Muqoddimah
TIDAK munasabah rasanya andai
kedapatan seseorang individu yang mendalami ilmu tafsir al-Quran, tetapi tidak
mengenali atau mengetahui nama Imam Ibnu Katsir. Selaku pengarang kitab tafsir
al-Quran yang paling popular dan dikatakan menjadi kitab rujukan paling meluas
di kalangan penelaah ilmu tafsir, nama itu bagaikan meniti di bibir umat Islam.
Latardiri
Nama sebenar Imam Ibnu Katsir
ialah Abul Fida’ Imaduddin Ismail bin Umar bin Katsir al-Qurasyi al-Bushrawi.
Gelaran al-Bushrawi adalah dibahasakan kepada kota Basrah, Syam, di mana beliau
dilahirkan. Lebih tepat, kelahirannya ialah di Mijdal, sebuah penempatan di
kota Basrah. Tarikh kelahirannya dicatatkan pada tahun 701H. Mengenai tarikh
ini, ada penulis mencatatnya bersamaan 1302M dan ada juga sebagai 1301M.
Ayahnya, seorang khatib di kota
itu, meninggal ketika beliau berusia 4 tahun. Beliau diasuh bapa saudaranya,
Syaikh Abdul Wahab. Dialah yang mendidiknya di usia kecilnya, sebelum berpindah
ke Damsyik, Syam pada tahun 706H, yakni dalam usia 5 tahun.
Guru-gurunya
Ibnu Katsir sempat berguru
dengan sebilangan ilmuan Islam dalam pelbagai bidang, seumpama ilmu al-Quran, ilmu
hadith, sejarah, fikah dan lain-lain. Direkodkan beliau mula belajar kepada
Syaikh Burhanuddin Ibrahim bin Abdir-Rahman al-Fazari, yang terkenal dengan
nama Ibnul Farkah (wafat pada 729H).
Beliau juga menuntut dengan Isa
bin al-Muth’im, Ahmad bin Abi Talib, yang juga terkenal dengan nama Ibnusy
Syahnah (w. 730H), Ibnul Hajar (w. 730H), Bahauddin al-Qasim bin Muzhaffar Ibnu
Asakir, muhaddith negeri Syam (w. 723H), Ibnu asy-Syirazi, Ishaq bin Yahya
al-Amidi Afifuddin – ulama Zahiriyah (w. 725H) dan Muhammad Ibnu Zarrad.
Ibnu Katsir turut menyertai pengajian
oleh Syaikh Jamaluddin Yusuf bin az-Zaki al-Mizzi (w. 742H), seorang ahli
hadith terkemuka di Syria. Beliau mendapat banyak faedah dan menimba ilmu daripada
ulama besar ini. Syaikh Jamaluddin kemudiannya menikahkan Ibnu Katsir dengan
puterinya.
Beliau juga belajar dari
Syaikhul Islam Taqiyyuddin Ahmad bin Abdil Halim bin Abdis Salam bin Taimiyah
(w. 728H), atau lebih dikenali sebagai Ibnu Taimiyah. Guru-gurunya yang lain
ialah Syaikh al-Hafiz, seorang ahli sejarah, Syamsuddin Muhammad bin Ahmad bin
Uthman bin Qayimaz adz-Dzahabi (w. 748H). Manakala di antara ulama Mesir yang
memberi beliau ijazah dalam pengajiannya ialah Abu Musa al-Qarafi, Abul Fath
ad-Dabbusi dan Ali bin Umar as-Suwani.
Ibnu Katsir juga sempat mendengar hadith-hadith secara langsung daripada
ulama-ulama Hijaz serta memperoleh ijazah dari mereka.
Sanjungan atas keilmuannya
Kealiman dan kesolehan sosok Ibnu Katsir telah diakui para ulama dan
pembesar di zamannya mahu pun khalayak sesudahnya. Pada tahun 1366, Gabenor
Mankali Bugha telah melantik Ibnu Katsir menjadi guru utama di Masjid Umaiyah,
Damsyik.
Berkata Al-Hafiz Adz-Dzahabi mengenai
Ibnu Katsir: “Beliau seorang imam lagi pemberi fatwa, muhaddith yang pakar,
faqih yang berwawasan luas, mufassir dan pemilik banyak tulisan yang bermanfaat”
(dalam al-Mu’jam al-Mukhtash).
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani
pula berkata: “Beliau (Ibnu Katsir) selalu menyibukkan diri dengan hadith,
menelaah matan dan rijal hadith. Beliau adalah orang yang memiliki hafalan yang
banyak, cerdas akal, menghasilkan banyak karya dan telah memberikan manfaat
yang sangat banyak kepada orang-orang sepeninggalannya” (dalam ad-Durar al-Kaaminah).
Abul Mahasin Jamaluddin Yusuf
Ibnu Saifuddin yang terkenal dengan nama Ibnu Taghri Bardi, seorang ahli
sejarah, berkata: “Beliau adalah ulama yang banyak berkarya, mengaut ilmu, mengumpul,
mengarang, mengajar, menyampaikan hadith dan menulis. Beliau memiliki penelaahan
yang luas dalam ilmu hadith, tafsir, fikih, bahasa Arab dan ilmu-ilmu lainnya.
Beliau mengeluarkan fatwa dan mengajar hingga wafat, semoga Allah merahmati
beliau. Beliau dikenali sebagai ulama yang memiliki hafalan yang kuat dan
tulisan yang bagus. Ia telah mencapai puncak dalam ilmu sejarah, hadith dan
tafsir” (dalam kitabnya al-Manhalush
Shaafii wal Mustaufa ba’dal Waafi).
Salah seorang muridnya, Syihabuddin bin Hajji pula dipetik berkata:
“Beliau adalah seorang yang paling kuat hafalannya yang pernah aku temui,
terutama tentang matan hadith, dan paling mengetahui cacat hadith serta status
para perawinya. Hal itu diakui para sahabat dan gurunya. Ketika bergaul
dengannya, aku selalu mendapat manfaat darinya.”
Ibnul Imad al-Hanbali berkata:
“Hafalannya banyak dan jarang lupa, pemahamannya baik, ilmunya dalam bahasa
Arab sangat tinggi” (dalam kitabnya Syadzaraatudz
Dzahab fii Akhbaari Man Dzahab).
Ibnu Habib pula berkata: “Dia
mendengar riwayat, mengumpulkan, menulis, mengeluarkan fatwa, menyampaikan
hadith, memberi banyak faedah, dan lembaran-lembaran fatwanya tersebar ke
berbagai negeri. Dia dikenali dengan kekuatan hafalan dan kebagusan karyanya.”
Tulisan-tulisannya
Hasil karya Imam Ibnu Katsir
tersangatlah banyak. Di antara yang utama ialah:
1.
Kitab tafsir
al-Quran yang terkenal yang bernama Tafsir
Ibnu Katsir. Hingga kini, kitab tafsir 10 jilid ini masih menjadi bahan rujukan utama
di seluruh dunia. Para ulama
mengatakan bahawa Tafsir Ibnu Katsir
adalah sebaik-baik tafsir yang ada di zaman ini, terbesar dan tersahih, kerana
ia memiliki berbagai keistimewaan. Ia telah
diterbitkan berulang kali dan telah diringkaskan oleh ramai ulama.
a.
Menafsirkan ayat al-Quran dengan al-Quran sendiri.
b.
Bagi yang tidak ditemui
penafsiran al-Quran dengan ayat al-Quran, beliau menafsirkannya dengan hadith
Nabi Muhammad saw. Sememangnya diakui al-Quran sendiri bahawa di antara tugas
Baginda saw ialah untuk menerangkan maksud kandungan al-Quran.
c.
Jika tidak didapati hadith
Nabi saw, maka al-Quran harus ditafsirkan oleh pendapat para Sahabat, kerana
merekalah orang yang paling mengetahui keadaan semasa turunnya ayat-ayat
tertentu dari al-Quran.
d.
Setelah itu, barulah pendapat
dari para Tabien dapat diambil, disusuli pendapat Tabiet Tabien, kemudian
dengan keilmuannya terhadap kaedah-kaedah bahasa Arab.
Di samping itu, Ibnu Katsir juga menulis buku Fada'il Al-Quran
(Keutamaan Al-Quran), yang memuatkan ringkasan sejarah al-Quran.
2.
Kitab sejarah yang
dinamakan al-Bidaayah, terdiri dari
14 jilid, dengan judul al-Bidaayah wan
Nihaayah (Permulaan dan Akhir) atau nama lainnya Tarikh Ibnu Katsir. Di dalamnya
disebutkan tentang kisah-kisah para nabi dan umat-umat terdahulu, sejarah Islam
hingga zamannya, ditambah dengan pembahasan tentang fitnah dan tanda-tanda hari
Kiamat serta keadaan pada hari Akhirat. Kitab ini telah ditahqiq oleh ramai
ulama.
3.
Kitab At-Takmiil fii Ma’rifatith Thiqaat
wadh-Dhu’afaa’ wal-Majaahil (Pelengkap dalam Mengetahui
Perawi-perawi yang Dipercaya, Lemah dan Kurang Dikenal). Di dalamnya terangkum dua kitab dari tulisan guru beliau, iaitu al-Mizzi
dan adz-Dzahabi (Tahdziibul Kamaal fii
Asmaa-ir Rijaal dan Miizanul I’tidaal
fii Naqdir Rijaal) dengan disertai beberapa tambahan yang bermanfaat dalam masalah
al-Jarh wat-Ta’diil.
4.
Kitab Al-Hadyu was Sunan fii Ahaadiithil Masaaniid
was Sunan (Kitab Penghimpun Musnad dan Sunan) sebanyak lapan jilid, dan dikenal dengan nama Jaami’
al-Masaaniid. Ia memuatkan nama-nama sahabat yang banyak
meriwayatkan hadith. Di dalamnya terangkum Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal,
al-Bazzar, Abu Ya’la al-Mushili, Ibnu Abi Syaibah, beserta Kutubus Sittah, iaitu Shahih
al-Bukhari dan Shahih Muslim
serta kitab Sunan yang empat. Beliau menyusunnya berdasarkan bab-bab fikih dan
telah dicetak beberapa juz darinya.
5.
Thabaqaat asy-Syafi’iyyah (Peringkat-peringkat Ulama Mazhab Syafie) yang disertai biografi Imam asy-Syafie rahimahullah.
6.
Beliau mentakhrij
hadith-hadith yang digunakan sebagai dalil dalam kitab at-Tanbiih fii Fiqh asy-Syafi’iyyah.
7.
Beliau memulai
penulisan Syarah Shahih al-Bukhari tetapi
tidak sempat menyelesaikannya.
8.
Ringkasan kitab al-Madkhal, karya al-Baihaqi dan
sebahagian besar belum diterbitkan.
9.
Beliau meringkaskan
kitab Ulumul Hadith karya Abu Amr bin
ash-Shalah, yang beliau beri judul Mukhtasar
Ulumul Hadith. Ia dicetak oleh Syaikh Ahmad Muhammad Syakir rahimahullah,
seorang ahli hadith dari Mesir disertai penjelasan dari beliau dan diberi judul
al-Baa’itsul Hathiith fii Syarh Mukhtasar
Ulumul Hadith, dan telah dicetak beberapa kali.
10.
As-Siirah an-Nabawiyyah yang panjang (bahagian dari kitab al-Bidaayah)
dan ringkasannya, keduanya diterbitkan dalam cetakan yang berbeza.
11.
Risalah dalam
masalah jihad yang diberi judul al-Ijtihaad
fii Thahabil Jihaad (Ijtihad Dalam Mencari Jihad) dan telah dicetak berulang kali.
Kematiannya
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani
rhm berkata, “beliau (Ibnu Katsir) kehilangan penglihatan di akhir hayatnya dan
wafat di Damsyik, Syam pada 774H/1373M. Ada penulis mencatatkan tarikh tersebut
sebagai 1372M. Jenazah Ibnu Katsir dikebumikan di samping makam gurunya, Ibnu Taimiyah.
Semoga Allah mencurahkan rahmat seluas-luasnya kepada
beliau dan menempatkan beliau di syurga-Nya yang luas. – Mohd Nasir Awang
Rujukan:
-
Biografi Penulis
(Ibnu Katsir), oleh Fadhilatusy Syaikh Abdul Qadir al-Arnauth hafizahullah pada
pengantar Shahih Tafsir Ibnu Katsir
oleh Shaikh Shafiyyurrahman al-Mubarakfuri, Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta, 2011.
-
http://solihin87.abatasa.co.id/post/detail/9415/biografi-ibnu-katsir
((Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Bil. 18 (15 Oktober 2013) di kolum "ULAMA
PEWARIS NABI" dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment