy. Rombongan kedua ini terdiri dari 83 orang lelaki dan 18 atau 19 orang perempuan. (al-Mubarakpuri, h. 92)

Rombongan ini diketuai oleh  Jaafar bin Abi Talib ra, sepupu Nabi Muhammad saw.

Quraisy cuba pujuk an-Najasyi
Pemergian mereka tambah meningkatkan perasaan marah kaum Quraisy. Maka, mereka menghantar satu rombongan dianggotai Abdullah bin Abi Rabiah dan Amru bin al-Aas bin Wa’il untuk berjumpa dengan al-Najasyi supaya menghantar balik orang Islam ke Mekah. Utusan ini dibekalkan dengan hadiah-hadiah yang terbaik, di antaranya kulit-kulit binatang yang halus dan cantik untuk dihadiahkan kepada an-Najasyi. Sebelum mengadap an-Najasyi, pelbagai hadiah juga diberikan kepada semua ketua perang. (Prof. Dr. Ab. Aziz, h. 171)

Ummu Salamah menceritakan, “kemudian kedua utusan Quraisy itu menyerahkan hadiah-hadiah kepada an-Najasyi dan diterimanya. Keduanya berkata kepada an-Najasyi, “wahai tuanku, sesungguhnya telah menyusup ke negeri tuanku anak-anak muda kami yang tidak waras. Mereka meninggalkan agama kaumnya dan tidak masuk kepada agamamu. Mereka membawakan agama yang mereka ciptakan sendiri. Kami tidak mengenali agama tersebut, begitu juga tuanku. Sungguh kami diutus ayah-ayah mereka, bapa-bapa saudara mereka, dan keluarga besar mereka untuk membawa mereka pulang kepada kaumnya, kerana kaumnya lebih faham apa yang mereka katakan dan lebih mengerti apa yang mereka cela.” (Ibnu Hisyam, h. 314)

Ketua-ketua perang yang mengadap bersama mereka berdua berkata: “Benar wahai tuanku! Serahlah mereka itu (muhajirin) kepada mereka berdua.”

An-Najasyi mengusul periksa
Pujukan itu bagaimana pun tidak mudah diterima oleh an-Najasyi. Katanya kepada utusan Quraisy: “Tidak! Aku tidak akan menyerahkan mereka kepada kamu. Setiap orang yang datang ke negeri ini akan mendapatkan perlindungan.”

“Aku akan memanggil dan bertanya kepada mereka tentang apa yang kamu katakan. Jika mereka seperti yang kamu ceritakan, aku akan mengembalikan mereka kepada kamu. Jika ternyata tidak, aku akan tetap melindungi mereka.”

Maka
, Jaafar bin Abi Talib selaku ketua kumpulan kaum muslimin datang bersama beberapa orang kaum Muhajirin mengadap an-Najasyi. An-Najasyi bertanya: “Apa agama kamu sehingga kamu meninggalkan agama kaum kamu, tidak pula masuk ke dalam agamaku atau agama-agama lain yang ada?”

Jaafar perjelaskan risalah Nabi
Jaafar bin Abu Talib menjawab: “Wahai Tuanku, dulu kami daripada golongan jahiliah. Kami menyembah berhala, memakan bangkai, berzina, memutuskan silaturrahim, melayan buruk terhadap jiran-jiran dan yang kuat di antara kami memakan yang lemah. Begitulah keadaan kami, sehingga diutuskan Allah kepada kami seorang Rasul dari kalangan kami. Kami mengetahui nasab keturunannya, kebenarannya, amanahnya dan kesuciannya.”

“Beliau menyeru kami kepada keesaan Allah dan menyembah-Nya, menyuruh kami supaya meninggalkan pemujaan kepada berhala sepertimana yang dilakukan oleh datuk-nenek kami, menyuruh kami supaya bercakap benar, menunaikan amanah, menghubung silaturrahim dan berhubung baik dengan jiran, menahan diri dari hal-hal yang haram dan tidak membunuh.”

“Beliau melarang kami melakukan perzinaan, bercakap bohong, memakan harta anak yatim dan menuduh zina wanita yang baik. Beliau menyuruh kami hanya menyembah Allah Yang Maha Esa tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun.”

Jaafar terus menghuraikan pokok perkara agama Islam. Tambahnya: “Kami membenarkannya, kami beriman dengannya, kami mengikuti ajarannya yang didatangkan dari Allah dan kami menyembah hanya Allah Yang Esa tanpa mensyirikkan-Nya dengan apa pun. Kami mengharamkan apa yang diharamkan ke atas kami dan kami menghalalkan apa yang dihalalkan bagi kami.”

Sambungnya lagi: “Namun, tiba-tiba kami dihalang dan diazabkan oleh kaum kami, kami difitnahkan terhadap agama kami supaya kami kembali semula kepada penyembahan patung berhala daripada penyembahan Allah dan supaya kami kembali melakukan keburukan sepertimana yang telah kami lakukan dahulu. Apabila mereka memaksa kami, menzalimi kami, menyempitkan hidup kami dan memisahkan kami dengan agama kami, maka kami berpindah ke negeri tuanku, kami memilih tuanku dari yang lain dan kami gembira dengan layanan tuanku. Kami berharap tidak dizalimi di sisi tuanku.” (Ibnu Hisyam, h. 315)

Raja an-Najasyi terpukau dengan penjelasan Jaafar. Baginda kemudian bertanya: “Apakah kau boleh menunjukkan sesuatu yang Nabi itu terima dari Allah?”

