Assalamu’alaikum warahmatullah,
MUNGKIN ada di antara para pembaca sekalian yang sempat
menatap laporan sebuah harian nasional pada 11 November lalu, yang menyiarkan
laporan seorang suami menyaman isterinya kerana melahirkan bayi yang hodoh. Ya,
sepintas lalu tindakan itu bunyinya agak keterlaluan. Ia malah segera
mengundang tanggapan serong terhadap si suami. Apatah lagi sekiranya andaian
itu dibuat semata-mata berdasarkan tajuk laporan berkenaan, “Lelaki dapat anak
hodoh saman isteri”.
Lalu akan ada yang membuat kesimpulan mudah, bahawa
lelaki berkenaan terlalu egois, mementingkan diri sendiri, menganggap dirinya
sempurna dan hanya tahu menyalahkan isteri di atas kekurangan yang ditakdirkan
kepada anak mereka. Sedangkan, apa pun keadaan yang terbentuk pada seseorang
anak, sama ada fizikal mahu pun mentalnya seringkali dikaitkan secara
biologikalnya dengan sifat-sifat yang ada pada kedua-dua ibubapanya.
Justeru, jika berlaku apa-apa kekurangan pada si anak
yang baru dilahirkan, apakah adil untuk hanya meletakkan kesalahan itu pada
isteri (ibu si anak)? Bukankah si bapa juga secara genetiknya turut “ada saham”
dalam pembentukan fizikal dan mental anak tersebut?
Tanggapan awal agak negatif terhadap lelaki itu bagaimana
pun tidak berpanjangan. Membaca sinopsis kes yang ditonjolkan mendahului
laporan itu, serta dibantu dua keping foto seorang perempuan yang memaparkan
dua rupa yang sangat berbeza, memudahkan setiap pembaca memulangkan nilaian
lebih adil kepada si suami.
Baca sinopsis itu, “Diberi
RM375,000 pasangan tak beritahu jalani pembedahan plastik”. Manakala
keterangan di sisi dua foto itu menyebut, “Wajah
sebelum dan selepas pembedahan isteri Jian Feng”. Seperti yang telah
disebutkan, perbezaan hodoh-jelita antara dua wajah itu memang tersangat
ketara.
Menurut fakta kes, seorang lelaki China naik berang pada
kali pertama melihat bayi sulung yang baru dilahirkan isterinya, yang
dianggapnya sangat hodoh. Sedangkan isterinya memiliki rupa paras yang jelita.
Hal itu mengundang pelbagai syak wasangka. Beliau mulanya
tidak percaya bayi itu dilahirkan isterinya (mungkin bayi orang lain?). Apabila
si isteri bertegas memang bayi itu dia yang lahirkan, timbul pula prasangka
pada si suami kemungkinan ia hasil hubungan sulit si isteri dengan lelaki lain
(yang lebih hodoh daripadanya, barangkali?).
Ketegangan antara mereka memaksa si isteri mendedahkan
perkara sebenar. Kejelitaannya itu adalah hasil pembedahan plastik dijalaninya
sebelum mereka berkahwin (atau bertemu).
Berang kerana merasa tertipu oleh “kejelitaan palsu”itu, Jian
Feng menyaman isterinya. Laporan itu memetik katanya di mahkamah, “saya
berkahwin dengannya kerana menyintainya (terutama kerana kejelitaannya?),
tetapi sebaik saja bayi itu dilahirkan kami sering bergaduh. Anak kami sangat
hodoh hingga saya sendiri rasa takut melihatnya”.
Mahkamah bersetuju dengan pandangan dan tuntutan Feng. Hakim
memutuskan si isteri telah menipu si suami dengan rupa paras palsu itu hingga
menyebabkan mereka berkahwin.
Si isteri diarahkan membayar pampasan bernilai RM375,000
kepada si suami kerana tidak memberitahunya mengenai pembedahan plastik itu. Pasangan
itu turut dibenarkan bercerai.
Intipati kes ini ialah bahana wanita merahsiakan
kecacatan atau kekurangan diri, terutama apabila hal itu sangat dititikberatkan
oleh bakal suaminya. Dalam kes ini ialah soal rupa parasnya.
Kes ini berlaku di China. Sepintas lalu kita mungkin
menganggap ia tidak ada kena-mengena dengan ajaran Islam. Namun, sayugia
diingat bahawa agama kita juga sebenarnya amat menitikberatkan hal-hal seumpama
ini. Bahawa seorang wanita yang bakal dinikahi seorang lelaki sangat tidak
sayugia merahsiakan apa-apa kecacatan atau kekurangan pada dirinya, sama ada
yang bersifat fizikal mahu pun mental, menjadi antara maudhuk penting dalam
membicarakan soal nikah-kahwin dan kerukunan hubungan suami-isteri.
Contoh terbaik buat kita umat Islam sudah tentulah apa
yang telah diwariskan oleh Junjungan Besar Muhammad saw. Terdapat beberapa
hadith menerangkan titikberat Islam terhadap isu ini. Antaranya, sepertimana
diriwayat dari al-Hakim, dari Zaid bin Kaab bin Ujrah, dari ayahnya, ia
berkata: “Rasulullah saw menikah dengan
al-‘Aliyah dari Bani Ghifar. Setelah ia masuk ke bilik Rasulullah dan
menanggalkan pakaiannya, Baginda melihat di pinggangnya ada belang putih. Lalu
Baginda bersabda, ‘kenakan kembali pakaianmu dan temuilah (kembalilah kepada)
keluargamu’. Baginda menyuruh agar wanita itu diberi maskahwin”.
Hadith ini dipetik Imam Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam
kitabnya yang masyhur, Bulughul Maram,
bab ‘Cacat yang membolehkan talak’.
Turut dimuatkan dalam bab sama ialah sebuah hadith dari
Said bin al-Musayyib, bahawa Umar bin al-Khattab ra berkata: “Setiap lelaki
yang menikahi seorang wanita, dan setelah menggaulinya ia mendapati isterinya
itu berkudis, atau gila, atau terserang penyakit lepra, maka (sekiranya
ditalak) bagi si isteri berhak mendapatkan maskahwin kerana ia telah disentuh
oleh suaminya itu. Dan tanggungjawab maskahwin tersebut menjadi kewajiban orang
yang telah menipunya.”
Keseriusan pembicaraan hal ini malah turut menyentuh
perihal hubungan seksual antara suami-isteri. Sehinggakan Islam mengharuskan
berlaku perceraian apabila wujud unsur penghalang persetubuhan yang memuaskan,
sama ada disebabkan kecacatan si isteri mahu pun ketidakmampuan si suami.
Segala yang diperkatakan ini menjuruskan kita kepada satu
kesimpulan bahawa tidak sepatutnya wujud keadaan rahsia-merahsiai di antara
suami dengan isteri. Lebih-lebih lagi sekiranya rahsia itu melibatkan sesuatu
yang sangat dititikberatkan oleh pasangan, yang sekira-kira andainya ia
diketahui sebelum berkahwin, besar kemungkinan ikatan berumahtangga itu tidak
diteruskan.
Semoga kita semua dapat memungut iktibar dari apa yang
dipaparkan. Wassalam.
Mohd Nasir Awang
Ketua Pengarang PDDSB
(Artikel ini mengisi kolum CORETAN KETUA PENGARANG majalah ERA Muslimah Bil. 12 yang terbit Disember 2012)
Maaf, tapi saya kurang yakin akan peristiwa dimana Rasulullah kelihatan terlalu memandang kejelitaan. Takkan lah terus suruh kembali kepada keluarga hanya kerana ada belang putih tu?
ReplyDelete