Oleh: Mohd Nasir Awang & Siti Nur Amirah Fauzi
Bukan mudah untuk berubah.
Bahkan, lebih tidak mudah untuk berdepan dengan pelbagai reaksi dan tanggapan serong
masyarakat sekeliling di kala kita memulakan proses perubahan dalam hidup.
Itulah antara kesimpulan
yang dapat kami buat berhubung pengalaman peribadi dilalui sebilangan selebriti
yang pernah kami wawancarai. Setakat ini ruangan KEMBARA IMAN majalah Dian – Ihya as-Sunnah telah
menghidangkan para pembaca dengan kisah hidup penuh berliku lima penggiat seni
tanahair.
Terimakasih kepada
Ustaz Akhil Abdul Hayy yang telah mengisi ruangan ini pada Edisi 1. Juga buat
Iwan Syahman (Edisi 2), Catriona Bahrin Ross (Edisi 4), Dayangku Intan (Edisi
6) dan Abby Abadi (Edisi 8) yang telah sudi berkongsi pengalaman masing-masing,
terutama bagaimana mereka akhirnya terdorong melakukan perubahan dalam hidup.
Kesemua mereka
mengakui pernah menghadapi situasi yang hampir sama, iaitu dipandang serong dan
negatif oleh segelintir anggota masyarakat, tatkala menzahirkan hasrat
melakukan “hijrah” dalam cara dan gaya hidup mereka.
Ada khalayak yang
tidak segan silu mempertikaikan keikhlasan dan kesungguhan mereka mahu berubah.
Ada juga kalangan teman atau rakan rapat serta-merta menjauhkan diri dari
mereka yang mula menampilkan imej yang barangkali “sangat asing” bagi dunia
yang selama ini mereka diami.
Lebih mendukacitakan,
ada yang tergamak melontarkan tanggapan liar kononnya mereka ini berhijrah
semata-mata kerana mengambil kesempatan atas tuntutan kehidupan (faktor sesuap
nasi), atau kerana mengikut trend
semasa (penghijrahan artis), bukannya didorong keinsafan dan keikhlasan kerana
Allah Ta’ala.
Tuduhan sama turut dihadapi
personaliti KEMBARA IMAN edisi ini, Akma AF3. Keputusannya untuk mengubah
penampilan, terutamanya dengan mengenakan hijab lebih setahun lalu, dikatakan
sekadar mengikut trend fesyen semasa
agar kelihatan lebih anggun dan menawan.
“Seharusnya sebagai
masyarakat terutama Muslim, kita memberi sokongan dan membantu orang yang mahu
berubah, bukannya sekadar melempar kata-kata negatif,” demikian ulas Akma.
Beliau bagaimana
pun mengakui tidak terganggu oleh persepsi sedemikian. Sebaliknya, jati diri
yang kuat beserta keyakinan yang tinggi bahawa apa yang dibuatnya bertepatan
dengan ajaran Islam membuatkan beliau mampu mengenepikan kritikan negatif
sebegitu.
Akma dilahirkan
sebagai Asiahtunakma binti Abdullah di Hospital Universiti, Kuala Lumpur, pada
tanggal 9 Mac 1985. Beliau merupakan anak keempat daripada enam beradik.
Ibubapanya, Kharion Tan dan Abdullah bin Hj. Abdul Rahim, masing-masing berasal
dari Teluk Intan dan Kuala Kangsar, Perak.
Sosok yang pernah
menggegarkan pentas hiburan tanahair ini, terutama menerusi rancangan realiti
tv Akademi Fantasia 3 suatu ketika
dulu, mengakui telah mula terlibat dengan bidang seni suara sejak kecil lagi.
Beliau sangat meminati bidang itu, bahkan telah memasuki berbagai pertandingan nyanyian
bermula dari zaman sekolah rendah.
“Tambahan pula
apabila menang akan dapat wang tunai dan sebagainya. Ini membuatkan Akma
seronok... seronok dapat duit hasil usaha sendiri, dan itu berterusan sehingga meningkat
dewasa”, ujarnya, ketika diwawancara baru-baru ini.
Sepanjang penglibatannya di pentas hiburan Akma banyak memasuki
pertandingan nyanyian. Antaranya rancangan Bintang
RTM dan Golden Teen Star bersama
RTM, serta Who Will Win bersama NTV7.
Namun pentas Akademi Fantasia 3
dianggap sebagai platform yang paling besar dan terbaik untuknya. Malah,
program itulah yang telah melonjakkan dirinya ke persada hiburan tanahair.
Kehidupan sebagai artis dalam dunia penuh glamor dan keseronokan itu
bagaimana pun diakuinya kerap menjerumuskan dirinya dalam kecelaruan. Semakin
hari dirinya semakin alpa dan hanyut. Akhirnya kejayaan dinikmatinya itu, yang
pada awalnya turut menjadi kebanggaan keluarga, tidak lagi dikongsi oleh
anggota keluarga lain terutama kedua ibubapanya sendiri.
“Akma rasa diri
Akma sudah pergi jauh, orang kata bila kita terlalu seronok terhadap dunia,
kita akan lupa diri dan alpa walau pun pada ketika itu Akma tinggal bersama Mak
dan Abah. Memang betul apabila duduk dengan Mak dan Abah memang terjaga, tetapi
degil dan keras kepala Akma sehinggakan Mak dan Abah tidak boleh berkata apa.
Keluarga Akma marah dekat Akma,” akuinya jujur.
Terbukti Allah
masih sayangkan dia. Keadaan itu tidak dibiarkan-Nya berlarutan agak lama.
Allah Ta’ala menimpakan ujian ke atas Akma, sekaligus menjadi titik pusing
dalam hidupnya.
“Titik permulaannya
pada dua tahun lepas, dugaan yang teruk datang bertimpa-timpa. Akma rasa dunia
Akma gelap, Akma jadi malu nak berhadapan dengan masyarakat. Ia membuatkan Akma
rasa nak pergi jauh, tak nak duduk di sini.”
“Mujur juga dalam
keadaan sebegitu, ibubapa dan keluarga ada bersama menyokong Akma. Apabila ada
sokongan dari keluarga dan kawan-kawan, menjadikan Akma ada semangat balik. Akma
mula sedar,” ceritanya lagi.
Dari situ dia mula
memuhasabah diri, merenung kembali liku hidupnya. Beliau terfikir sudah tentu
ada sesuatu yang tidak kena pada laluannya dulu menyebabkan Allah memberinya
ujian sedemikian berat.
“Akma cari balik
apa kesalahan-kesalahan diri Akma, apa yang Akma sudah lakukan, sudah jauh mana
Akma dah pergi. Apabila difikirkan balik Akma rasa malu dan sedih sangat. Akma
minta maaf dengan keluarga dan Akma mula solat taubat. Alhamdulillah bermulanya
hari itu, Akma mula rasa tenang,” sambungnya, serius.
Menurutnya, perkara
paling diutamakannya selepas itu ialah menjaga solat lima waktu.
“Dalam tempoh
perubahan tu Akma rasa seronok sangat. Contohnya, apabila melambatkan solat,
rasa sangat bersalah. Perkara (titik berat) seperti ini membuatkan Akma rasa
seronok,” ujarnya lagi.
Akma turut
membataskan pergaulan. Beliau sudah jarang keluar dengan kawan-kawan dan mereka
faham. Dalam masa setahun itu juga Akma mula melazimi kelas-kelas agama,
mengaji dan belajar balik apa yang patut.
Pada tahun lepas,
Akma terbuka hati untuk berhijab. Beliau menceritakan, “pada mulanya Akma cuma
pakai selendang dan pada ketika itu Akma sudah mula membeli dan mengumpul
tudung. Akma rasa seronok sangat pada ketika itu. Sehinggalah pada satu hari, Mak
temankan Akma pergi beli tudung di Timesquare. Akma beritahu Mak, “Mak, Kak Cik
(nama panggilan dirinya dalam keluarga) rasa Kak Cik dah ready la nak bertudung.” Mak kata, “betul ke? Mak suka kalau Kak
Cik nak berhijrah, tapi fikir betul-betul, mak tak nak selepas bertudung rasa
nak buka la, rasa tak tenang la.”
Beliau sudah nekad
untuk bertudung. Ahlamdulillah, bukan sahaja dirinya, semua anggota keluarganya
turut seronok dengan keputusannya itu. Maka, keesokan harinya Akma mula tampil berhijab.
Menurutnya, di
antara perkara pertama dirasainya ialah perasaan yang sangat tenang. Dengan
bertudung juga dia rasa dirinya lebih dihormati.
“Orang dah mula
hormat kita... kalau dulu orang suka hati bertepuk bertampar dengan kita,
sekarang orang dah tidak berani. Akma tetap Akma, tetapi batasan-batasan itu
perlu dijaga, jadi bagi Akma, Akma rasa tenang dan orang mula hormat dekat
kita,” katanya.
Hidupnya tambah
teratur setelah bergelar isteri. Akma bertemu jodoh dengan Farih Hamshi Mohamad
Fatmi, seorang eksekutif di syarikat Petronas. Beliau juga kini menjadi guru
sepenuh masa di sebuah sekolah swasta di Petaling Jaya.
Akma juga bangga
melihat semakin ramai rakan-rakan artis turut berhijab dan betul-betul berubah.
Sebahagian besar mereka malah sangat aktif berkongsi kisah perubahan mereka
dengan masyarakat di forum dan ceramah agama. Antar sesama mereka pula kerap
bertemu dalam pelbagai aktiviti, termasuk kelas agama dan usrah.
Pesanan Akma untuk
orang di luar sana, “perubahan akan berlaku pada diri kita semua, cuma cepat
atau lambat sahaja. Yang penting kita sentiasa mencari sesuatu untuk berubah”.
Ya, selama puluhan
tahun sebelum ini, Akma akui hidupnya sangat seronok dengan bidang nyanyian
yang disertainya secara aktif. Namun, sepertimana ditegaskannya sendiri, “saya
lebih seronok dengan perubahan ini”
(Artikel ini mengisi kolum KEMBARA IMAN, majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, Edisi 11, yang terbit Disember 2012)
No comments:
Post a Comment