“Ya!”, jawab Jaafar.

“Baiklah, bacakan untukku!”, kata an-Najasyi.

An-Najasyi, pendeta menangis
Yang dibacakan Jaafar adalah permulaan surah Maryam. An-Najasyi dan para pendeta mendengar penuh teliti. Ayat demi ayat yang dibacakan Jaafar membuat mereka menangis, sehingga air mata membasahi janggut An-Najasyi.

Seluruh ruangan hening. An-Najasyi menyeka air mata, kemudian berkata, “sesungguhnya ayat tadi dan yang dibawa Nabi Isa adalah dari sumber yang sama.”

Raja lalu menoleh kepada Abdullah bin Abi Rabiah dan Amru bin al-Aas, seraya berkata: “Kamu pulanglah! Sungguh aku tidak akan menyerahkan mereka kepada kamu dan mereka tidak boleh diganggu oleh siapa pun!”

Kedua-dua utusan Quraisy itu sangat kecewa. Malam itu mereka berpikir panjang. Mereka tidak boleh pulang dengan tangan kosong setelah melewati perjalanan melelahkan dan dengan biaya mahal. Ia amat memalukan.

Kemudian, Amru bin al-Aas mengusulkan, “besok aku akan menghadap semula an-Najasyi dan memujuknya lagi!”

Percubaan kedua juga gagal
Esok harinya, Amru sekali lagi mendapatkan izin untuk menemui an-Najasyi. Dengan penuh keyakinan, Amru bersuara: “Wahai tuanku, Jaafar dan kawan-kawannya telah mengatakan sesuatu yang tidak baik mengenai Isa bin Maryam. Tuanku boleh bertanyakan mereka tentang hal itu!”

Para sahabat Muhajirin sekali lagi dipanggil menghadap an-Najasyi. Mereka tahu, itu adalah tipu muslihat utusan Quraisy lagi. Mereka khawatir juga jika sang raja mungkin terpengaruh oleh pujukan itu.

An-Najasyi lantas bertanya: “Apa yang kamu tahu tentang Isa bin Maryam?”

Jaafar bangun dan menjawab: “Kami bercakap mengenai Isa seperti yang diajar kepada kami oleh Nabi Muhammad saw, bahawa dia adalah seorang hamba Allah, Pesuruh Allah, Roh dan Firman Allah ditiup ke dalam Si Dara Maryam.”

An-Najasyi lantas bertitah: “Kami juga berkeyakinan begitu. Allah akan memberi rahmat ke atas kamu dan ketua kamu.”

Beliau kemudian beralih ke arah para pembesar dan pendeta dari kaumnya, seraya berkata: “Kamu mungkin risau dan marah, ikut suka hati kamulah, tetapi Isa tidak lain dan tidak bukan seperti yang diucap Jaafar mengenainya.” (al-Mubarakpuri, h. 94)

Kemudian, an-Najasyi mengisytiharkan akan melindungi kumpulan muhajirin itu. Baginda turut memulangkan hadiah-hadiah yang diterimanya kepada dua orang utusan Quraisy. Mereka akhirnya terpaksa pulang dengan kehampaan.

An-Najasyi peluk Islam
Raja an-Najasyi akhirnya memeluk Islam, dan diikuti dengan ramai rakyat di negerinya. Beliau telah membenarkan kenabian Muhammad saw, namun menyembunyikan keimanannya dari pengetahuan kaumnya. Sikap tersebut kerana beliau mengetahui keadaan kaumnya yang tetap tidak berganjak atas kebatilan, sangat cenderung kepada kesesatan dan jumud atas kepercayaan yang terseleweng, walau pun bertentangan dengan akal fikiran dan perkhabaran wahyu. (Prof. Dr. Ab. Aziz, h. 174)

Abu Hurairah ra pernah menjelaskan satu hadith yang Nabi saw berdukacita pada hari kematian an-Najasyi. Baginda segera mengumumkannya kepada kaum muslim dan menyeru mereka untuk melaksanakan solat ghaib.

Nabi saw bersabda (maksudnya): Daripada Jabir, Nabi saw memberitahu ketika kematian al-Najasyi, ‘hari ini meninggallah seorang lelaki yang soleh, maka berdiri dan sembahyanglah untuk saudara kamu yang bernama Ashamah (Ashamah bin Abhar ialah nama sebenar an-Najasyi)’. (HR Bukhari)

– Mohd Nasir Awang

Rujukan:
- Safi-ur-Rahman al-Mubarakpuri, Cahaya Abadi – Riwayat Hidup Rasulullah saw (terjemahan ar-Rohiq ul-Makhtum), Al-Hidayah House of Publishers Sdb Bhd, Batu Caves, 2011.
- Abu Muhammad Abdul Malik bin Hisyam, Sirah Nabawiyah Ibnu Hisham (Jilid 1), Al-Hidayah Publication, Batu Caves, 2009.
- Prof. Dr. Ab. Aziz Mohd Zin, Gerakah Dakwah Dalam Sirah Nabi saw, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2010.
- Nizar Abazah, Bilik-Bilik Cinta Muhammad – Kisah Sehari-Hari Rumah Tangga Nabi, Penerbit Zaman.
- http://kebunketereh.com/?p=5446, Kisah Ja’afar bin Abi Talib dengan Raja Najashi.

(Artikel ini disiarkan di ruangan 'Secebis Kisah', majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Bil:19 (November 2013) dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment