Sunday, October 13, 2013

Saidina Umar cetus idea kumpul al-Quran



Muqoddimah
Apabila Rasulullah saw wafat, al-Quran belum terkumpul di dalam sebuah kitab. Sebaliknya, bahagian-bahagian daripada kitab suci itu berada pada individu-individu berbeza di kalangan para Sahabat Baginda saw – ada yang dicatatkan pada kulit-kulit binatang, di atas tulang-temulang dan sebahagian lagi tersemat di dalam hati para Sahabat ra.

Beberapa mushaf al-Quran yang agak tersusun dikatakan disimpan oleh beberapa orang Sahabat ra. Mushaf-mushaf itu dikenali dengan nama mereka yang mengumpul dan menyimpannya. Antaranya yang masyhur ialah Mushaf Ibnu Mas’ud, Mushaf Ali, Mushaf Aisyah dan lain-lainnya.

Sejurus selepas kewafatan Baginda saw juga, berlaku penodaan akidah Islam oleh beberapa pihak. Antaranya kemunculan beberapa individu yang mengaku sebagai nabi. Saidin Abu Bakar ra yang dilantik sebagai khalifah menggantikan Rasulullah saw lantas memerangi mereka ini. Maka berlakulah Perang Yamamah, di mana para Sahabat menumpaskan golongan perosak Islam diketuai nabi palsu, Musailamah al-Kazzab.

Kejayaan membanteras golongan sesat itu suatu yang menggembirakan buat Islam. Namun, ada sisi negatif hasil peperangan itu. Ramai di kalangan para Sahabat ra yang gugur. Antara mereka itu adalah Qurra’ (yang menguasai pembacaan al-Quran) dan huffaz (menghafaz al-Quran). Kehilangan mereka bukan sekadar perginya sejumlah individu muslim yang mulia dan taat. Ia juga sebenarnya mengisyaratkan kemungkinan suatu tragedi buat umat Islam, sekiranya tidak ditangani secara sebaiknya, iaitu “kehilangan” al-Quran atau sekurang-kurangnya sebahagian daripada ayat-ayatnya dan juzuk-juzuknya.

Kemungkinan ini sangat besar. Apatah lagi para Sahabat Rasulullah saw adalah khalayak yang senantiasa terkedepan di dalam menyahut apa jua seruan jihad menentang musuh Islam. Maka, jika berlaku peperangan lagi selepas itu, semakin ramai antara mereka mungkin gugur syahid. Sedangkan pada merekalah tersembunyinya sebahagian ayat-ayat al-Quran, terutama yang dihafaz itu. Maka tidak mustahil tragedi “kehilangan” al-Quran boleh berlaku.

Umar bimbang “kehilangan” al-Quran
Orang pertama yang menanggapi kemungkinan yang sangat membahayakan Islam ini, dan terdetik mengambil inisiatif menyelamatkan keadaan ini, ialah Umar ibnu al-Khattab ra. Kematian sebilangan para Sahabat ra yang Qurra’ dan huffaz amat membimbangkannya. Beliau lantas melontar cadangan kepada Saidina Abu Bakar ra agar ayat-ayat al-Quran yang disimpan individu berbeza di tempat berasingan itu dikumpulkan.

Abu Bakar as-Siddiq ra pada mulanya keberatan melaksanakan cadangan itu. Antara hujah utama mengasak benak fikirnya ialah kerana hal itu sesuatu yang tidak dilakukan oleh Baginda saw sendiri. Umar al-Khattab ra bagaimana pun tidak memadamkan hasrat itu. Kebimbangan yang menghantuinya memaksa dirinya mengajukan perkara sama kepada Abu Bakar ra berulang kali. Amirul Mukminin akhirnya bersetuju dengan cadangan Umar itu.

Bagi menyempurnakan tugasan itu, Abu Bakar memanggil Zaid ibn Thabit al-Ansari ra. Beliau merupakan salah seorang jurutulis wahyu kepada Rasulullah saw. Zaid terkenal dengan sikap amanah, teliti, cerdas akal, sangat baik akhlaknya dan pintar. Bahkan, Zaid adalah antara Sahabat yang sentiasa bersama Rasulullah saw sehingga ke akhir turunnya wahyu.

Zaid ditugaskan mengumpul
Apabila Zaid tiba di hadapan Abu Bakar, beliau melihat Umar ra turut berada di situ. Abu Bakar ra bercerita kepadanya: “Sesungguhnya Umar ra telah datang kepadaku dan berkata, ‘ramai di kalangan Qurra’ terkorban di dalam peperangan Yamamah, dan aku bimbang lebih ramai lagi Qurra’ akan meninggal dalam peperangan-peperangan yang akan datang, dan kesan terburuk daripada hal itu akan berlakunya kehilangan banyak al-Quran. Oleh itu aku berpendapat elok kamu memerintahkan seseorang mengumpulkan al-Quran’.”

“Aku telah menjawab kepada Umar, ‘bagaimana mungkin aku melakukan sesuatu yang Rasulullah saw sendiri tidak lakukannya?’ Umar menjawab, ‘demi Allah, ini adalah suatu yang sangat baik (yang engkau perlu lakukan).’ Umar selepas itu terus datang menemuiku dengan saranan yang sama (walau pun aku menolaknya), sehingga Allah Taala membuka hatiku untuk menerima cadangan itu, sebagaimana Allah telah membuka hati Umar. Maka aku pun bersetuju dengan pandangan Umar mengenai hasrat mengumpulkan al-Quran.”

Zaid setakat itu barangkali belum dapat menduga apa yang akan berlaku. Bahawa beliau bakal diserahkan tugasan yang sangat penting dan amat berat sepanjang hidupnya. Abu Bakar ra kemudian menyambung, “demi sesungguhnya kamu seorang anak muda yang baik dan bijak, dan padamu tidak ada apa-apa yang layak kami ragui. Kamu juga pernah menulis wahyu-wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah saw. Oleh itu, carilah seluruh bahagian al-Quran dan kumpulkannya (dalam satu kitab).”

Zaid kini benar-benar faham apa yang dikehendaki Abu Bakar ra daripadanya. Beliau lantas menjawab, “demi Allah, andaikata tuan mengarahkan saya untuk mengalihkan sebuah bukit dari satu tempat ke tempat lain, tuan tidaklah meletakkan beban tugas lebih berat berbanding tugas yang tuan arahkan saya dalam mengumpulkan al-Quran ini.”

Teliti syarat dua saksi
Tercatat di dalam Sunan Abu Daud bahawa Abu Bakar ra berkata kepada Umar ra dan Zaid ra:“Duduklah kamu pada pintu masjid. Sekiranya ada orang datang membawa ayat-ayat (al Quran) yang telah diperkuatkan dengan pernyataan dua saksi, maka hendaklah kamu menulisnya.”

Abu Daud juga meriwayatkan, Umar ra kemudian pergi menemui orang ramai menyampaikan perintah khalifah Abu Bakar itu, dengan katanya: “Barangsiapa yang mendapatkan ayat (al-Quran) dari Rasulullah saw, maka hendaklah ia membawa kepadanya (Zaid bin Tsabit ra).” Mereka menuliskan ayat-ayat itu pada lembaran, ketulan batu dan pelepah-pelepah tamar. Dan dia (Zaid) tidak mahu menerima ayat dari seorang pun sebelum terlebih dahulu disaksikan dua saksi.”

Imam Sakhawi menyatakan, bahawa maksud dua saksi itu ialah dua orang saksi yang menyaksikan di hadapan mata mereka sendiri ayat tersebut ditulis di hadapan Rasulullah saw. Manakala Imam Ibnu Hajar pula berpandangan ia merujuk kepada ayat yang dibawakan dalam dua bentuk, iaitu hafalan dan tulisan.

Apa pun maksudnya, yang nyata dalam hal ini ialah usaha pengumpulan ayat-ayat al-Quran diarahkan Saidina Abu Bakar itu dilakukan melalui prosedur sangat ketat dan teliti, serta disusun dan disemak oleh mereka yang berkelayakan dan dipercayai.

Zaid kemudiannya menceritakan, “aku pun selepas itu memulakan pencarian pelbagai bahagian dari al-Quran. Aku menemuinya tertulis di atas pelepah-pelepah tamar, di atas permukaan-permukaan batu, dari hafalan sebilangan individu, di atas kepingan-kepingan kulit dan di atas tulang-tulang binatang. Aku terus mencari al-Quran sehingga aku menemui bahagian akhir surah at-Taubah (9:128) yang ada pada Abu Khuzaimah al-Ansari – bahagian al-Quran yang tidak aku temui pada orang lain.”

Usaha itu akhirnya menghasilkan mushaf yang disusun dengan cara paling sistematik. Saidina Ali bin Abi Talib ra pernah menyanjungi usaha ini dengan katanya: “Orang yang paling besar pahalanya dalam hal mushaf ialah Abu Bakar ra. Beliaulah yang mempelopori pengumpulan al-Quran.”

Diriwayatkan naskhah-naskhah tertulis ayat-ayat al-Quran itu kemudiannya disimpan oleh Abu Bakar sehingga beliau wafat. Setelah itu, mushaf tadi disimpan oleh Umar, sehingga beliau pula wafat. Amanah untuk menyimpan mushaf al-Quran kemudian diserahkan kepada Hafsah binti Umar ra, yang juga isteri kepada Rasulullah saw.

Uthman menyalinan Mushaf Abu Bakar
Pada zaman Uthman ra menjadi khalifah, Islam telah berkembang ke pelbagai negara dan benua. Ia bukan lagi anutan bangsa Arab dan Parsi, tetapi turut dianuti pelbagai bangsa yang bertutur pelbagai bahasa berbeza.

Maka salah satu masalah yang dihadapi ketika itu ialah masalah qiraat al-Quran yang digunapakai di daerah-daerah berbeza ini. Misalnya, penduduk Kufah menggunakan qiraat disampaikan Abdullah bin Mas’ud. Penduduk Syam pula menggunakan qiraat Ubai bin Kaab. Manakala yang lain menggunakan qiraat Abu Musa al-Asyaari.

Hal perbezaan qiraat ini tidak pernah menjadi masalah di kalangan generasi Sahabat. Ia rupanya menjadi masalah besar, terutama di daerah-daerah yang jauh dari pusat pentadbiran kerajaan Islam di Madinah. Setiap qiraat itu mempunyai pengikut masing-masing yang sesetengahnya terlalu taksub kepadanya, sehingga menyebabkan mereka tergamak mengkafir kumpulan yang berbeza cara bacaan al-Quran.

Perkembangan ini dilihat sebagai satu ancaman yang boleh menyebabkan berlakunya perpecahan. Justeru, isu perbezaan qiraat ini perlu diatasi segera. Di situlah timbulnya cadangan agar dihasilkan mushaf-mushaf piawai yang banyak, lalu kesemua mushaf yang seragam itu dikirimkan ke segenap pelosok daerah didiami umat Islam.

Kisah ini diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra, dengan katanya: “Sesungguhnya Hudzaifah bin Yaman datang kepada Saidina Uthman. Ketika itu beliau sedang menyiapkan penduduk Syam dan Iraq untuk satu peperangan ke Asia Tengah. Kedatangan Hudzaifah itu bermaksud meminta pertolongan Uthman berhubung kebimbangannya melihat pertengkaran yang terjadi antara para sahabat dalam masalah qiraat. Dia berkata kepada Uthman bin Affan ra: “Wahai Amirul Mukminin, tolonglah umat ini sebelum pertengkaran mereka mengenai Kitab (al-Quran) semakin parah sebagaimana parahnya pertengkaran antara orang Yahudi dan Nasrani.” Kemudian Uthman mengirimkan surat kepada Hafsah yang berbunyi, “Aku memohon agar kiranya Puan dapat menyerahkan mushaf kepadaku, untuk kusalin menjadi beberapa mushaf. Dan apabila sudah selesai kusalin, aku akan kembalikannya semula kepada Puan.” Hafsah pun segera mengirimkan mushaf kepada Uthman. Selanjutnya beliau (Uthman) mengarahkan Zaid bin Tsabit, Abdullah bin Zubair, Saad bin Ash dan Abdur Rahman bin Harith bin Hisyam menyalin mushaf Hafsah tersebut menjadi beberapa mushaf. Dan mereka bersedia melaksanakan tugas itu. Lalu Uthman memberikan pesanan kepada tiga orang sahabat dari kalangan Quraisy itu, “jika kamu berselisih pendapat dengan Zaid bin Tsabit mengenai al-Quran, maka tulislah apa yang kamu perselisihkan itu dengan bahasa Quraisy, kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa Quraisy.” (HR Imam Bukhari)

Dengan usaha itu terhasillah mushaf al-Quran yang piawai dan digunakan oleh umat Islam di segenap pelusuk daerah. Mushaf itu jugalah yang kita warisi hingga ke zaman ini. – Mohd Nasir Awang

Rujukan:
-
The Biography of ‘Umar ibn Al-Khattaab ra (Vol. 1), Dr. Ali Muhammad Muhammad As-Sallaabee (2010). Maktaba Dar-us-Salam, London.

(Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Bil. 18 (15 Oktober 2013) di kolum 'SECEBIS KISAH" dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment