Oleh: Siti Nur Amirah Fauzi & Mohd Nasir Awang
Muqoddimah
Perang Al-Qadisiyah adalah antara perang besar dan
penting dalam sejarah Islam. Ia berlaku di zaman pemerintahan Khalifah Umar bin
al-Khattab ra, pada 14 Hijrah. Ia berlangsung selama empat hari, menyaksikan
pertempuran antara tentera Islam dipimpin Saad bin Abi Waqqas menentang tentera
Parsi dipimpin komander terkenal, Rustam.
Kekuatan ketenteraan antara kedua-dua pihak sangat jauh berbeza.
Sementara tentera Islam berjumlah hanya antara 33 ke 39 ribu, pasukan Parsi
pula dianggarkan berjumlah lebih 220 ribu orang. Tentera Parsi turut dilengkapi
33 ekor gajah.
Ia tercatat sebagai peperangan yang memakan jumlah korban
paling ramai di kalangan tentera Islam, iaitu mencecah 8,500 syuhada. Pun
begitu, umat Islam tetap memperolehi kemenangan, terutama setelah dengan kuasa
Allah berlaku ribut pasir yang mengkucar-kacirkan pertahanan tentera Parsi.
Mereka dapat dikalahkan dan turut terbunuh ialah komander terkenal mereka,
Rustam.
Delegasi Islam Menemui Rustam
Namun, sepertimana lazimnya diamalkan tentera Islam dalam
mana-mana peperangan, sebelum berlakunya pertempuran sebenar, mereka akan
menghantar delegasi menemui pemimpin musuh. Kunjungan itu antara lain bertujuan
mengemukakan tawaran damai dan mengelakkan pertempuran.
Selalunya pihak Islam menawarkan tiga bentuk penyelesaian;
pertama, musuh diseru memeluk Islam, jika diterima mereka dibenar meneruskan
kehidupan biasa; kedua, menyerah kalah dan bersetuju membayar jizyah (cukai
perlindungan) kepada kerajaan Islam; atau ketiga, menghadapi peperangan.
Di atas maksud itu, Khalifah Umar mengarahkan Saad
menghantar panglimanya menemui Rustam. Kebetulan pula di masa yang sama Rustam turut
menghantar pesanan kepada Saad, “hantarkan wakil kepada kami untuk berbincang.”
Ketika itu Rustam bersama bala tenteranya telah mara ke
hadapan mendekati bandar al-Qadisiyah. Mereka mendirikan khemah berdekatan
Al-‘Atiq, iaitu jambatan Qadisiyah yang letaknya bersetentang dengan khemah
tentera Islam. Kedua-dua pasukan tentera ini dipisahkan hanya oleh sungai.
Saad telah menghantar panglimanya, Rubaie bin Amir untuk
tugasan itu. Apabila beliau masuk bertemu Rustam, beliau melihat Rustam duduk
di atas takhta yang dibuat daripada emas, termasuklah kusyen dan permaidani ditenun
dengan benang emas.
Rubaie tidak terus turun dari kudanya, sebaliknya dengan
pedang serta lembing terhunus, Rubaie membiarkan kudanya berjalan di atas
permaidani yang bertenun emas itu. Beliau turun dari kudanya, menebuk permaidani
dan kusyen di hadapan Rustam, serta mengikat kudanya di situ.
Tentera Parsi yang melihat perbuatan itu merasa agak
tercabar. Mereka lantas menyuruh Rubaie menanggalkan senjatanya, tetapi dijawab
tegas olehnya, “andainya aku yang datang kepadamu, aku akan patuhi, tetapi kamu
yang memanggilku untuk datang ke sini.”
Lalu beliau dengan sengaja menyeret lembingnya sehingga
merosakkan permaidani seraya berjalan menghampiri Rustam. Kemudian beliau duduk
di atas tanah dan memacakkan lembingnya di atas permaidani, lalu berkata, “kami
tidak akan duduk di atas barang perhiasan kamu.”
Rustam bertanya, “apa tujuan kamu datang ke mari?”
Rubaie menjawab dengan ucapannya yang masyhur, “Allah
yang menghantar kami ke mari, untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang
dikehendaki, daripada perhambaan terhadap manusia kepada perhambaan terhadap
Allah; daripada kesusahan dunia kepada keselesaan; dan daripada penindasan agama-agama
(yang palsu) kepada keadilan Islam. Untuk itu, Allah telah menghantarkan kepada
kami Utusan-Nya untuk semua makhluk-Nya. Sesiapa yang menerima seruannya, kami
akan menerimanya dan kami akan biarkan dia dan tanahnya bebas. Sesiapa yang
mengabaikan seruannya, kami akan
memeranginya sehingga kami mendapat kemenangan atau syurga.”
Rustam berkata, “kami telah mendengar apa yang kamu nak
beritahu, bolehkah kamu berikan kami tempoh untuk kami pertimbangkannya?”
Rubaie menjawab, “ya, Rasulullah saw telah mengajar kami
supaya tidak membenarkan tempoh itu melebihi tiga hari. Kami tidak akan mengapa-apakan
kamu selama tiga hari. Fikirkan perkara ini dan pilih satu antara tiga pilihan
ini, iaitu; Islam - jika kamu memilihnya, kami akan bebaskan kamu dan tanah
kamu; atau bayar cukai jizyah - kami akan terima tanpa mengapa-apakan kamu dan
apabila kamu memerlukan kami, kami akan melindungi kamu; atau, peperangan
secara terbuka pada hari yang keempat, kecuali kamu menyerang kami sebelum hari
tersebut. Aku akan bertanggujawab ke atas sahabat-sahabatku.”
Rustam berkata, “adakah kamu ini ketua mereka?” Dia
menjawab, “tidak, orang Islam adalah seperti satu badan, kami saling memiliki
antara satu sama lain dan anggota bawah badan mewakili anggota yang lebih
tinggi.”
Kemudian beliau pulang, meninggalkan Rustam dan para
pengiringnya. Rustam bertanya kepada mereka, “pernahkah kamu dengar sesuatu
seperti ini sebelum ini?” Apabila para pegawai istananya memperkecilkan
penampilan Rubaie, Rustam menjerit, “celaka kamu! Aku bercakap tentang
kebijaksanaan beliau, ucapan dan wataknya. Orang Arab tidak peduli tentang
penampilan mereka berbanding keturunan mereka!”
Ya, terbukti hingga tahap itu Rustam telah mula terganggu
dengan perwatakan dan ucapan panglima Islam itu. Lalu keesokan harinya, Rustam
menghantar pesanan lagi kepada Saad, “hantar semula lelaki semalam kepada
kami.”
Namun, kali ini Saad menghantar pula Huthaifah bin Mihsin
Al-Ghalafani. Tingkah laku ditunjukkan beliau sama juga seperti Rubaie.
Rustam bertanya, “mengapa tidak orang yang sama datang
kepada kami?” Huthaifah menjawab, “komander kami melayan kami sama rata, dalam
kesusahan mahu pun kesenangan. Kali ini giliran aku.”
Rustam bertanya, “bilakah tempoh (perundingan) akan
tamat?” Huthaifah menjawab, “pada hari yang ketiga, bermula semalam.”
Hari berikutnya, sekali lagi Rustam meminta Saad untuk
menghantar utusan kepadanya. Kali ini Al-Mughirah bin Shu’bah pula yang pergi.
Al-Mughirah duduk di atas takhta bersebelahan Rustam, yang mendorong pegawai-pegawai
istana menariknya turun (kerana menyalahi adat mereka).
Al-Mughirah berkata kepada mereka, “kami pernah mendengar
cerita tentang kehebatan kamu tetapi aku tidak pernah melihat orang yang lebih
bodoh daripada kamu semua. Kami orang Arab tidak menghambakan satu sama lain
melainkan ada peperangan di kalangan kami. Aku fikir kamu juga mengasihani
orang-orang kamu. Namun, apa yang aku lihat adalah sebahagian kamu menjadi tuan-tuan
kepada sebahagian yang lain. Biar aku beritahu kepada kamu bahawa bukan aku
yang mahu datang kepadamu, tetapi kamu yang menjemput aku ke mari. Aku nampak
bahawa kamu sudah dikalahkan dan kamulah raja yang ada otak yang tidak sejajar
dengan perwatakan!”
Orang ramai yang hadir di pertemuan itu berkata,
"demi tuhan, orang Arab ini telah memberitahu satu kebenaran." Beberapa
pemimpin kampung pula berkata, "dia berkata sesuatu yang menarik perhatian
para hamba. Semoga tuhan mencela orang-orang yang terdahulu daripada kami!
Mereka telah mempengaruhi kita supaya percaya bahawa negara ini tidak
penting."
Rustam kemudian membuat ucapan memperkecilkan orang-orang
Arab dan mengagungkan kebesaran bangsa Parsi. Dia turut mendakwa bahawa
orang-orang Arab hidup dalam keadaan yang amat dhaif, sehinggalah beberapa
ketika yang terdekat ini.
Al-Mughirah membalas:
"Apa yang kamu nyatakan tentang kedhaifan hidup kami
dan konflik dalaman kami adalah benar dan kami tidak menafikannya. Itulah dunia
- kesusahan diikuti dengan kesenangan. Jika kamu berterima kasih kepada Allah Yang
Maha Kuasa untuk apa yang telah diberikan-Nya kepada kamu, maka kesyukuran kamu
itu jauh ketinggalan berbanding dengan apa yang Allah telah kurniakan. Walau bagaimana
pun, kurangnya kesyukuran kamu kepada Allah akan mengubah nasib kamu. Allah
menghantar kepada kami Rasul-Nya ... "
Dan beliau memberitahu perkara yang sama seperti dua panglima
sebelumnya, dan mengakhiri ucapannya dengan memberi pilihan kepada mereka
antara Islam, cukai dan peperangan.
Apabila Al-Mughirah
pergi, Rustam berkata kepada orang Parsi, "Bagaimana kamu
membandingkan mereka dengan diri sendiri? Bukankah dua yang sebelum ini datang
dan bercakap kepada kamu dengan bijaksana? Mereka tidak berbeza daripada satu
sama lain dan mereka mempunyai cara yang sama . Demi tuhan, ini adalah lelaki! Sama
ada mereka adalah pendusta atau benar, demi tuhan, jika mereka begitu teliti
dalam adab dan menjaga rahsia dan mereka tidak berbeza daripada satu sama lain,
maka tiada siapa yang boleh mengatasi ketelitian mereka. Jika mereka
orang-orang yang benar, maka demi tuhan tiada apa yang boleh menghalang mereka!"
Kenyataan ini menyebabkan suasana riuh-rendah di ruang
perjumpaan itu.
Rustam takut dengan panggilan azan
Dalam menunggu berakhir tempoh rundingan itu, Rustam
menghantar perisik ke kem Islam. Pengintip tersebut menyamar dirinya sebagai
seseorang yang telah berpaling tadah dari sebelah Parsi. Dia melihat tentera Islam
menggunakan siwak untuk membersihkan mulut mereka pada setiap waktu solat,
kemudian bersolat.
Sekembalinya kepada Rustam dia memberitahu tentang
tingkah-laku musuh itu. Rustam bertanya jenis makanan yang tentera Islam makan.
Pengintip itu menjawab, "saya tinggal semalaman bersama mereka, dan saya
tidak melihat mereka makan apa-apa kecuali mereka menghisap batang kayu (siwak)
pada waktu malam, sebelum tidur dan sebelum fajar."
Ketika berjalan-jalan di sekitar perkhemahan tenteranya, Rustam
mendengar panggilan azan untuk solat Subuh dari kem tentera Islam di seberang
sungai. Beliau melihat tentera Islam bergegas mengatur diri dalam barisan (saf
solat).
Rustam yang tersangat gementar dengan seruan itu segera
mengarahkan tenteranya untuk bersiap sedia. Apabila ditanya oleh tenteranya,
beliau berkata, "tidakkah kamu melihat bahawa musuh (tentera Islam) telah
melaungkan seruan perang dan kini mereka sedang bersiap sedia?" Pengintip
yang sama menjelaskan, "mereka sedang bersiap sedia untuk solat."
Rustam yang tidak berpuashati lantas berteriak, "aku
mendengar bunyi pada waktu pagi, itu mesti Umar yang bercakap kepada
anjing-anjingnya, mengajar mereka untuk menjadi pintar. Apabila mereka
melaungkan seperti ini bermakna mereka bersedia untuk perang.”
Apabila muazzin sekali lagi melaungkan azan untuk solat Zohor,
Rustam mengeluh,"aku rasa seperti Umar telah mengunyah-ngunyah hatiku!"
Rujukan: The Biography of ‘Umar
Ibn Al-Khattab ra, Vol. 2, Dr. ‘Ali Muhammad Muhammad As-Sallaabee. Maktaba
Darus-Salam, 2010. London.
(Artikel ini mengisi kolum SECEBIS KISAH majalah Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 11, yang terbit Disember 2012)
No comments:
Post a Comment