Wednesday, October 2, 2013

Masjid runtuh, mengapa di Terengganu lagi?


Oleh: MAT ZAIN MAT ISA

ADA sekurang-kurangnya dua persoalan utama yang layak dilontarkan ekoran berlakunya siri keruntuhan bangunan dan binaan awam di Terengganu sejak beberapa tahun lalu. Terbaru ialah keruntuhan sebahagian bumbung Masjid Kampung Tebauk dekat Bukit Tunggal, Kuala Terengganu pada awal pagi Ahad (29 September).

Dalam kejadian yang dikatakan berlaku seawal 4 pagi itu, dan disedari oleh pegawai masjid berkenaan menjelang waktu Subuh, kekuda besi yang menampung atap di ruang legar masjid itu runtuh menyebabkan kerangka besi yang memegang siling dan bumbung turut jatuh.

Menurut laporan media yang memetik kenyataan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, Datuk Shafii Mohamad, masjid tersebut dibina mulai Januari 2010 dan siap Oktober 2011.  Satu laporan menyebut kos pembinaannya RM5.6 juta, manakala satu laporan lain menyebut kosnya RM5.8 juta. Pembinaannya bagaimana pun disahkan di bawah pengawasan JKR. Ia dikatakan mampu menampung kehadiran maksima 1,500 jemaah.

Jelaslah bahawa masjid itu baru siap dan digunakan sepenuhnya hanya dua tahun lalu. Bahkan, menurut pegawai masjid berkenaan, majlis perasmian pembukaannya pun belum sempat dibuat lagi.

Kejadian ini menjadikan sudah lebih lima belas kes keruntuhan bangunan dan binaan awam di Terengganu sejak 2008. Ia juga kes ketiga melibatkan runtuhan bumbung masjid. Kejadian serupa pertama kali berlaku ke atas Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, Kemaman pada 3 Oktober 2009. Kes kedua pula di Masjid Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu pada 20 Mei lalu.

Soalnya, mengapa masjid pun boleh runtuh tanpa diganggu faktor alam? Sedangkan di sisi agama Islam, masjid dianggap sebagai tempat paling selamat untuk umatnya, terutama di waktu terjadi bencana alam. Bukankah ada pesanan daripada Rasulullah saw agar kita bergegas ke masjid tatkala berlaku ribut atau angin kencang? Sebagai pusat berkumpul untuk bermunajat dan memanjatkan doa kepada Allah SWT, sudah tentu ia juga bangunan paling selamat memberikan perlindungan daripada angin dan hujan.

Masjid adalah “Rumah Allah”. Maka Dialah yang berhak menjaganya dengan sebaik-baik penjagaan. Hakikat ini bahkan pernah terbukti dalam kes tsunami hampir sedekad lalu. Kita pernah dipertontonkan kes yang dianggap “ajaib” apabila masjid menjadi satu-satunya bangunan terselamat dari ranapan ombak besar pada 26 Disember 2004 lalu.

Disebutkan terdapat 27 masjid di seluruh rantau terlibat, terutama di Indonesia, Sri Lanka dan India yang terselamat di sebalik kemusnahan ketara seluruh binaan sekitarnya. Videonya masih boleh ditonton di YouTube, “27 Mosques Saved in Tsunami”. Juga berlaku kes masjid terselamat dalam kejadian gempa bumi di beberapa negara, sedangkan seluruh bangunan di sekitarnya runtuh dan ranap.

Ajaib bukan? Ya, kita selaku muslim yang beriman dengan kekuasaan Allah tentu segera mengaitkannya dengan kudrat dan iradat Allah memelihara rumah-Nya. Ia juga akan dikaitkan dengan keikhlasan dalam pembinaan masjid-masjid terbabit. Itu termasuklah sumber kewangannya yang halal dan bersih, selain bertolak daripada dasar taqwa dan menegakkan agama Allah.

Maaf cakap, dasar taqwa itu nampaknya tidak begitu jelas dalam pembinaan sebahagian masjid di Terengganu. Bukan suatu yang rahsia lagi betapa sifat suka “menyohor” (berbangga) dengan pembinaan masjid yang banyak pernah menjadi kegemaran pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri itu suatu ketika dulu. Rakyat negeri itu dan sesiapa saja yang berkunjung ke Terengganu dalam beberapa tahun pertama BN mengambil alih kerajaan daripada PAS pada 2004 lalu telah menyaksikannya.

Di sana-sini di seluruh negeri dipacakkan papan tanda gergasi memaklumkan betapa kerajaan BN negeri telah membina 32 masjid di tahun pertama pemerintahannya (2004/05) sebagai memenuhi sasaran sebuah masjid untuk setiap Dun. Ia jelas perbuatan menunjuk-nunjuk kebaikan dan atas dasar meraih mileage politik, bukan lagi sebagai memenuhi tuntutan keperluan kepada pusat ibadat.

Bahkan berlaku kes di mana masjid sedia ada masih baik dan boleh menampung kehadiran jemaah setempat serta tidak begitu mendesak keperluan membina yang baru, tetap diluluskan juga pembinaannya. Tiada sebab yang boleh difikirkan di atas pembinaan itu, melainkan kerana mahu menunjuk kononnya kerajaan BN prihatin terhadap pembangunan agama.

Kedua, kerana memelihara tembolok para kontraktor kroni yang tidak pernah “kenyang”. Projek pembinaan masjid adalah peluang mereka mengaut untung. Ertinya pembinaan masjid bukan atas dasar taqwa dan menegakkan syiar serta syariat Islam, tetapi lebih kepada kepentingan politik dan menjaga perut kroni.

Soalan kedua, mengapa hanya di Terengganu kekerapan kes runtuhan seumpama ini berlaku? Jawabannya ialah kerana hanya di Terengganu pemerintahnya yang mengaku Islam, tetapi bertindak di luar kewarasan menyondol masjid yang telah siap dan digunakan, semata-mata atas alasan kegagalan pihak pembina mematuhi peraturan teknikal pihak berkuasa tempatan (PBT). Kes berlaku di RTB Bujal, Kemaman pada 26 Mei 2005 akan sentias diingati memandangkan ia tidak dapat disembunyikan lagi berunsur balas dendam politik.

Andainya para pemimpin BN berfikir secara waras dan ada walau pun sekelumit rasa cintakan agama, sudah tentu mereka tidak akan tergamak merobohkan tempat ibadat. Ya, ia mungkin tidak menepati peraturan pembinaan PBT, tapi soal teknikal selalu disebut orang sebagai sesuatu yang boleh diatasi. “Technicalities we can overcome”.

Apatah lagi segala kuasa untuk berunding dan bertolak ansur terletak di tangan pemerintah. BN yang diterajui individu Muslim tidak sepatutnya hilang pertimbangan, dan begitu mudah menidakkan kesucian “Rumah Allah” itu. Sedangkan jika alasan tidak mematuhi syarat pembinaan PBT, maka beratus-ratus kes seumpamanya boleh diselongkar di serata Terengganu, termasuk beberapa bangunan milik Umno sendiri.

Justeru, biar pun setiap kali berlaku kes runtuhan sebegini, pihak bertanggungjawab akan sibuk membentangkan kegagalan teknikal, bagi kita ia sebenarnya isyarat daripada kemurkaan Allah SWT atas keterlanjuran yang pernah dibuat BN itu. Selagi mereka tidak bertaubat, mengakui dan menyesali perbuatan di RTB Bujal itu, maka selagi itulah satu demi satu kes keruntuhan akan berlaku di Terengganu!

(Artikel ini adalah versi asal (lebih panjang) kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil. 1882, 28 Zulkaedah 1434/4 Oktober 2013 di ruangan F10 KOLUMNIS dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment