Oleh: MOHD NASIR AWANG
Selaku pemilik akaun facebook,
sebahagian besar kita tentu pernah memanjangkan perkongsian (share) sesuatu maklumat yang kita perolehi, bukan? Ada ketikanya,
kita bukan sekadar mengongsikannya di timeline
sendiri untuk ditatap rakan-rakan yang berkunjung ke situ, tetapi kita turut
memanfaatkan laman mana-mana kumpulan yang kita anggotai. Bahkan, kita turut
‘menceroboh’ laman milik kenalan dengan memaparkan perkongsian maklumat itu.
Tidak syak lagi, segalanya itu kita lakukan didorong
keinginan hati agar teman-teman facebook
dan juga teman kepada teman turut membaca maklumat yang baru kita temui itu.
Apatah lagi sekiranya kita merasakan maklumat tersebut sangat berguna dan amat
sesuai disebarkan, kerana mungkin bertepatan dengan konteks semasa atau latar
diri teman-teman dimaksudkan.
Namun, pernahkah berlaku keghairahan anda berkongsi
maklumat yang dianggap sangat penting itu kembali menyulitkan anda? Bukan
setakat tidak meraikan perkongsian yang anda buat, teman-teman yang menurunkan
komentar masing-masing malah memperkecil dan mempertikaikan perkongsian yang
anda paparkan itu.
Ya, itulah persis apa yang pernah dialami beberapa teman facebook saya sendiri. Seorang teman,
sebagai contoh, share satu paparan
daripada akaun seseorang berhubung status produk-produk satu syarikat makanan
segera terkenal. Paparan itu secara jelas mempertikaikan status halal produk-produk
tersebut. Sedangkan makanan jenama syarikat itu menjadi kegemaran rakyat negara
ini. Ia dijual sangat laris di sebegitu banyak kedai eksklusif syarikat
tersebut di seluruh negara.
Tiba-tiba hanya baru-baru ini tersebar penemuan baru
berhubung status halal produk-produk terbabit. Ia dikatakan mengandungi DNA
binatang yang diharamkan untuk umat Islam. Lalu teman saya tadi yang membaca
paparan itu tanpa tangguh terus mengongsikan maklumat itu, yang dianggap sangat
penting diketahui oleh teman-teman lain yang beragama Islam.
Niat suci dan keprihatinan tinggi yang beliau tunjukkan
itu bagaimana pun tidak menghasilkan natijah diharapkan. Sementara sebilangan
teman yang memberikan komen melahirkan rasa terkejut, mengutuk
ketidakbertanggungjawaban syarikat atas sensitiviti umat Islam dan mengucapkan
terimakasih atas perkongsian yang dia buat, sebilangan lagi mempersoalkan
kesahihan maklumat yang dikongsikan itu.
“Betul ke ni?”, “boleh percaya ke ni?”, “Maklumat ni dari
mana? Ada kajian mana-mana pihak ke?” dan berbagai lagi komen seumpama itu
menerjah masuk. Bahkan, ada juga yang menegur, “lain kali elok cek betul-betul
fakta sebelum nak share... tak elok
sebar fitnah.”
Aduhhh! Lain dihasratkan, lain pula diperolehi nampaknya.
Namun, walau pun agak pedih, komen yang seakan memarahi beliau itu bagi saya sebenarnya
yang paling wajar diberikan perhatian.
Ya, kita sebetulnya masih bernasib baik apabila ada teman
mengingatkan agar berhati-hati mengesahkan maklumat diperolehi sebelum
menyebarluaskannya kepada teman lain. Kerana, kerap berlaku keyakinan yang
terhasil dalam diri kita secara spontan sebaik membaca sesuatu maklumat
dipaparkan pihak lain itu, mungkin sesuatu yang memperdayakan kita.
Kes dialami teman saya di atas itu bagi saya tidaklah
begitu “berat”. Walau pun dia mungkin tersilap berkongsi maklumat tidak tepat
atau diragukan, kesalahannya itu tidaklah sampai mewujudkan fitnah besar
terhadap umat Islam, melainkan syarikat terbabit. Sedangkan mengambil sikap
berwaspada terhadap apa-apa produk yang diragukan itu sendiri adalah sesuatu
yang wajar di sisi agama. Justeru, kita mungkin boleh menjadikan maklumat
dikongsikan itu sebagai suatu peringatan, biar pun ia mungkin tidak setepat
keadaan sebenar.
Lain halnya dengan kes-kes perkongsian dilakukan beberapa
teman saya yang lain. Zahirnya mereka kelihatan sangat berminat dengan hujah
dan sandaran agama. Alhamdulillah kesedaran di kalangan umat Islam global untuk
kembali menghayati dan mengatur hidup bersandarkan dua sumber ajaran tertinggi,
yakni al-Quran dan al-Hadith, semakin terserlah mutakhir ini.
Bagaimana pun, ia tidak terlepas daripada unsur-unsur
yang mampu memesongkan matlamat suci itu. Tanpa sedar, ada teman-teman itu
terjebak dengan “fitnah besar” terhadap agama. Paling banyak dan paling mudah
berlaku ialah dengan mengongsikan paparan-paparan yang mendustakan Rasulullah
saw! Astaghfirullah al-Azim, bagaimana mungkin hal ini berlaku?
Elok saya jelaskan latarbelakangnya. Bahawa di antara
cabaran atau pemesongan paling bahaya terhadap ajaran Islam ialah wujudnya
fitnah dan gerakan pemalsuan hadith. Pelakunya mendakwa sesuatu rangkap kata
itu sebagai sabda Rasulullah saw, sedangkan sebenarnya ia bukan dari Baginda
saw.
Kajian dibuat para ulama Islam dan para pengkaji hadith
menunjukkan banyak hadith palsu mula direka selepas berlakunya pergolakan pada
akhir zaman Khulafa ar-Rasyidin. Walau pun para ulama sejak zaman itu telah
bangkit menentang fitnah itu, namun penyebaran hadith-hadith palsu terus juga
berlaku, sama ada angkara musuh-musuh Islam yang menyamar sebagai orang Islam,
mahu pun oleh orang-orang Islam yang jahil atau orang-orang yang mempunyai
kepentingan peribadi.
Sehingga kini hadith-hadith maudhu’ (palsu) dan yang
sebangsa dengannya masih tersebar meluas di kalangan masyarakat Islam serata
dunia. Bahkan, rangkap-rangkap sebegini banyak dijadikan sandaran dalam
urusan-urusan ibadat dan pegangan hidup umat Islam, tidak terkecuali di negara
kita sendiri. Sedangkan menjadi satu kesalahan besar menyebar dan mengamalkan
hadith-hadith maudhu’ dalam apa jua urusan hidup. Bahkan, kesesatan umat Islam dikenalpasti
berpunca dari kepalsuan ini.
Malangnya, saya dapati laman facebook kini menjadi antara medan paling mudah menyebarkan
hadith-hadith sedemikian. Dengan petikan yang dianggap sandaran kuat, ditambah
pula dengan rekaletak yang menarik beserta gambar hiasan yang menyedapkan mata
memandang, maka mudahlah bagi kita yang terasa dekat hati dengan mesej-mesej
berunsur agama ini memanjangkan pula paparan itu kepada teman-teman.
Di kala itu, tanpa disedari kita bukan sahaja telah
menyebarkan maklumat tidak benar berhubung ajaran atau hukum agama, bahkan
lebih teruk lagi kita telah menyebarkan pendustaan terhadap Rasulullah saw. Wa na’uzubillahi min zaalik.
Maka ada baiknya kita mengambil sikap lebih berhati-hati
dan memeriksa status kesahihan hadith-hadith ditemui. Contohnya, jika terbaca
sesuatu petikan yang sekadar menyebut kononnya Rasulullah saw suka memakan buah
itu, makanan ini, atau mendakwa Nabi saw berkata begian-begian, tanpa menyebut
siapa perawinya, maka seeloknya tangguhkanlah niat mengongsikan paparan
sebegitu.
Ingatlah amaran keras Baginda saw terhadap sesiapa
yang sengaja mendustainya dengan mencipta sesebuah rangkap kata lalu
menisbahkannya kepada Baginda (maksudnya): “Sesiapa
yang sengaja mendustaiku, maka hendaklah ia menempati tempat duduknya di
neraka.” (HR Bukhari dan Muslim)
Semoga kita tidak tergolong di kalangan mereka
yang mendustai Rasulullah saw.
(Artikel ini adalah pengisi kolum 'Coretan Ketua Pengarang', Majalah ERA Muslimah Bil. 19, 15 Oktober 2013, dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment