Wednesday, December 26, 2012

Pelaksanaan Undang-Undang Islam butuhi kepekaan setiap mukallaf


PERBINCANGAN dan perbahasan berhubung keperluan melaksanakan Undang-Undang Islam bukan lagi suatu yang dianggap asing mutakhir ini. Jika suatu ketika yang tidak lama dahulu seruan dan perjuangan ke arah menegakkan hukum dan peraturan agama dalam kehidupan manusia dianggap kes terpencil, malah disempitkan sebagai agenda sesuatu pihak tertentu sahaja, kini suara menuntut pelaksanaannya agak menyeluruh.

Ia dikumandangkan pelbagai pihak, sama ada pertubuhan Islam, parti politik, ahli akademik mahu pun aktivis masyarakat, yang sedar akan tuntutan melaksanakannya. Bahkan, demi kesejahteraan hidup, ada juga khalayak bukan Islam bersetuju agar Undang-Undang Islam didaulatkan.

Buku “Undang-Undang Islam dan Kewajipan Melaksanakannya” ini menyajikan huraian dan penjelasan agak detil mengenai perkara pokok undang-undang dimaksudkan. Keilmuan penulisnya dalam membicarakan hukum dan perundangan Islam, yang sudah dimaklumi umum dan tidak dipertikaikan, menjadi faktor penting meyakinkan para pembaca terhadap setiap butir pembicaraan dipaparkannya.

Beliau memulakan perbincangan dengan membentangkan pengerti Islam, serta kandungan dan keistimewaan agama suci ini. Sesudah pembaca diyakinkan dengan hakikat itu, barulah penulis mengajak pembaca memahami beberapa aspek pokok Undang-Undang Islam. Ia dimulai dengan mendalami pengertian undang-undang itu, diikuti kandungan, keistimewaan dan kelebihannya, yang sudah tentu menambahkan keyakinan terhadap kewibawaannya mentadbir hidup manusia.

Penulis turut menyenaraikan satu-persatu sumber-sumber Perundangan Islam, diikuti huraian berhubung beberapa tahap perintah dan kewajiban melaksanakannya.

Perbahasan tambah menarik apabila penulis dengan tegas dan panjang lebar mengupas akibat-akibat yang menimpa umat Islam khususnya, dan dunia amnya, ekoran tidak melaksanakan Undang-Undang Islam.

Sebagai kesimpulannya, penulis menekankan bahawa setiap mukallaf mesti peka terhadap tuntutan pelaksanaan dan penguatkuasaan Undang-Undang Islam. Mereka bukan sahaja perlu ada perasaan bertanggungjawab memenuhi tuntutan itu, malah turut ada perasaan kasih untuk melihatnya didaulatkan. - Editor
 
INFO BUKU:
Judul: Undang-Undang Islam & Kewajipan Melaksanakannya
Penulis: Md. Akhir Haji Yaacub
Penerbit: Pustaka Reka, Kota Bharu, Kelantan
Tarikh diterbitkan: Ogos 1997.

(Artikel ini mengisi kolum RAK BUKU DIAN,majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Edisi 11, yang terbit Disember 2012)

No comments:

Post a Comment