Thursday, November 1, 2012

Memugar kompetensi, memacu potensi

Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim. Segala pujian tertentu hanya buat Allah Azza wa Jalla, yang dengan kudrat dan iradatNya jua majalah kesayangan anda ini terus menemui pembaca, sekaligus menyambung usaha menyebarluas ilmu dan tips-tips kehidupan berlandaskan syairat Islam yang suci.

Sejajar tuntutan perkembangan semasa, Penerbitan Dian Darulnaim Sdn Bhd (PDDSB) selaku penerbit majalah Era Muslimah dan majalah Dian – Ihya’ As-Sunnah telah melakukan rombakan kecil teraju utamanya, awal Oktober lalu. Tiada lain tujuan penyusunan semula itu dibuat melainkan sebagai usaha dan ikhtiar kita selaras hasrat memperbaiki apa yang kurang sempurna, memperkuat apa yang lemah dan mempertingkat apa yang belum dioptimakan.

Sedari awal kemunculan majalah ini kami menerima lebih banyak reaksi dan maklumbalas positif daripada para pembaca. Apatah lagi kebanyakan mereka merupakan peminat asal kepada majalah al-Muslimah, yang juga diterbitkan PDDSB. Malah, tidak ramai yang menyedari perubahan “terlalu kecil” pada nama majalah ini. Perbezaan antara kedua-dua majalah itu hampir tidak wujud memandangkan ia diterajui pasukan sama.

Pun begitu, ia bukan hakikat untuk kami berpuas hati dan berpada dengan apa yang telah sedia ada. Kami berpegang kepada prinsip bahawa sesuatu perkhidmatan senantiasa terdedah kepada penilaian kompetensi dan potensi. Ia mesti bersifat progresif dan senantiasa dipertingkatkan sejajar perkembangan tahap perkhidmatan dan juga perubahan persekitaran urusniaga terbabit.

Justeru, kami perlu peka terhadap tuntutan perubahan. Maka, menjadi komitmen kami untuk bersikap terbuka menerima segala teguran dan mengakui andai kedapatan sebarang kelemahan dan kekurangan, terutama berkait persembahan majalah-majalah terbitan kami. Mudah-mudahan dengan bersikap positif terhadap segala reaksi itu Allah Ta’ala akan lebih memudahkan kami menemui jalan menuju ke arah mencapai yang terbaik.

Di atas komitmen sama, kami akan terus mengorak langkah ke depan mempertingkatkan  mutu persembahan majalah ini. Untuk itu, sokongan dan dukungan para pembaca sekalian amat kami harapkan.

Wassalam.

Mohd Nasir Awang
Ketua Pengarang PDDSB


(Artikel ini disiarkan majalah bulanan ERA Muslimah, Bil. 10 (November 2012) di ruangan "CORETAN KETUA PENGARANG" dengan tajuk sama. Ia merupakan catatan sulung penulis selepas menjawat tugas baru itu.)

No comments:

Post a Comment